Followers

Wednesday, September 30, 2009

Ole-ole dari seberang

Semalam,
Seorang teman sepejabat yang pulang berhari raya ke negeri di bawah bayu memberi ole-ole
Sangat cantik!
paling menarik ialah ole-ole ini telah siap berbungkus di dalam sampul
jadi pilihan adalah atas risiko masing-masing
pilihan aku... tiger eyes!

oh ya... bercakap pasal negeri di bawah bayu...
seperti tak sabar pulak menunggu bulan Nov/09 dan Jan/10
ada projek besar-besaran di sana
Samporna & K.K tunggu kedatanganku!!!

Dan ini pula oleh-ole dari Paris
Buah tangan dari bos lama yang baru pulang dari Perancis
bercuti belajar di sana
wah!! sangat cemburu lah...
ada rezeki aku, sambung PhD di seberang laut jugak lah
InsyaAllah
Tengoklah
betapa banyak ole-ole yang tergantung di dinding cubical
kebanyakan dari teman-teman sepejabat
senang digantung kata mereka
tapi jika mengumpul ole-ole aku suka FM
bersusun-susun tertampal pada fridge di rumah
PM : next vacation? any plan??

Monday, September 28, 2009

Syawal 1430H

Selamat hari raya Aidilfitri. Maaf zahir & batin. Syawal kali ini sama seperti syawal-syawal yang sebelumnya. Tiada apa-apa yang istimewa @ kelainan. Tapi disambut dengan penuh kesyukuran & kesederhanaan. Alhamdulillah. Berkumpul sekeluarga, bukankah itu satu kemestian berhari raya? Syukur, kami sekeluarga masih dapat berkumpul bersama-sama seperti selalu. Saling bermaaf-maafan & kunjung-mengunjungi sesama keluarga.

Raya kali ni, menjadi orang terakhir sampai ke kampung. Untuk pertama kalinya menjadi perantau dapat merasa tersesak-sesak di jalan raya! Gila! Merasa jammed tak beroti. 9 jam, Putrajaya - K.T. Memang masak kat jalan raya. Daripada matahari ada sampai bulan muncul baru sampai rumah. Mencabar sebenarnya, memandu malam bermata 4! Kat LPT, masih sopan-sopan. Masuk je Kemaman mula merempit tanpa batasan. Nasib baik ada sahabat di sebelah selalu mengingatkan. Thanks nora, u're a good buddy! Sekelip matapun tak tido, temankan aku.
Persiapan raya tahun ni ala kadar saja. Tak sempat. Kuih raya pun semua kuih tunjuk. Cuma malam raya sempat sediakan 4 biji kek coklat. Itu kuih tradisi keluarga. Tak lengkap kalau tak ada kek coklat. Itupun raya ke-2 semua kek dah licin. Tahun ini tetamu datang diluar jangkaan. Raya pertama - ke-3 penuh tetamu, sampai tak sempat nak keluar beraya. Oh ya.. jangan tak percaya, tahun ini saya masih dapat duit raya tau! 2 hengget sajork! Ibu kawan adik yang bagi. Katanya, saya berwajah cute, harusnya diberi duit raya walaupun sudah tua! hahaha. Puji dalam keji.
Al-Fatihah
Dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali. Al-fatihah buat Hajjah Hafsah binti Ngah, bonda kepada sahabat yang telah kembali ke rahmatullah pada hari raya ke-2. Pergi dengan aman dan mudah sekali. Itu semua kerja Tuhan. Masih terngiang-ngiang kata-kata seorang sahabat, "sedihnya yong, dah yatim piatu. Sekurang-kurangnya aku masih ada lagi seorang." oh... saya terkedu. Bercampur sebak. W/lpun masih ada ayah & ibu, tapi rasa-rasanya saya belum cukup berbakti & berbudi pada mereka berdua. Masih belum berupaya membuat mereka tersenyum bangga dengan anaknya yang seorang ini. Saya masih berhutang budi dengan jasa-jasa ibu & ayah.
Kepada yong, takziah buat kamu. Saya tahu kamu anak yang baik dan rasanya kamu sudah cukup berjasa kepada kedua ibubapa kamu. Itu yang saya dapat lihat. Antara kamu dengan saya, kamu lebih beruntung. Berpeluang menjaga & tinggal bersama ibu kamu hingga ke akhir hayat beliau. Berbeza dengan saya, berjauhan dari ayah& ibu. Sakit pening mereka, saya hanya mampu bertanya khabar dari jauh. Jika diberi pilihan saya juga mahu dekat dengan mereka. Tapi... rezeki saya bukan di tanah kelahiran. Saya perlu bersyukur dengan rezeki itu.
Hajjah Sumaiyah
Selamat pulang ke tanahair buat Hajjah Sumaiyah a.k.a cik melati a.k.a cik nilly. Tahniah juga buat kamu, berjaya menjejak kaki ke Tanah Haram. Itu tempat idaman saya. Beruntungnya kamu sudah ke situ, bukan sekejap, 1 bulan lebih berpeluang berpuasa & beribadat di sana. Saya cemburu dengan kamu! Sungguh! Dan semoga Allah mendengar doa kamu untuk kita kita yang sekangkatan. Psst, hajjah!... nama saya tersenarai tak dalam doa kamu ketika di Jabal Rahmah?
Oh ya... kamu, kamu dan juga kamu... jangan cemburu, saya dapat ini dari hajjah melati. Warnanya sangat sepadan dengan baju raya pertama saya. Pandai sungguh pilihan kamu ya hajjah! Terima kasih daun keladi ye!

Tahniah

Tahniah dari saya buat senior saya yang berjawatan PTD itu. Telah dirisik seseorang dan bakal menamatkan zaman bujang tidak lama lagi. Opss... lupa, saya ANTI PTD! haha... tapi bukan anti K.je. Diam-diam saja, tiba-tiba dirisik orang. Saya tumpang gembira. Eh... lepas ni kena belajar masak nasi kandar la ye. hehe. Saya doakan semoga jodoh K.je berpanjangan hingga ke jinjang pelamin. InsyaAllah, perkara yang baik pasti akan dipermudahkan Allah. Oh ya... bleh bagi saya tips? hiks
Syawal ini telah mempertemukan saya dengan sahabat-sahabat lama. Kawan yang telah beberapa tahun tidak bersua muka. Gembira kerana masih diingati sebagai sahabat. Terima kasih, sudi berkunjung ke teratak buruk saya. Semoga syawal akan datang akan mempertemukan kita kembali. Jika panjang umur bertemulah kita. InsyaAllah.
PM : berura-ura nak buat open house di Putrajaya. eh.. puasa 6 dulu.

Wednesday, September 16, 2009

Salam Aidilfitri

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI
SALAH & SILAP HARAP DIMAAFKAN
MAAF ZAHIR DAN BATIN n SELAMAT PULANG KE KAMPUNG
PM : sambut raya bersederhana saja...

Friday, September 04, 2009

Ramadhan di Trengganu

Bersempena Ramadhan yang mulia ini sempat juga berpuasa di kampung halaman. Sebagai perantau sudah pasti itu antara waktu-waktu yang dinantikan. Berpuasa, bertarawikh, berbuka puasa & bersahur bersama-sama keluarga pasti seronok bukan? Balik kampung, sangat sinonim dengan masyarakat Melayu. Oh ya... tahun ini saya hanya pulang sehari sebelum raya, jadi rasa-rasanya tidak berkesempatan membuat persiapan sebelum raya seperti tahun-tahun yang sebelumnya.

Ramadhan di Trengganu... dulu kini mungkin banyak kelainannya. Saya masih ingat, semasa kecil-kecil antara yang menarik adalah ke masjid menunaikan tarawikh. Sebenarnya bukan bersolat sangat, tapi seronok bila dapat berjumpa & bermain dengan kawan-kawan sekampung. Riuh!! Paling seronok bila moreh. Makan free. Macam-macam kuih disediakan. Satu lagi tradisi di bulan Ramadhan adalah majlis namat. Biasanya diadakan di masjid selepas tamatnya tadarus al-quran yang di baca secara berjemaah oleh ahli-ahli masjid. Kebiasaannya, ibu akan menyediakan satu hidangan berbuka puasa lengkap untuk 4-6 orang makan. Kiranya setiap ahli masjid akan menyediakan juadah berbeza. Masa tu memang makan besarlah jawabnya.

Salah satu perkara yang saya rindu bila tiba bulan Ramadhan, bunyi bedil a.k.a meriam berbuka & waktu imsak. Rasanya hanya ada di Kuala Trengganu. Kebiasaannya bedil akan berbunyi sekali menandakan waktu berbuka puasa dan sekali lagi semasa waktu imsak. Boleh dikatakan satu daerah Kuala Terengganu boleh mendengar dentuman bedil yang ditembak dari Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu. Itu satu tradisi di bulan Ramadhan. Sebab tu bila dah berada di Kota Batu ni, terasa rindu pulak nak dengar bedil buka puasa.

Tahun ini juga, berkesempatan berbuka puasa di tepi pantai. Tradisi GBS. Kalau balik kampung, Ramadhan, mesti berbuka bersama di tepi pantai. Walaupun tahun ini hanya berdua kerana seorang sahabat lagi berumrah di Tanah Suci, ia tetap seronok. Bertukar cerita, gosip-gosip sementara menunggu bedil buka puasa berbunyi. Ini juga bukan perkara asing orang-orang di Kuala Terengganu. Bila petang je, pantai Batu Buruk penuh dengan orang-orang. Seperti satu pesta. Ada yang datang sekeluarga, ada yang datang berdua, dan macam-macam lagi. Datang atas satu niat yang sama, ingin berkelah & berbuka puasa di tepi pantai. Seronok!
Trengganu juga kaya dengan kuih-kuih tradisi. Netbak, koleh kacang, bubur lambuk, tepung pelita, sata, golek abu antara kuih kegemaran. Balik kampung, hari pertama berbuka ibu menyediakan bubur lambuk. Bubur lambuk di sini lain daripada yang lain. Disediakan dengan rempah bubur lambuk dan kerisik, santan, ikan selayang panggang yang dihancur-hancur, berserta campuran sayur-sayuran kampung seperti pucuk paku merah, pucuk lampin budak, pucuk mata ayam dan macam-macam jenis sayuran sangat sedap dimakan semasa masih panas.
Dan yang paling menarik adalah bazar Ramadhan. Melata di merata-rata tempat. Tapi saya lebih suka ke pasar. Pasar Batu 6, pasar Manir, pasar Chabang 3, pasar Payang semuanya menjual macam-macam juadah berbuka puasa yang menarik. Kalau teringin merasa kuih koleh kacang dan tepung pelita yang paling sedap, cari lah di Pasar Chabang 3. Di pasar Manir pula ada dijual sata dan pulut lepa @ pulut panggang yang sedap. Kuih golek abu yang sedap terdapat di pasar Batu 6. Erm.. mungkin sedap pada tekak saya, pada orang lain tak tau la.
Malam 7 likur @ malam ke-27 Ramadhan, pastinya setiap rumah akan berkilauan dengan cahaya pelita. Masa kecil-kecil dulu, ayah akan bina pelita daripada buluh. Dipasang disekeliling rumah. Memang cantik. Tapi masa berubah. Mungkin sekarang pelita buluh sudah tak ada lagi, diganti dengan pelita plastik. Tapi ia tetap meriah. Saya paling suka jalan keliling kampung kalau tiba malam raya. Tengok rumah mana yang paling banyak pasang pelita. Masa tu kanak-kanaklah yang paling gembira. Main mercun, bunga api, tanglung memang meriah. Owh... kenangan-kenangan...
PM : tak sabar nak balik raya