Monday, May 07, 2012

Musim mencandat sotong tiba lagi.

SUMBER
Sekarang, di Terengganu musim mencandat sotong dah tiba. Musim candat ni biasanya bermula pada setiap akhir Mac hingga Julai. Ini adalah kerana musim monsun Timur Laut mulai reda dan perairan kembali tenang. Jadi sotong-sotong yang berada jauh di laut dalam akan mula datang ke perairan tertentu untuk bertelur. Di antara perairan yang terdapat banyak sotong ialah seperti Pulau Kapas, Pulau Bidong, Pulau Redang, Pulau Perhentian dan beberapa tempat lain. 

Saya pernah merasai pengalaman ini. Pengalaman pertama, ketika praktikal dulu... kami menaiki bot universiti dan menyusuri perairan Terengganu menuju ke Pulau Kapas. Selepas bot melepasi muara Sungai Terengganu, bot mula melepaskan pukat tunda dan mula menunda pukat. Merasa juga kami semua hampir 24 jam tak jejak kaki kat tanah. Bersolatpun di atas bot.  Kami antara batch terakhir pelajar yang sempat merasa naik kapal Uniputra 5. Sebab lepas tu semua kapal termasuk Uniputra 5 dijual sebab kegawatan ekonomi. Pada saya itu pengalaman manis!

2008, atas permintaan kawan-kawan yang nak merasa mencandat sotong, saya ajak kawan-kawan berkunjung ke kampung saya untuk merasai pengalaman ni. Dengan bantuan ayah, kami berjaya menyewa bot. Sewa berharga RM350 kami kongsi seramai 8 orang, saya kira sangat berbaloi-baloi dengan pengalaman yang kami dapat. Sewa bot sekali dengan kelengkapan untuk bercandat. Masa tu murah je sewa bot, sekarang tak tahulah berapa dah sewanya.

Selepas asar, pemandu bot minta kami semua berkumpul di Jeti Pulau Kambing. Katanya, bot kami akan bertolak dari muara Sg. Terengganu selewat-lewatnya 6.00 petang. Kang kalau lambat, takut lambat sampai ke perairan Pulau Gemia. Pulau ni berhampiran Pulau Kapas. Ini antara tempat 'kesukaan' kaki pancing dan lokasi strategik untuk candat sotong. Dalam perjalanan ke Pulau Kapas dapat jugak menikmati pemandangan matahari terbenam. Cantik! Masa tu semua orang teruja, jakun naik bot. Hehehe.

Senja di muara Sungai Terengganu : lokasi berhampiran Pulau Duyung
Perjalanan bot dari muara Sg. Terengganu ke Pulau Gemia memakan masa hampir 1 jam. Masa kami sampai,   langit sudah gelap. Pemandu bot mula mencari lokasi strategik untuk melabuhkan sauh. 'Sportlight' mula dipasang bertujuan untuk menarik perhatian sotong. Salah seorang anak pemandu bot cuba melontar candat yang terdiri daripada mata kail yang diikat dengan tali 'tarsi'. Katanya, nak tengok tempat ni ada sotong @ tak. Agak lama menunggu, tapi mata kail kami tidak langsung 'dingap' sotong. 

Pemandu bot menarik sauh dan berpindah ke lokasi lain. Mungkin mencari tempat yang lebih 'ong'. Di lokasi kedua, membuahkan hasil. Bila 'sportlight' ditala ke muka air kelihatan sotong berenang-renag di gigi air mengikut pergerakan cahaya. Lumrah sotong... memang sukakan cahaya. Pantang nampak cahaya, mereka pasti menjadi sangat agresif kerana mereka akan berkumpul dan bermain di sekitar kawasan yang diterangi cahaya lampu.

Lautan kini seakan-akan seperti sedang berpesta cahaya. Bukan hanya bot kami yang melabuhkan sauh pada malam itu, terdapat banyak bot-bot yang lain juga seperti kami, mahu mencandat sotong. Pada saya, pemandangan itu sangat menarik. Bila bot berhenti, sauh dilabuhkan, apa lagi, terus aktiviti mencandatpun bermula. Terdapat 2 cara mencandat iaitu tanpa umpan dan dengan umpan.

Bagi candat yang tiada umpan, hanya tali tarsi dan mata kail diperlukan. Kita hanya perlu melempar mata kail dan kita hanya perlu tarik dan lepas tali (macam main layang-layang) untuk menarik perhatian sotong. Biasanya sotong jarum yang bersaiz kecil mesti akan tertarik dengan kilauan mata kail kita.

Manakala bagi candat yang mempunyai umpan, ikan parang biasanya dijadikan umpan dan diletakkan pada umpan. Teknik tarik dan lepas tali masih perlu dipraktikkan. Tapi hasilnya berganda-ganda daripada candat tanpa umpan! Kadang-kadang seekor sotong boleh mencecah hampir 10 kg!

Bila bot dah berhenti, masa tu baru terasa seperti teroleng-oleng. Bagi mereka yang tak biasa di berada di atas kapal, mesti akan merasa 'mabuk laut', termasuk kawan-kawan saya. Semua muntah dan mabuk laut. Tapi saya kagum dengan mereka, walaupun masuk, tangan tetap memegang tali tarsi sambil menarik dan melepas tali candat. Gigih!!


Hasil tangkapan kami!

Malam itu, saya langsung tidak melelapkan mata. Seronok sangat bercandat. Lempar mata kail tak sampai satu minit mata kail 'dingap' sotong! Seronok bercandat, sampai tak sedar subuh! Lepas solat subuh baru kami bergerak balik ke jeti. Nak tahu berapa banyak hasil kami dapat malam tu? Hampir penuh satu tong besar tempat simpan ikan. Bila ditimbang hampir mencecah 100 kg! Balik rumah kami kenduri sotong! 

Jadi, kepada sesiapa yang teringin nak merasa pengalaman mencandat sotong, sekarang adalah masa/musim yang sangat sesuai untuk mencuba. Sangat berbaloi-baloi!

PM : teringin nak mencandat lagi.... 

6 comments:

  1. bestnyer,, x pernah rasa pnglamn mencandat sotong ni,, teringin nak cuba lak

    ReplyDelete
  2. K.A : kalau tak pernah cuba, WAJIB cuba ni... awak tak akan menyesal.

    tapi jgn lupa makan ubat mabuk sebelum naik bot tau. hehehe

    ReplyDelete
  3. salam....amat berminat untuk mencandat sotong tapi x contact tekong nak sewa bot lah....kalau ada info boleh tak email kat saya cinggit@yahoo.com......tq yerk...

    ReplyDelete
  4. salam, sy juga berminat dgan aktiviti cndat sotong ni, bole sy dpatkan contact tekong trsebut.. haikalsanudin93@gmail.com

    ReplyDelete
  5. salam, sy juga berminat dgan aktiviti cndat sotong ni, bole sy dpatkan contact tekong trsebut.. haikalsanudin93@gmail.com

    ReplyDelete