Monday, August 13, 2012

Org baik bila tiada dirindui, bila ada disukai, bila mati ditangisi..


Sabtu lepas, kali kedua saya iftar di luar. Berbuka bersama sahabat lama. Saya kira ini iftar yang 'istimewa' kerana ini seperti 'reunion' untuk kami ber-3 setelah bertahun-tahun tak bersua muka. Sejujurnya saya rindu sangat nak bertemu mereka semua. Kami, walaupun tinggal dan bekerja di kawasan yang berhampiran, tapi sangat jarang bertemu muka dan bertanya khabar. Tapi, entah kenapa sejak akhir-akhir ini, tiba-tiba Allah suntikkan perasaan rindu saya pada mereka dan terus saya bertanya khabar mereka. Rupa-rupanya ada hikmah 'ingatan' saya pada mereka semua. Saya menerima beberapa berita yang menyedihkan...

Sahabat-sahabat saya ini, sahabat ketika sama-sama di Universiti, sama-sama menetap di kolej kediaman yang sama walaupun berbeza fakulti. Ketika saya menghubungi beliau baru-baru ini, dia terus minta saya sedekahkan Al-fatihah buat arwah suaminya. Mendengar permintaannya saya tergamam! Terus terbayang dua wajah mulus anak-anak sahabat saya yang masih kecil itu. Sekecil itu mereka sudah menjadi anak yatim. Suaminya yang juga kawan saya (walaupun tidak serapat mana), telah pergi buat selama-lamanya baru-baru ini. Suami sahabat saya itu, saya kenali seorang yang sangat baik hati. Terakhir kami bertemu ketika mereka datang ke rumah saya. Dari mata kasar saya, saya tahu sahabat saya bahagia. Kata sahabat saya, suaminya pergi dengan mudah sekali. Semua urusan jenazah dan pengkebumian sangat cepat. Alhamdulillah, Allah mudahkan semua urusannya.

Jadi Sabtu lepas, seperti dirancang, kami iftar bersama. Seperti biasa saya bertolak dari SK terus ke KL mengambil sahabat saya dan anak-anak dan kemudian terus ke st. Kerinchi mengambil sahabat yang seorang lagi. Pertama kali bertemu, selepas bertahun-tahun tak bersua saya lihat sahabat saya itu semakin kurus. Katanya jangan salah faham... dia kurus bukan kerana 'kehilangan' dewa. Dia kurus kerana penangan 2 anak kecilnya yang sedang membesar. Mendengar ceritanya, hati saya menangis. Sungguh dia tabah! Dia bercerita seolah-olah dewa masih ada. Katanya, walaupun Allah pinjamkan dewa hanya sementara, tapi dia bahagia mendapat suami sebaik itu. Dia bukan saja suami yang baik, malah di mata kawan-kawannya juga dia seorang kawan yang baik. Dan saya akui kebenaran itu. Katanya, sehingga kini, kawan-kawan dewa masih tidak putus-putus bertanya khabar dan memberi itu dan ini untuk anak-anak mereka. Murah rezeki budak-budak tu.

Berbual-bual dengan anak-anak kecil sahabat saya itu, saya sekali lagi tersedu. Mereka yang tak mengerti apa-apa, petah bercerita tentang 'daddy' mereka. Cerita yang seolah-oleh baru berlaku semalam. Bila ditanya, 'tahukah daddy dah tak ada?' dia menjawab 'ya' dan kembali bercerita tentang daddy yang begitu dan begini. Kalau bercerita, nama 'daddy' tak akan dilupakan! Betapa rapahnya arwah dengan anak-anaknya. Aduhai... macamana ya anak-anak sekecil ini boleh jadi setabah ini? 

Tabahnya mereka semua. Saya terbayang, bagaimana raya mereka tahun ini tanpa 'daddy' mereka? Saya terbayang bagaiman sahabat saya itu mahu membesarkan anak-anak tanpa bantuan suami dan ayah mereka? Tapi saya lega melihat betapa positifnya sahabat saya itu. Katanya mungkin ini antara 'jalan' yang Allah tentukan untuknya untuk ke syurga kot. Jadi dia kena tabah. Lagipun sebagai isteri, tidak ada apa-apa 'hutang' yang masih belum terlangsai antara dia dan dewa. Dewa pergi dengan hati yang bahagia dan gembira. Sungguh saya kagum dengan dia. Kiranya dia 'insan terpilih' yang dipilih Allah untuk menghadapi ujian seperti ini. Jika diberi ujian sebegitu pada saya belum tentu saya mampu menghadapi kan??? 

Kata orang, orang yang baik dan disayangi umurnya tak panjang kerana walau sekuat mana kita menyayanginya, Allah lebih lagi sayangkan dia. Kepada ex-UKM, batch 1999-2003 khasnya dan sesiapa saja yang mengenali MUHAMMED FAHMI ABDUL AZIZ a.k.a DEWA, Al-Fatihah buat arwah yang telah kembali kerahmatullah pada 14 June 2012 lalu. Semoga rohnya di tempatkan di antara orang-orang yang dirahmati Allah... Amin...

p/s : Doakan juga kesejahteraan buat ibu sahabat saya yang sedang koma sekarang ini. 

1 comment:

  1. al-fatihah..

    ajal itu ketentuanNya..

    harap kawan tabah menghadapinya..

    ReplyDelete