Wednesday, December 12, 2012

CATATAN HAJI (4) : Bertamu di Tanah Haram

"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai-bagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh." (Al-Haj 22: 27)

9.10.2012 : Saya kira ini tarikh keramat yang tak akan saya lupakan sepanjang hidup saya. 

Pagi yang ditunggu-tungu, saya bangun seawal pagi. Sebenarnya malam itu saya tak dapat tidur lena. Perasaan gembira dan berdebar bercampur-campur. Disebabkan tak boleh tidur, saya bangun bertahajud minta dipermudahkan perjalanan saya esoknya. Bangun, mandi sunat ihram dan solat musafir selepas solat subuh. Bersiap dan isi perut sementara menunggu waktu bertolak. Atuk adalah orang pertama yg sampai.

Pesanan tok'ki

Sebelum bersiap, tok'ki datang berjumpa saya. Katanya, dia mahu tinggalkan pesanan penting. Kata tok'ki, "jgn tinggal bismillah, setiap perkara yg kita buat bismillah harus mendahului semua tindak tanduk dan perlakuan kita". Itu tanda Allah sentiasa yang pertama. Pesanan tok'ki buat air mata saya bergenang. Aduh... Selama ini saya tak sedar saya dikelilingi oleh orang yang dalam ilmu agamanya.

Tok'ki saya, umurnya sudah melebihi 100 tahun. Tapi masih kuat. Bayangkan orang seusia dia mampu mengayuh basikal ke masjid hampir setiap waktu. Padahal mata dan telinganya sudah kabur dan pendengarannya juga tak jelas. Sayapun hairan, di mana kekuatannya datang? Orangnya tak byk bercakap, tapi dlm diamnya, mulutnya sentiasa berzikir. Mungkin itulah kekuatan dia. Pesanan tok'ki saya simpan kejap dalam hati.

Air mata gugur lagi

Hampir 7.30 pg, ramai saudara mara yang sampai. Ayah menjemput imam masjid untuk membaca doa musafir dan ayah sendiri yg melaungkan azan. Sekali lagi gugur air mata. Gugur tanpa dapat saya tahan-tahan. Sebenarnya saya malu bila melihat diri saya berkeadaan begitu. Tapi saya sendiripun tak tahu kenapa hati saya sepilu itu.

Ya Allah...
Inikah rasanya menjadi tetamuMu?
Istimewa sungguh!
Seperti bayi yang baru melihat dunia.

Ya Allah...
Aku tidak punya teman
Aku hanya punya Kau untuk mendengar suara hatiku

Ya Allah...
Kau utuskan aku 'teman asing' sebagai temanku ke sana.
Moga dia adalah teman terbaik untukku
Untuk berkongsi susah senang di sana nanti.
Moga haji mabrur milikku Ya Allah!

Selamat tinggal semua

Perjalanan dari rumah ke lapangan terbang hanya 15 minit, tetapi menjadi hampir 30 minit kerana mancit. Masuk ke jalan lapangan terbang kenderaan sudah berderet-deret menuju ke airport. Walaupun penerbangan dijangka berlepas pada pukul 12 tengahari, tapi jemaah diminta datang ke airport seawal mungkin. Sampai di airport, saya terus bergegas ke kaunter pendaftaran. Surat penerbangan dari TH ditunjukkan dan setiap jemaah diberikan tag nama dan beg serta pack cederatama dari TH. Pada tag nama inilah terdapat semua maklumat penting seperti nama maktab, tempat tinggal, no bas sepanjang berada di makkah/ madinah, no bilik dan untuk membuat transaksi di TH juga perlu menggunakan kad ini. Sangat penting sebab kalau hilang kita seolah-olah pendatang tanpa izin di bumi suci itu nanti.

Selepas semua urusan, saya jumpa keluarga dan saudara mara yang datang. Jam 10.00 am, pengumuman dibuat meminta jemaah yang belum menyerahkan bagasi berbuat demikian. Sudah sampai masa saya berpisah dengan keluarga. Kali ini, air mata sudah kering. Saya jumpa mak dan ayah pohon dihalalkan semuanya untuk kali terakhir, jumpa adik-adik dan saudara mara dan terus masuk ke dalam. Sampai di dalam kami diminta untuk menunjukkan buku rawatan kesihatan dan kemudian barulah passport dan tiket penerbangan diserahkan kepada jemaah haji. Seperti biasa perlu melalui urusan imigresen dahulu dan kemudian ke balai berlepas.

KT80 dan kawan lama

Penerbangan KT80 iaitu MH8090 memuatkan jemaah seramai 448 orang. Kebanyakan jemaah adalah dari pantai timur (Terengganu, Kelantan dan Pahang). Saya walaupun secara kasarnya bersendirian (tanpa keluarga rapat), tetapi bila bertemu jemaah lain, saya tengok ramai pulak orang yang dikenali. Siapa sangka, sepupu ayah dan beberapa orang kawan mak juga sama flight dengan saya. Kecilnya dunia... itu baru di tanahair dah jumpa saudara mara... kan?

Yang paling mengejutkan saya, kawan lama saya semasa di Kementerian juga sama penerbangan dengan saya. Kami dah lama terpisah selepas dia berpindah kerja di tempat lain. Saya cuma tahu dia juga akan menunaikan haji pada tahun ini beberapa hari sebelum bercuti. Dan kebetulan pula sama flight.

Diraikan

Masuk di ruang perlepasan, saya telefon mahram saya. Katanya dia sudah lama menunggu saya di sana. Kami sudah berjumpa tadi, tapi disebabkan masing-masing kalut nak jumpa keluargalah, urusan bagasilah kami sepakat berjumpa saja di ruang perlepasan nanti. Istimewanya jemaah KT80 ialah, pemergian kami akan dihantar oleh sultan dan sultanah Terengganu. Dah la dapat bersalam dengan sultanah, dapat pulak duit poket. Rezeki.. Rezeki... Jam 1 pm penerbangan MH8090 berlepas meninggalkan Terengganu direct ke Jeddah memakan masa hampir 8 jam untuk sampai ke sana. Kami dijangka sampai lebih kurang pukul 4 pm waktu tempatan, atau 9 pm waktu malaysia.

Sultan & Sultanah Terengganu merasmikan majlis. Dapat duit poket lagi.
Sampai masa berlepas, jemaah diiring oleh petugas dan RELA  
Sebahagian daripada keluarga jemaah yang menghantar ibu/bapa/anak/keluarga mereka yang menunaikan umrah.
Berihram

Memandangkan kami akan terus memasuki makkah, setiap jemaah sudah siap berpakaian ihram dari rumah. Jemaah boleh berniat ihram selepas 2 jam penerbangan ataupun berniat di miqat iaitu di Qarnul Manazil (lebih kurang 45 minit sebelum sampai di Jeddah). Sebagai langkah berjaga-jaga, saya berniat 1 jam awal, sebelum berniat, saya pastikan saya dalam keadaan suci dan berwudhuk (walaupun hanya sunat) dan yang penting ialah menutup aurat.

Ihram bermakna mengharamkan @ melarang. Ihram haji @ umrah ialah satu keadaan pada orang yang sedang mengerjakan haji @ umrah bermula ketika dia berniah mengerjakannya dan berakhir ketika tahallul. Jadi selepas berihram, kita akan akan terikat @ diharamkan beberapa (13 perkara) semasa dalam ihram itu.

tempat-tempat berniat ihram (dari Madinah @ Makkah) source
Haji Tamattu'

Sebelum mendapat tarikh berangkat, saya berangan nak buat Haji Irfad. Sebab itulah saya pilih untuk terus ke Makkah dan penerbangan akhir. Tapi memandangkan tempoh menunggu waktu haji (wukuf,muzdalifah dan mina) agak lama iaitu hampir 18 hari, selepas mendengar pendapat dari ibu, kawan-kawan dan mendapat pandangan ustaz saya memilih untuk melakukan Haji Tamattu'. Ini adalah kerana tempoh di dalam ihram yang panjang dan jika saya kekal dalam ihram selama hampir 3 minggu, ia agak merugikan saya kerana saya tidak boleh melakukan umrah sunat dalam tempoh sebelum selesai haji saya.

Pengertian Haji Tamattu' ialah berniat umrah pada bulan-bulan haji dan menunaikan semua amal ibadat yang berkaitan dengan umrah. Apabila tiba waktu haji pada tahun yang sama, kita akan berihram haji pula dan menunaikan amal ibadat yang berkaitan dengan haji. Maksudnya, kerjakan umrah dahulu selepas tu baru kerjakan haji.

Maksud lafaz niat "Sahaja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala." 

Selepas itu kita digalakkan memperbanyakkan bacaan talbiah di sepanjang perjalanan hingga sampai ke Mekah untuk mengerjakan rukun-rukun umrah selanjutnya.

HambaMu datang menyahut panggilanMu.
Ya Allah hamba-Mu dataang menyahut panggilanMu
Hamba-Mu dataang menyahut panggilanMu Ya Allah yang tidak ada sekutu bagi-Mu
HambaMu datang menyahut panggilanMu.
Sesungguhnya segala pujian dan nikmat serta kerajaan adalah kepunyaanMu, 
tidak ada sekutu bagiMu. - maksud talbiah

Sabda RasulAllah s.a.w bermaksud, "Dari Ummu Salamah r.a katanya : Saya mendengar RasulAllah bersabda : Wahai keluarga Muhammad, barangsiapa berhaji, maka hendaklah dia membaca talbiah dengan suara yang nyaring untuk hajinya" - Riwayat Ahamd dan Ibnu Majah

Sampai dengan selamat

Dalam pukul 4 pm lebih, pesawat MH8090 selamat mendarat di lapangan terbang King Aziz (lapangan terbang khas untuk musim haji). Jemaah disambut oleh petugas TH yang meminta setiap jemaah mengikut setiap arahan yang diberikan bagi melancarkan urusan semakan passport dan bagasi. Alhamdulillah semua urusan berjalan lancar. Melepasi kaunter imigresen, setiap jemaah mesti mengambil luggage masing-masing dan sekali lagi setiap beg mesti discan dan barulah dibawa keluar. 

King Aziz Airport ; selepas selesai imigresen. Setiap laluan ada petugas TH yang memegang bendera Malaysia. 

Keluar dari airport, jemaah dibawa oleh petugas TH ke kawasan rehat di luar airport. Di situ ada kerusi untuk berehat, tandas dan surau untuk bersolat. Bagi yang belum solat, boleh solat. Saya terus solat jama' ta'khir asar dan zohor dan tunggu azan maghrib untuk solat jamak ta'dim maghrib dan isyak sebelum meneruskan perjalanan ke makkah yang mengambil masa selama 1 jam 30 minit.

Tempat rehat sementara bagi jemaah Malaysia sementara menunggu bas untuk meneruskan perjalanan ke Makkah

Bas no. 3

Elok-elok je selesai solat, petugas TH membuat pengumuman supaya semua jemaah bersiap untuk menaiki bas. Kami diminta ke kaunter bas untuk mengesahkan tiket berdasarkan no. bas yang sedia tertulis di atas kad nama. Bagasi pula diserahkan kepada petugas untuk dibawa ke bas dan beg ini akan dihantar di bilik masing-masing. Kita hanya perlu hand luggage saja. Prosedur yang sangat mudah terutamanya bagi jemaah yang berusia.

Disebabkan bas yang kami naiki tidak ada petugas TH, jadi petugas TH minta saya jadi person incharge untuk bas tu. Katanya, kalau ada apa-apa kerosakan atau tersesat, cepat-cepat telefon petugas TH. Bila semua jemaah dah naik bas, setiap orang diberi pek makan malam (sebungkus nasi arab, epal dan air mineral). Panas lagi nasi arab tu, bau pun menyelerakan. Saya tengok masing-masing makan dengan berselera. Tapi apakan daya mata saya yang terlebih bulat ni tak mampu langsung nak celik. Naik bas, tunggu bas bergerak terus saya lena sampai ke Makkah. Celik mata tengok-tengok dah sampai depan hotel. Masa tu kelam kabut buka baca doa masuk Kota Makkah. Huhu.. Langho betul!

Bas no. 3 adalah bas yang saya naiki sepanjang perjalanan (Jeddah-Makkah, Makkah-Madinah & Madinah-Jeddah).

Penghuni maktab 91

Tempat tinggal saya sepanjang di Makkah ialah di Hotel Qasr Al-Shouroq. Maktab 91 terletak di sebelah pintu Marwah Masjidil Haram dengan jarak lebih kurang 450 meter atau hampir 15-20 minit jalan kaki. Kata petugas TH, jika dibandingkan dengan maktab-maktab lain maktab kami antara yang terdekat dengan Masjidil Haram. Ini untuk jemaah muassasah la... jangan bandingkan dengan jemaah pakej ye. Untuk ke masjid kami perlu melintas 2 batang jalan raya yang boleh tahan sibuk sambil melalui kedai, restoran dan kawasan lapang.

Anak panah hijau/kuning menunjukkan jarak Maktab 91 ke Masjidil Al-Haram

Sampai di Hotel Qasr Al-Shouroq, kami semua disambut oleh petugas TH dan hotel. Setiap jemaah diarahkan terus ke bilik masing-masing mengikut no. bilik yang terdapat pada kad nama. Manakala bagasi kami akan dihantar terus ke bilik masing-masing oleh petugas TH secara berperingkat. Istimewa rasanya menjadi tetamu Allah ni... semuanya di atur dengan sempurna sekali.

Bilik 912

Bilik saya di tingkat 9, bersaiz agak besar dan memuatkan seramai 8 orang jemaah. Lepas berkenalan, saya tak banyak cakap dah... bersihkan diri dan terus tido. Perjalanan yang panjang dan memenatkan. Dalam masa yang sama macam tak percaya saya kini berada di KOTA MAKKAH!

5 comments:

  1. الحمدلله .. bila bca catatan ini mmbuat saya terkenang dn trbyg ketika mgerjakn ibdt haji pd tahun yg sama....syukur padaNya .

    ReplyDelete
  2. kalau dikenang-kenang itu antara pengalaman terindah. Alhamdulillah diberi peluang ke sana dalam usia muda :)

    ReplyDelete
  3. Assalam. Tahniah! Saya suka baca tulisan tuan. Bahasa penjelasan yang mudah difahami.

    ReplyDelete
  4. Assalam. Tahniah! Saya suka baca tulisan tuan. Bahasa penjelasan yang mudah difahami.

    ReplyDelete
  5. Assalam. Tahniah! Saya suka baca tulisan tuan. Bahasa penjelasan yang mudah difahami.

    ReplyDelete