Friday, January 20, 2012

Traverlog umrah : Perjalanan ke Tanah Haram

Sambungan dari entry sebelum ini, ini, ini dan ini.

Hari terakhir di kota RasulAllah. Pagi ini seperti biasa bangun awal dan bersolat subuh. Solat subuh hari ni rasanya sayu sangat. Saya akan berpisah dengan kekasih Allah dan entah bila pulak saya akan kembali ke sini lagi. Tapi dalam masa yang sama hati melonjak-lonjak untuk melihat kaabah dan beribadat di sana.

Balik ke hotel, sarapan dan berkemas. Tepat jam 7.30pagi saya sekeluarga dah siap berkumpul di lobi hotel. Dalam pukul 8.00 pagi bas sampai dan perjalanan di teruskan. Dalam perjalanan, Haji Ibrahim ada jugak bercerita tentang cara mengerjakan umrah dan larangan-larangan semasa dalam ihram. Walaupun kami semua dah menghadiri kursus umrah sebelum ke sini, tetapi penerangan Haji Ibrahim sedikit sebanyak memberi panduan kepada kami semua. Maklumlah... jemaah pelbagai peringkat umur... kalau yang pernah datang tu kira bonus, tapi yang 1'st macam saya penerangan tu dirasakan informasi yang berguna.
Selepas perjalanan lebih kurang 15-20 minit bas berhenti di Bir Ali. Bir Ali merupakan tempat miqat di mana jemaah dikehendaki memakai ihram (lelaki) dan menutup aurat / tertelekung (perempuan) serta berniat ihram. Semua jemaah hendak berada di dalam keadaan suci, dan sebelum itu bersolat 2 rakaat di dalam masjid sebelum berniat ihram. Sepanjang mengerjakan umrah, saya sempat melakukan 4 kali umrah dan berniat ihram di 4 lokasi yang berbeza iaitu di Bir Ali, Ji'ranah, Tan'eim atau Hudaibiyah ( bagi jemaah yang tinggal di Mekah) . Info berkenaan miqat ada di SINI.

Bir Ali
Bila dah berniat umrah, mesti ada pantang larang yang kena kita patuhi. Kalau langgar pantang larang kita akan dikenakan denda (dam). Kadar dam ialah korban seekor kambing atau kalau tak mampu kena berpuasa selama 10 hari.
Perkara-perkara Yang Diharamkan Semasa Ihram:
  1. Melakukan persetubuhan: Iaitu melakukan persetubuhan dan faktor-faktor yang mendorong kepadanya dari apa yang berlaku di antara lelaki dan isterinya seperti bercumbu bergurau senda dan seumpamanya.
  2. Maksiat: Iaitu keluar dari ketaatan.
  3. Berbantah: Iaitu membantah kawannya atau sesiapa sahaja sehingga boleh menimbulkan kemarahannya begitu juga perbalahan dan cacian.
  4. Memakai pakaian yang berjahit (bagi lelaki).
  5. Memotong rambut.
  6. Wangian (iaitu memakai sesuatu yang berbau wangi-wangian).
  7. Memotong kuku.
  8. Menutup kepala bagi lelaki.
  9. Berburu.
  10. Memotong Pokok.
  11. Memakai stokin dan kasut biasa tetapi harus memakai mana-mana kasut yang boleh memperlihatkan urat belakang kaki.
  12. Menutup muka dan dua kaki ketika tidur.

Lepas tu perjalanan diteruskan. Lama dan jauh lagi perjalanan kami, mungkin makan masa 5-6 jam untuk sampai dengan jarak hampir 500km. Dalam perjalanan tu, Haji Ibrahim memulakan bacaan talbiah dan diikuti oleh jemaah.


Perjalanan masih panjang. Masing-masing sibuk melayan perasaan dan ada jemaah tertidur. Saya mula-mula susah nak lelapkan mata. Sekadar menikmati permandangan padang pasir sepanjang perjalanan. Hati masih berdebar-debar mengenangkan peristiwa yang bakal saya tempoh sepanjang di tanah haram nanti. Semoga Allah permudahkan perjalanan kami semua.

Semasa mula-mula sampai ke Madinah tempoh hari, pinggang saya mula sakit. Nak kata lenguh tak. Saya agak sakit ni berpunca dari keadaan perjalanan nak ke Madinah dulu. Sebab saya banyak berdiri dan tak duduk diam. Pinggang saya sakit sangat bila berdiri dan berjalan. Kalau solat, kadang-kadang masa ruku' atau sujud pun sakit. Malam terakhir di Madinah, semasa di Raudhah, salah satu doa saya ialah moga sakit pinggang saya sembuh kerana saya tahu umrah nanti saya memang memerlukan kekuatan kaki dan pinggang untuk melakukan tawaf dan saie'. Mungkin itu salah satu ujian untuk saya....

Petang, dalam pukul 6 lebih gitu bas berhenti di R&R. Turun, ke toilet, bersolat jamak qasar dan makan. Makan nasi arab. Sedap! Tambah pulak waktu sejuk dan lapar-lapar camni, bagi apa pun semua sedap. Sekarang ni berlaku peralihan musim di Madinah, dari musim sejuk ke panas. Suhu dan cuaca sangat sejuk. Siap ada ribut pasir.

Perjalanan diteruskan. Tak lama lepas tu, Haji Ibrahim memaklumkan bas kami dah masuk ke Kota Mekah. Keadaan sudah gelap dan saya nampak permandangan Kota Mekah yang pesat membangun. Doa masuk ke Kota Mekah di baca... Hati makin berdebar-debar untuk bertemu Allah..

* bersambung : kali pertama melihat kaabah dan melakukan umrah

No comments:

Post a Comment