Followers

Wednesday, January 30, 2013

Antara 5 tempat menarik di Terengganu.

* Entry sempena 2013, Tahun Melawat Terengganu.

* Memandangkan saya orang Kuala Terengganu, jadi entry saya lebih kepada tempat-tempat menarik di sekitar Kuala Terengganu saja. ^_^

1. Pasar Besar Kedai Payang
source
Orang kata, kalu maghri Ganu wajib singgoh Pasor Payang (datang Terengganu kena singgah di Pasar Payang). Saya yakin orang perempuan mesti suka dengan tempat ni sebab boleh shopping! Semua ada di sini, dari makanan basah, makanan kering, makanan tradisional, baju, kain batik, sutera dan songket, dan alat-alat tembagapun ada di jual di sini. 

Setiap barang keperluan dijual mengikut tempat tertentu. Contohnya, pasar basah - menjual ikan, daging, ayam dan sayur-sayuran, pasar kering - menjual buah-buahan, kuih muih dan barangan makanan tempatan seperti keropok keping. Manakala di tingkat atas adalah bahagian menjual pakaian, kain sutera, songket dan batik. Di tengah-tengah tingkat 2 terdapat food court yang menjual pelbagai makanan panas dan lauk pauk Terengganu. Tak lupa pada penggemar barang emas, boleh pilih kedai mana yang berkenan di hati. Emas Terengganu antara emas yang terbaik tau.

Tips : kalau membeli kena pandai tawar menawar tau. Kalau boleh bargain hingga separuh daripada harga yang diletakkan. Kalau tak dapat barulah up sikit harga, ikut harga yang bersesuaian.


2. Taman Tamadun Islam, TTI
source
Terletak di Pulau Wan Man, ia merupakan taman teman bercirikan islam pertama di dunia dari segi reka bentuk dan kebudayaan. 

Terdapat lebih kurang 21 buah monumen dibina dengan saiz 1:8 daripada saiz asal. Antara monumen yang dibina ialah Masjid Xian, China, Taj Mahal, India, Masjidil Haram, Makkah dan banyak lagi.

Bayaran masuk :

RM10.00 - dewasa
RM5.00 - kanak-kanal
RM5.00 - warga emas (60 tahun ke atas)


Lain-lain kemudahan :

Sewa basikal - RM3.00
Sewa trem - RM3.00
Sewa buggy - RM35.00 - 40.00 (mengikut saiz)
Cafe dan tandas awam


3. Chinatown, Kuala Terengganu
source
Lokasinya bersebelahan saja dengan Pasar Kedai Payang. Dulu, ia merupakan tempat tinggal masyarakat Cina yang datang dari tanah besar Cina sekitar abad ke-19. Sehingga kini, rumah-rumah sekitar ini masih dihuni.

Jika ke Terengganu jangan lupa untuk singgah ke sini. Berjalan kaki samada dari Pasar Payang atau Hotel Sri Malaysia adalah cara terbaik untuk melihat sekitar kawasan ini dengan lebih dekat. 

Rasanya sebelum ini, sekitar Kampung Cina ini biasa-biasa saja. Tapi atas inisiatif kerajaan yang ingin mengekalkan keaslian tempat ini, saya dapat lihat banyak perubahan di sini. Contohnya, beberapa lorong di sekitar kawasan diubahsuai untuk menarik pelancong ke sini. Antara lorong-lorong yang dibina ialah Lorong Mesra Alam, Lorong Warisan Dunia, Lorong Kenangan dan banyak lagi. 

Kalau datang waktu malam, boleh layan 'pokok-pokok api' (macam kat ICT) di tepi benteng mengadap ke muara Sungai Terengganu. Memang seronok!






4. Santuari Penyu Rantau Abang
source
Jika mahu ke Kuala Terengganu melalui 'jalan pantai' : Kemaman-Dungun-Marang-Kuala Terengganu, kita mesti akan melalui Rantau Abang. Jarak perjalanan lebih kurang 65km dari bandar Kuala Terengganu. 

Pusat santuari merupakan salah satu pusat informasi maklumat tentang hidupan laut umumnya dan tentang penyu khasnya. Selain daripada maklumat, kita boleh melihat penyu-penyu yang dipelihara di dalam tangki khas untuk penyelidikan dan tatapan umum. Tak silap saya, kalau bernasib baik bolehlah lepaskan anak-anak penyu yang baru menetas ke pantai. 

Kalau mahukan lebih informasi, terdapat satu lagi pusat informasi iaitu Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC) yang terletak hanya di seberang jalan saja dari santuari penyu. Ada muzium kat situ. Siap ada replika rangka ikan paus di luar muzium.

Saya pernah berada di sini selama 3 bulan. Praktikal. Walaupun kajian yang saya buat masa tu tak berkaitan dengan penyu, (saya kaji gastropod), tapi dapat jugak pengalaman 'menunggu penyu bertelur' di pantai Ma' Daerah, Kerteh, melepaskan anak-anak penyu yang cute ke pantai dan paling menarik berpeluang ke Pulau Mat Kepit (terletak berhampiran Pulau Redang) di mana pulau itu merupakan salah satu pulau yang diwartakan kerajaan Terengganu sebagai pulau penyu mendarat. Bukan senang nak dapat pengalaman sebegitu kan?

Jadi kalau ke Terengganu jangan lepaskan peluang untuk singgah di sini. Sekarang nak tengok penyu bertelur secara live memang tak dapatlah sebab % penyu yang naik untuk bertelur di perairan Terengganu semakin hari semakin menurun. Oleh itu, dengan adanya Santuari Penyu ini sedikit sebanyak memberi kita pendedahan tentang hidupan laut yang hampir pupus ini.


5. Tasik Kenyir
Terletak di Hulu Terengganu iaitu di hulu Sungai Kenyir, Tasik Kenyir merupakan tasik terbesar buatan manusia di Asia Tenggara. Tujuan utama pembinaan tasik yang siap dibina pada tahun 1988 ialah untuk menjana kuasa elektrik.

Di antara tempat-tempat yang menarik di Tasik Kenyir ialah :
  • Air terjun, jeram dan sungai ( Air terjun Lasir, Air terjun Saok) 
  • Gua (gua Bewah dan guan Taat)
  • Taman Herba - 
  • Sungai Gawi Kenyir - tempat penternakan ikan air tawar seperti baung dan patin. 
  • Tapak perkhemahan dan jungle tracking
  • Syurga bagi kaki pancing
  • Menyediakan kemudahan untuk aktiviti sukan air - kenu, kayak, bersampan, berakit etc.
  • Pintu masuk ke Taman Negara
Kalau berminat boleh datang ke sini. Chalet, kemudahan bot disediakan di pengkalan Sungai Gawi. Dan bagi penjawat awam, kemudahan rumah peranginan persekutuan Tasik Kenyir juga disediakan.

Tuesday, January 29, 2013

Pre-GBM 4 : Bukit Besar, Terengganu

Balik kampung tidak bermakna boleh skip exercise. (wah, cakap macam hebat sangat aje kan?) Dah puas balun masakan mak, makan kopok lekor, bantai ikan celop tepung, kenalah exercise kan? Takut 'pancit' masa panjat gunung kang. Diri sendiri jugak yang susah. Jadi pada suatu petang yang damai, saya bersama kawan (siap angkut kakak dan anak-anak buah dia sekali) gigih mendaki Bukit Besar, antara tempat riadah yang familiar di Kuala Terengganu. Jalan kaki panjat bukit ikut trek jalan yang tersedia. Bukitnya tidaklah terlalu tinggi... tapi part mendaki jalan yang bersudut 45 darjah tu boleh tahan berpeluh!

Monday, January 28, 2013

2013 Tahun Melawat Terengganu!


Kawang-kawang... 2013 ni tahung melawat Ganu.
Jangang malu jangang segang.
Mari rama rama pakat mari Ganu
ada lauk, ada pata, ada pulau comel-comel belaka
Mari deh... jangang dok mari!

PM : dok sabor tunggu musim sotong, nok candat sotong pulok. Ada sape-sape nok ikut???

Sunday, January 27, 2013

Gunung Kidul Part X : Sekitar Kota Tua dan Kota Jakarta

Hari kelima : 25/12/2012 : Selasa


Hari baru di Jakarta. Train yang kami naiki berhenti di st. Pasar Senen hampir jam 4.00 pagi. Sampai di st, tempat pertama yang kami terjah ialah tandas. Mulanya ingat nak mandi, tapi tandas tu tak boleh mandilah pulak. Jadi, kami sekadar basuh muka, gosok gigi dan salin pakaian aje. (jadilah daripada pakai baju semalam kan) Lepas tu singgah di surau untuk solat subuh.

Keluar dari st, kami diserbu bapak-bapak yang menawarkan perkhidmatan ojek dan taxi. Kami tolak dengan baik. Er... serius, saya janggal dengan suasana sebegini. Kalau dikira rasanya inilah pengalaman pertama saya ala-ala backpacking di Indonesia. Kalau 5 tahun lepas datang ke Jakarta, semuanya dijemput pak supir dari airport > hingga balik semuanya tersedia. Kali ini memang berbeza. Aduh... ribut kejap!

Map KRL saya buka perlahan-lahan. Lama saya tenung peta itu. Tapi tetap tak faham. Haha. Lastly kami pergi ke satu sudut, (sebenarnya nak larikan diri daripada bapak-bapak ojek). Ambil map, tarik nafas, dan bertanya sepasang suami isteri yang berada di situ. Mulanya saya tanya, bagaimana hendak ke Fatahillah @ Kota Tua melalui KRL. Tak boleh ok! Option lain? Naik bas. Tapi stesen bas sangat jauh! Solusi terakhir ialah ojek. Hahaha... Nak lari dari bapak ojek konon... Itu saja pengangkutan yang paling cepat dan murah. Selamat? err... Sebenarnya sangat takut membonceng motosikal dengan orang yang tidak dikenali. Di negara asing pulak tu! Aduh....

"Ngak usar takut, ojeknya cuma Rp25k saja. Murah aja mbak..."

err... bukan masalah mahal atau murah... saya pandang Izza, Izza pandang saya, masing-masing angkat bahu. Bersungguh-sungguh bapak ojek menyakinkan kami. Apa lagi pilihan yang kami ada kan? Akhirnya kami bersetuju mengambil ojek untuk ke Kota Tua. Sementara menunggu bapak ojek mengambil motorsikal, dan Izza pula membeli air sempat saya berbual-bual dengan pasangan tadi.

"Berani mbak jalan di sini berdua aja, emangnya dari mana ya perjalanannya?"

"Train saya dari Jogja, langsung ke Jakarta, mahu pulang ke Malaysia"

"kuliah di Jogja ya?"

"Enggak pak, libur aja"

Bapak dan ibu tu ingatkan kami pelajar dari Malaysia yang belajar di Jogja, awet muda kot kami ni! ehem!

Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada pasangan tadi, kami terus menaiki ojek, langsung ke Kota Tua. Sebelum itu berkali-kali pasangan tadi menitipkan pesan kepada kami berdua "hati-hati ya mbak" sungguh saya terharu dengan keprihatinan pasangan itu.

Perjalanan dar St. Pasar Senen ke Kota Tua mengambil masa hampir setengah jam. Perjalanan yang santai sambil kami menikmati pemandangan sekitar bandar Jakarta di waktu pagi. Kami sampai seawal pagi, pagi benar! Mujur sudah ada orang di situ. Tapi majoriti penduduk tempatan yang datang beriadah saja. Kami saja 'orang asing' di situ. Cuba bayangkan 2 perempuan dengan beg sandang yang besar berkeliaran di sekitar Kota Tua. Pelik tak? Haha. Kami amik peluang untuk berlegar-legar di sekitar Kota Tua. Sedikit sejarah tentang Kota Tua di sini dan sini. Kalau peminat sejarah, mesti seronok datang ke sini, tapi kami berdua ni bukan peminat sejarah, jadi layan ajelah. Jom layan gambar yang tak seberapa.


Pic 1 & 2 : Bangunan tinggalan, sayang tidak dipelihara dengan sebaiknya.

Tingkap di salah sebuah bangunan kosong di sekitar Kota Tua. Misteri aje bila dipandang...
Basikal untuk disewa jika berminat untuk bersiar-siar kawasan pelabuhan

Sedang saya leka mengambil gambar, tiba-tiba saya didatangi seorang lelaki. Bermotosikal. Ketika itu saya hanya sendirian, Izza berada di bahagian depan, manakala saya di bahagian belakang bangunan. Terkejut saya. Lelaki bermotosikal yang datang itu adalah lelaki pasangan yang saya temui di stesen train tadi. Katanya isterinya minta dia cari kami di sini untuk memastikan bapak ojek betul-betul menghantar kami ke sini. "temannya di mana? syukurlah mbak sudah sampai di sini. Hati-hati ya mbak, usah berlama-lama di sini kalau tiada orang". Aduhai... terharunya saya. Bapak tadi datang mencari kami di  Kota Tua semata-mata untuk memastikan kami berdua selamat sampai di situ. Selepas berpesan itu dan ini, dia berlalu. Cepat-cepat saya cari Izza selepas bercakap dengan bapak tadi. 

Puas berlegar-legar di sekitar Kota Tua, kami ambil keputusan untuk ke st. Jakartakota. Bukan kami tak mahu berlama-lama, tapi rasanya badan kami terlalu penat kot nak berjalan-jalan lagi. Niat hati hendak tinggalkan beg di st Jakartakota, tapi selepas beberapa kali bertanya kepada petugas, kami baru tahu stesen ini tidak menyediakan kemudahan menyimpan bagasi. Nak ke st. Gambir, route KRL dari st Jakartakota tidak melalui st. Gambir. Cara mudah ke st. Gambir ialah menaiki bus Transjakarta. 

Keluar dari st. Jakartakota, Izza memberi cadangan untuk ke Mangga 2. Saya ikutkan aje. Signboard menunjukkan Mangga 2 terletak 500m dari st. train. Kami tertipu ok! Berjalan kaki dengan beban yang berat di belakang memang menyeksakan! Haha. Lastly kami tahan van dengan tambang Rp2k/person untuk ke Mangga 2. Sampai di Mangga 2, kedai masih tutup, awal lagi. Menapak lagi kami. Serba tak kena pagi ni. Haha. Malas nak menunggu lama, kami ambil  van ke st. bas transjakarta. Saje je, bersiar-siar buang masa dan duit kan?

Dari st. Kota (line 1) kami transit di st. Harmoni menuju ke st. Gambir 1 (line 2). Kelakarnya, sampai di st. Gambir, semasa nak turun, disebabkan keadaan dalam terlalu sesak saya terpisah dengan Izza. Kelakar betul. Konduktor bus suruh saya berhenti di st. Gambir 2, jadinya bersiar-siarlah saya di dalam busway.  Kesian Izza... mesti dia risau tunggu saya tak sampai-sampai. Sampai di st. Gambir 2, menapak pulak saya ke Gambir 1. Aduhai.. jalan lagi. St. Gambir bersebelahan Monas, jadi kami singgah dulu, ambil gambar. Izza sempat beli t-shirt. Tercapai jugak niat dia nak membeli t-shirt. 

* Busway/ transjakarta antara perkhidmatan awam paling mudah, murah dan selamat berbanding KRL atau pengangkutan lain untuk mengunjungi tempat-tempat menarik di sekitar bandar Jakarta. Peta busway

Di st. Gambir, kami ambil dambri bus untuk ke airport. Perjalanan mengambil masa hampir 45 minit untuk sampai ke airport. Sampai di airport sekali lagi kali confius. Mana satu terminal 1, mana satu terminal 2. Haha... hari ni banyak sangat yang kami confius. Malas nak nak fikir panjang, kami cari toilet dulu, bersihkan diri dan salin baju. Lepas tu cari makan. Mana tau bila dah kenyang, waras sikit berfikir kan? hehe. Masa masih panjang, sempat lagi kami bersantai-santai. Akhirnya kami ambil keputusan untuk masuk awal. Mujur saya ringankan mulut bertanya dulu, dan nah! Memang betul 'kata hati' saya dan Izza. Kami tersalah terminal! Sebenarnya ketika mula-mula sampai di airport saya sudah 'rasa' lain macam aje terminal ni. Rupanya Izzapun rasa apa yang saya rasa. Tapi kami menidakkan apa yang kami rasa. Haha. Aduhai.... Hari ni dah beberapa kali tersilap daa... Kami keluar terminal, ambil bas airport untuk ke terminal 2. Adeh... ketawa besar masing-masing. 

Sampai di terminal 2, kami selamat check-in di kaunter Tiger Airways dan selamat masuk untuk pulang ke Malaysia dengan pengalaman yang tak dapat dilupakan.

* Terima kasih pada Zilla, Anne dan Izza sudi jadi travel-mate saya. Jangan serik ajak saya lagi eh! Seronok bertemu 'kawan baru' yang berkongsi minat yang sama. 

Wednesday, January 23, 2013

Gunung Kidul Part lX : Wisata Pantai Gunung Kidul

Hari keempat : 24/12/2012 : Isnin ~ sambungan

Selepas melawat Air Terjun Sri Gethuk, Pak Mur terus membawa kami ke Wisata Pantai Gunung Kidul. Disebabkan masa kami terhad hanya beberapa pantai sahaja yang sempat kami lawati. Antaranya Pantai Sepanjang, Pantai Krakal dan Pantai Indrayanti. Pantai-pantai di sini berpasir putih dan kebanyakannya berbatu. Tapi awas, jangan terpedaya dengan pasir putih di pantai sebab kebanyakannya berbatu karang dan ombak juga sangat kuat. Tapi tetap ada ramai orang-orang yang mandi manda di sini. 

Signboard : unruk memasuki Wisata Pantai Gunung Kidul bayaran beberapa Rp dikenakan (maaf lupa berapa bayarannya) 
Pantai Sepanjang : pasir putih di sepanjang pantai dengan air yang membiru. Tengok ombak, macam tenang aje... tapi hakikatnya ombak sangat kuat. 
Santai ; rilek aje budak-budak ni tunggu ombak. Bila ombak datang masing-masing berlari-lari mengejar! Macam best je kan?
Pantai Krakal : banyak karangan mati dan algae di gigi air. Pantai ini juga tidak kurang cantik, pasir memutih ombak juga tidak kuat. Ramai orang berkelah di sini. Gerai makan serta kemudahan lain juga disediakan.
Beberapa tahun lepas, pantai ini tidak terlepas daripada terkena tsunami.
Ikan kakap bakar : Lunch di salah sebuah gerai yang terdapat di Pantai Krakal (kami tak tahupun lunch termasuk dalam pakej yang kami ambil). Kami dihidangkan 10 ekor ikan kakap bakar untuk 5 orang makan bersama nasi, ulam dan sambal. Lauk walaupun simple, tapi sangat sedap!
Lepas makan, kita ke pantai lagi!
Pantai Indrayanti : Pantai terakhir yang sempat kami singgah dan paling ramai orang. Sesak!!
Selepas singgah di Pantai Indrayanti, maka berakhirlah kunjungan kami ke Gunung Kidul. Sampailah masa untuk balik ke Jogjakarta. Perjalanan selama hampir 45 minit diambil untuk sampai ke Jogja. Mula-mula, Pak Mur akan menghantar Zilla di stesen bas sebab Zilla akan menaiki bas ke Solo. Agak macet jalan di Jogga petang itu. Oleh itu Pak Mur berhenti di tepi jalan untuk bertanyakan sekiranya ada bas yang hendak ke Solo berhenti di situ. Memang nasib Zilla baik sebab memang ada bas yang akan lalu di situ dan ada beberapa orang juga orang yang sedang menunggu untuk ke Solo. 

Kemudian giliran saya dan Izza pula dihantar oleh Pak Mur dan Mas Lilek ke stesen keretapi untuk mengejar train ke Jakarta. Manakala Anne pula dihantar ke hostel (EDU Hostel) sebab Anne masih ada beberapa hari untuk menjelajah Tanah Jawa. 

Train station Jogjakarta
Inilah rupa business class. Aircond free dari luar. Beza antara business class dengan economy class ialah, business class ni ada seat no dan economy class seat kena berebut. Perjalanan Jogja-Jakarta (St. Pasar Senen) mengambil masa hampir 8 jam.


Malam yang panjang... lama jugak masing-masing melayan perasaan sebelum tertidur. Setiap kali train berhenti saya terjaga, tak pasti berapa kali train berhenti di setiap stesen.

Disebabkan dalam train tidak menyediakan kemudahan tempat untuk bersolat, kami sekadar solat menghormati waktu di seat masing-masing. Itupun hampir tengah malam baru kami bersolat bila lihat kebanyakan penumpang tidur. Bukan apa, tidak mahu menimbulkan sebarang 'salah sangka' penumpang-penumpang lain. 

Tuesday, January 22, 2013

Pre-GBM 3 : Langkah Ceria @ Putrajaya

Gigih bangun seawal pagi untuk berjalan 10,000 langkah di Putrajaya. Jalan saja ye... boleh pilih nak jalan 3km, 5km atau 8km. Masa isi borang, masing-masing pilih 5km, tapi bila dah start berjalan, sampai check point 3km terus masing-masing pusing ke garisan penamat.. tak gigih langsung kan? Kira exercise jugak kan? Tapi... ada ke patut, lepas jalan 10,000 langkah penganjur bagi breakfast nasi lemak, meehun goreng, kuih-muih siap dengan teh tarik tu... Motip?? 

Untuk sertai xtvt riadah ini boleh rujuk iklan ini.

Monday, January 21, 2013

Pre-GBM 2 : Bukit Puchong

Mesti fit! fit! fit! Tak sampai 2 minggu lagi ni, mampu kah? InsyaAllah... Kalau sebelum ini untuk sampai ke check point mengambil masa hampir 45 minit, kali ini kami berjaya mengambil masal selama 1 jam 10 minit untuk melengkapkan 1 pusingan (30 minit dari laluan pendek dan mencabar - check point - 40 minit di laluan panjang dan mendatar). Bagi saya bukan berapa banyak kalori yang 'terbakar' menjadi ukuran, tapi mahu kuatkan stamina... sebab lepas turun Bukit Puchong kami pekena sate 40 cucuk! 

Friday, January 18, 2013

Gunung Kidul Part Vlll : Air Terjun Sri Gethuk

Hari keempat : 24/12/2012 : Isnin ~ sambungan

Dalam pukul 9.00pg lebih selepas mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga Pak Mur, kami bergerak ke Air Terjun Sri Gethuk. Tak silap saya perjalanan dari Desa Wisata hampir 30-40 minit untuk sampai ke kawasan Desa Bleberan di mana letaknya air terjun ini. Untuk ke sini, kami akan melalui kawasan dusun yang dikelilingi tanaman kayu putih, kemudian boleh parking kenderaan di kawasan yang disediakan seterusnya naik 'lori' yang disediakan. Atau, kita boleh membawa terus kenderaan masuk ke dalam lagi dan parking kenderaan di situ, yang mana Pak Mur mengambil cara ini untuk sampai ke situ.

 Sampai di sekitar kawasan air terjun, kami berjalan hampir 300m untuk sampai ke tepi Sungai Oya dan menaiki rakit untuk ke air terjun. Seperti biasa, hari itu juga kawasan ini dipernuhi dengan penduduk tempatan yang datang berlibur. Dari cerita Mas Lilek, air terjun ini mendapat nama daripada kisah sejenis alat muzik yang disimpan oleh seorang raja. Dan ada juga beberapa cerita lain yang berkaitan. Tapi, saya ni bukan pendengar cerita yang bagus sebab kadang-kadang ada juga perkataan-perkataan yang disebut oleh Mas Lilek yang membuatkan dahi saya berkedut 1000 hendak memahaminya. hehe. Senang cerita, baca aje sejarah air terjun Sri Gethuk ni. 

Tak tau nak cerita dah, layan gambar la pulak.


Tengok signboard lawa bukan main gambarnya
Inilah rupa 'lori' yang saya katakan tu. Macam naik lori masa rafting kat Sg. Kampar.
jalan terus untuk naik 'rakit'. Di sepanjang jalan terdapat gerak menjual air dan makanan.
'Rakit' : inilah rakit yang akan membawa kami ke air terjun. Penduduk di sini sangat kreatif! Rakit ini diperbuat daripada tong plastik. Enjinnya pula seperti enjin mesin rumput yang diubah suai menjadi enjin 'rakit'.
Pic 1 & 2 : Pemandangan sepanjang menyusuri Sungai Oya. Batu-batuan disepanjang sungai sangat unit sehingga ada yang menggelarnya seperti Grand Canyon atau lebih dikenali dengan gelaran Green Canyon

Ramainya orang sampaikan nak berjalanpun susah. Rakit akan berhenti di tepi batu (di tempat yang disediakan) dan kita boleh melawat di sekitar kawasan air terjun. Nak balik nanti beratur balik kat tempat tadi dan tunggu rakit seterusnya. 

Pic 1 & 2 : aksi terjun tiruk 'berani mati'

Pic 1 & 2 : Air terjun, hanya ini gambar yang saya dapat amik. Orang yang sangat ramai menyebabkan pergerakan kami terbatas. Pusing kiri ada orang, pusing kananpun ada orang. Last skali give up terus. Err... padahal tak pandai amik gambar. huhu


~ bersambung lagi

Wednesday, January 16, 2013

Gunung Kidul Part Vll : Gunung Api Purba

Hari keempat : 24/12/2012 : Isnin


Pagi tu seawal 4.00pg, puaslah alarm di hp menjerit-jerit minta kami bangun. Tapi liat benor nak bangun masing-masing. Bangun, cuci muka, gosok gigi, err.. saya x mandi (tak tau la orang lain mandi ke idak), dan solat subuh. Subuh di sini awal. Bersiap dan kami dihidangkan teh dan roti sebagai alas perut sebelum bergerak ke kaki gunung. Pagi itu, adik Pak Mur (saya lupa namanya) dan Mas Lilek yang akan membawa kami mendaki Gunung Api Purba. Dengan berbekal lampu picit kami mula mendaki. Track agak licin dan berbecak menyukarkan pendakian kami. Nak kata tough sangat track tu takdelah... tapi berpeluh jugak ketiak masing-masing nak sampai ke puncak.

Dari cerita Mas Lilek, kawasan Ekowisata Gunung Api Purba ini sangat luas, dan terdapat beberapa gunung/bukit di sekitarnya. Selain itu sepanjang mendaki hingga ke puncak, kita akan melalui pelbagai tempat-tempat yang mempunyai kisah/sejarah tersendiri seperti Sumber Comberan (sumber mata air yang mempunyai khasiat yang tersendiri), Song Gudel (gua kerbau), Lorong Sumpitan (antara laluan sempit yang akan dilalui untuk ke puncak) dan banyak lagi.

Jom layan gambar.

Kaki gunung : track pendakian bermula di sini. Kepada sesiapa yang ingin mendaki gunung ini, perlu mendaftar di pondok kawalan dan sedikit bayaran dikenakan. Jika mahu berkhemah, dewan terbuka dan tapak perkhemahan juga disediakan untuk kemudahan pelawat. Pic diambil selepas turun gunung, masa naik tak nampak apapun... bila turun baru tau betapa lawanya kawasan ini. Di kaki gunung dipenuhi pokok pain dan bunga matahari. Sangat cantik!
Pic 1 : antara tempat-tempat menarik yang terdapat di sekitar Gunung Api Purba
Pic 2 : Track pendakian (permulaan)

Pic 1 : Jalur pendakian ; kena panjat batu guna tali yang disediakan
Pic 2 : Lorong Sumpitan ; seorang je boleh lalu lorong ni, so kena beratur ye nak lalu sebab lorong ini muat-muat seorang dewasa saja.

Tak silap saya hampir 1 jam juga kami mendaki barulah sampai ke kaki puncak. Untuk naik ke puncak kami perlu menaiki tangga kayu yang disediakan dan nah akhirnya sampai juga kami ke puncak! Perasaannya puas! Di sana sudah ada sekumpulan anak-anak muda (mungkin pelajar) yang telah lama bersedia menunggu matahari terbit. Tapi sayang sekali, cuaca hujan menyebabkan matahari malu-malu aje nak keluar. Tapi tetap kawasan di sekitar menyediakan pemandangan yang cantik!

Selepas sekian lama menunggu matahari terbit ini sahaja yang matahari yang nampak.
Kabus tebal di menutupi kawasan sekitar

Selepas cerah barulah kelihatan pemandangan sebenarnya... Kelihatan sawah padi bukit dan penempatan penduduk di sekitar kaki gunung

Aksi-aksi mereka di puncak gunung. 

Turun dari gunung, selepas melawat sekitar kaki gunung yang dipenuhi bunga matahari dan pokok pain, kami dibawa berjalan sekitar kampung. Dari pandangan mata kasar saya, penduduk di sini masih mengamalkan cara hidup tradisi secara aman dan damai. Kami boleh lihat rumah-rumah penduduk yang rata-rata beratap seperti bata. Kebanyakan ketika itu penduduk turun ke sawah. Jadi tak ramai penduduk tempatan yang kami jumpa. Di kiri kanan kelihatan sangat hijau dengan sawah padi yan terbentang luas. Selain itu ada juga terdapat tanaman kontang lain seperti jagung dan sayur-sayuran.

Jalan-jalan keliling kampung

Sawah padi di kaki gunung Api Purba. Itulah gunung yang kami panjat subuh tadi.
Puas jalan-jalan sekitar kampung, kami balik ke rumah Pak Mur (melalui jalan belakang). Rehat kejap, bersihkan diri, kemas beg dan sampailah masa untuk pulang. Sebelum pulang kami makan dulu. Ibu menghidangkan kami nasi beserta lauk-lauk kampung. Simple tapi sedap! Siap semuanya, kemas beg dalam kereta, dan bersiap untuk berangkat. Berat hati nak meninggalkan tempat ini. Dah jatuh hati dengan suasana kampung di sini. 

Selepas mengucapkan selamat tinggal pada Pak Mur sekeluarga kami bertolak untuk ke destinasi seterusnya. Masih awal untuk terus pulang ke Jogja, ada beberapa tempat yang menarik di sekitar Gunung Kidul yang kami mahu lawati....

~ bersambung