Followers

Friday, October 10, 2014

Mt. Kinaballu 2014 - day 3 & 4

* Entry yang lama terperap dalam draf baru nak post.

4 Sept 2014

Hari baru kami bermula seawal jam 1.00 pagi. Bangun, bersiap sedia dengan pakaian selengkapnya untuk menempuhi perjalanan mendaki ke puncak Kinaballu. Untuk pakaian, saya pakai 2 helai baju, dan paling luar sweater kalis sejuk dan angin. Seluar pulak yang tahan sejuk - beli kat Korea khas untuk winter. Sangat membantu! Oh ya, jangan lupa bawa sarung tangan sebab pagi ini kami dikhabarkan suhu sangat sejuk. Selepas bersiap, kami sarapan ala kadar. Roti, kaya dan air disediakan oleh pihak penganjur. Air panaspun ada. Saya bancuh oat dan susu yang dibawa, makan roti dan kurma untuk alas perut. Nak makan beria tengah pagi buta memang tekak tak mampu nak telah. 

Pukul 2.00 pagi kami semua dah siap menunggu di ruang menunggu. Guide kami pun dah siap sedia. Dah siap semua kamipun bergerak. Kiranya kumpulan kami antara kumpulan terawal yang bergerak naik. Pintu pagar pun tak buka lagi. Tapi guide kata tak apa, jalan saja sebab dia ada kunci. Tujuan kami bergerak awal sebab tak nak tersesak-sesak dalam perjalanan naik nanti. 

Keadaan sangat gelap dan sejuk. Jalan kami hanya berberkalkan headlamp sahaja. Mula-mula mendaki dah jumpa tangga. Hampir 1 jam mendaki tangga akhirnya kami sampai di Sayat-sayat (KM 7). Alhamdulillah! Orangpun tak ramai lagi jadi kami ambil masa agak lama untuk berehat di situ sebelum teruskan pendakian naik. Kat sini kena daftar kat pondok pengawal. Lebih kurang 1/2 jam rest, barulah kami teruskan pendakian. Kali ini jalan lebih mencabar. Trek yang dilalui berbukit dan licin. Ada sesetengah trek mendaki kena guna tali untuk memanjat. Memang kena berhati-hati. Terlepas tali, gaung yang menanti. Penglihatan memang sangat terbatas. Masa ni tak boleh memandai-mandai, ikut saja apa yang guide suruh buat.

Di pendakian KM 7.5 - 8 trek berbukit tapi mendatar. Saya rasakan ini antara trek yang paling mencabar. Oksigen kurang, suhu sejuk dan kadang-kadang berangin. Jalanpun sekadar ikut rentak kaki melangkah. Semua bergantung pada kekuatan mental. Serius masa ni, nak give up pun ada. Jalan punya jalan, akhirnya pada jam 5.30 pagi kami sampai di puncak Kinaballu! Alhamdulillah. yeah! Masa sampai tu beria nak panjat sampat ke low peak! Kekonon nak abadikan potret kat situ. Tapi masa tu gelap bebenor. Huahua. Ambil gambarpun tak lawo. Hahaha.

Ok, layan ajelah gambar di puncak Kinaballu!

Sunrise - matahari malu-malu nak tunjukkan diri. Ini saja hasil matahari terbit yang dapat dinikmati.
Lagi matahari malu-malu nak tunjukkan diri

KM 8.0 - gambar yang ada kat note RM1 lama dan RM100
Selfoot - nak bergambar kat low peak ramai sangat orang, jadi cukuplah bergambar kat sini

Sama tak?
Dah makin cerah. Sayang tak dapat nikmati matahari terbit dari puncak. Kabus tebal dan sejuk
Kolam air di puncak Kinaballu - boleh berwudhuk di sini


Agak lama saya melepak di puncak, bila dah cerah barulah kami beransur-ansur turun. Tak tahan sejuk melampau. Makin cerah, anginpun makin kuat bertiup. Walaupun tak dapat layan sunrise dari puncak, sampai ke puncakpun dah kira satu pencapaian terbaik dah. Kan?

Pemandangan di puncak dan perjalanan turun ke Laban Rata
Tadi masa panjat gelap tak tahupun keadaan trek macam ni. Bila dah cerah baru tahu macamana keadaannya. Bagi yang gayat boleh kecut perut jugak. Tapi yang pasti pemandangan sekeliling sangat cantik!

Sayat-sayat dan trek yang terpaksa kami tempuhi untuk turun
Lagi trek turun, semua kena guna tali.

Lagi pemandangan sekitar perjalanan turun ke Laban Rata
Antara trek yang mencabar. Yang pakai baju merah itulah guide kami

Hampir 3 jam menuruni trek, akhirnya sampai ke Laban Rata. Kami terus kemas beg dan turun bersarapan. Sarapan dengan santai sebab masih awal. Dalam pukul 11.00 pagi barulah kami bergerak turun. Kali ni saya turun berdua. Jadi kami turun secara santai sambil bercerita. Bila penat, rehat kejap. Lagipun tak ada apa yang hendak dikejar di bawah sana. Tambah pulak, kaki dah penat sangat. Lenguh mendaki dan turun dari puncak pagi tadipun tak hilang lagi. 

Laban Rata - Alhamdulillah, berpeluang juga jejak kaki ke gunung tertinggi di Asia Tenggara
Selepas 5 jam akhirnya sampai ke Timpohon. Kali ini saya turun berdua, seorang dah selamat dan kawan-kawan yang lain masih dalam perjalanan.

Sampai Timpohon, kami berdua lapor diri kat pondok pengawal dan tunggu van untuk membawa kami ke Kinaballu Park. 

Malam itu kami diraikan. Maklumlah dapat menteri orang Sabah. hiks. Selepas diraikan barulah kami bertolak balik ke bandar Kinaballu. Kami bermalam di Marina Apartment sebelum bertolak balik ke Kuala Lumpur esok harinya.


5 Sept 2014

Hari ini bertolak balik ke KL dan kemudian petang terus ambil fight ke KT. Masih ada setengah hari untuk jalan-jalan di sekitar bandar KK. Selepas sarapan, kami terus berjalan kaki ke Philippine Market. Sempatlah membeli apa-apa yang patut untuk famili. 

Trip kali ni memang betul-betul untuk memanjat Kinaballu. Trip tersepak. Tapi best! Sebab dapat geng mendaki yang sporting. Walaupun ada yang baru kenal. Tapi semuanya baik-baik. Kalau ada peluang, diberi kesihatan tubuh badan, nak panjat lagi Kinaballu sebab frust tak ada gambar melompat di puncak Kinaballu. Woha!


Monday, October 06, 2014

Mt. Kinaballu 2014 - day 2

*momentum menulis sangat slow sebab penyakit M sangat tebal. huhu

3 Sept 2014

Hari yang ditunggu-tunggu dah tiba. Bangun pagi, mandi dan bersiap. Malam tadi briefing, kami dah diingatkan bangun awal dan berkumpul seawal jam 7.00pagi. Semua barang keperluan yang nak dibawa mendaki kalau boleh diasingkan dalam satu beg (letak dalam plastik), manakala beg dan barang-barang lain akan ditinggalkan di tempat menyimpan beg di pejabat - bayaran RM10 untuk simpanan beg. 

Barang-barang yang dibawa - sepersalinan baju & seluar untuk trekking balik esok hari, pakaian untuk mendaki naik ke puncak (sweater, glove, seluar etc) dan lain2 kelengkapan penting. Semua barang-barang ini saya letakkan dalam plastik untuk dibawa oleh porter. Bayaran RM10/kg. Dah namapun amatur, jadi biarlah porter yang tolong bawakan. Walaupun tak berapa berat, saya tak berani nak menghadapi risiko memikul beban di bahu dengan perjalanan trekking yang panjang dan saya sendiri tak tahu bagaimana rupa trek yang akan ditempuhi nanti. Jadi biarlah kita serahkan pada porter untuk mengangkat barang-barang. Sementara hanya air, makanan, mini towel, baju hujan, wind breaker dan camera sahaja yang dibawa bersama beg yang disandang.

Puncak Kinaballu dari kejauhan. Alhamdulillah pagi ni cuaca menyebelahi kami - siap boleh nampak puncak Kinaballu dari Kinaballu Park.

Seawal jam 7.00 pagi semua dah siap dan sedia dengan beg masing-masing. Ada van yang akan datang ambil penginap untuk ke Kinaballu Park. Tapi kalau nak jalan sendiripun boleh. Sarapan disediakan di Balsam Restaurant seawal jam 6.30 pagi. Sarapan memang banyak dan setiap pendaki akan dibekalkan pack lunch - sebiji epal & sandwich. Lain-lain makanan/minuman yang saya bawa ialah coklat, kurma, mineral water 500ml & 100 plus. Lepas sarapan sengaja saya ambil pil mabuk - persiapan awal takut apa-apa.Walaupun saya tak ada masalah mabuk, tapi lebih baik bersedia lebih awal.

Ambil feel bergambar beramai-ramai dulu. Tengok puncak Kinaballu dari bawah dalam hati berdebar, mampu @ tak ni nak sampai puncak agaknya.
Turutan gambar : Gambar tengah (besar), atas kiri ke kanan, bawah dan ke kiri bawah. Bersama 2 oarang guide yang akan bersama-sama kami sepanjang perjalanan ke puncak Kinaballu, timbang barang-barang untuk dibawa oleh porter, kemas semua beg yang akan ditinggalkan di pejabat urusan, taklimat oleh guide sebelum mulakan perjalanan, lapor diri dulu di kaunter, sessi panaskan badan dan bacaan doa sebelum mulakan perjalanan.

Ding dong sana sini, dalam pukul 9.30 pagi jugak barulah kami semua ready mulakan trekking.

Kali ni kita biarkan gambar saja bercerita!

Trek bermula - mula-mula landai, lepas tu terus jumpa tangga, tangga dan tangga!
Antara tangga yang tinggi, dan lagi trek di sepanjang jalan. Kalau penat setiap 1km ada pondok untuk berhenti rehat. Ada sumber air semulajadi dan ada sesetengah pondok disediakan tandas.
Semua laluan bertangga yang bisa buat lutut bergoyang. Dalam terhegeh-hegeh mendaki, tiba-tiba ada porter yang melintas. Laju je jalan dengan beban berkilo-kilo di belakang. Salute!
Tak pasti di kilometer berapa, terserempak dengan 'insan istimewa' ini. Dia baru turun dari puncak. Sempatlah kami bertegur sapa dan bertanya khabar. Hebat, dia sampai ke puncak Kinaballu uols!!

Menariknya mendaki Kinaballu, semakin tinggi trek mendaki, pemandangan makin lawa. Mula-mula jumpa pokok-pokok renek dan tak lama jumpa pulak pokok bongsai. Kalau nasib baik boleh nampak pemandangan Kundasang dari jauh. Besar semut aje rumah-rumah dari atas.


Sampai kat sini, pemandangan dah start lawa. Pokok-pokok semua nampak comel. Hilang penat. Tapi suhu dan cuacapun makin sejuk.
Disebabkan view lawa, lama kami berhenti kat sini. Sempat berkenalan dengan kawan baru yang sama mendaki hari tu.
Trekking bertangga yang tak menahan, tapi pemandangan yang lawa buat penat hilang sedikit demi sedikit.
Antara pokok-pokok renek/bunga di sepanjang trek
Bunga-bunga kuning dan pokok-pokok bongsai ni tandanya tak lama lagi sampailah kita ke Laban Rata.

Akhirnya hampir 5 jam trekking, lebih kurang pukul 2.00pm saya sampai di puncak. Yey! Alhamdulillah. Nampak bangunan putih tu macam satu nikmat! Hilang semua lenguh-lenguh kaki. Sampai je, terus saya ke restoran. Masuk restoran, hanya seorang daripada group kami yang baru sampai. Dia lagi hebat, pukul 11.00 dah sampai. Rest dulu, tak lama lepas tu seorang lagi sampai. Dah hilang penat, barulah makan tengahari. Sementara tunggu kawan-kawan yang lain sampai, lama jugak saya habiskan masa di restoran. Sempat membuta. Haha. Penat!

Laban Rata

Tak pasti berapa lama menunggu, rasanya lebih kurang pukul 5.00 petang barulah semua ahli kumpulan kami sampai sepenuhnya. Melepak dan makan malam lepas itu barulah ambil kunci di kaunter dan naik ke bilik di Gunting Lagadan.

Bilik di Gunting Lagadan, kecil saja, sebilik ada 4 katil - double bed. Alhamdulillah selesa untuk kami bermalam untuk malam itu. Bilik sangat basic - towel dan slipper disediakan. Jadi nanti tak payah susah-susah nak angkut towel lagi. Masuk bilik, ambil barang saya terus mandi. Bare in mind, shower takde hot shower. Walaupun sejuk tetap mandi sebab dah seharian berpeluh. Tak sampai hati tengok diri sendiri tak mandi. Hahaha. Air sejuk sampai ke tulang. Tapi sangat refeshing. Mula-mula kena air memang sejuk, tapi lama-lama sejuk hilang. (ikut cara mandi RasulAllah, lalukan air dari bawah ke atas, dimulakan kaki kanan dulu. Kemudian sedikit demi sedikit barulah basuh hingga ke atas bahagian atas badan, dan terakhir di bahagian kepala - InsyaAllah, dengan sendirinya sejuk itu hilang).


Gambar 3 dari atas : Gunting Lagadan dan pemandangan di sekitar Laban Rata.

Dah mandi, solat, pakai baju tebal-tebal, kemas beg untuk esok, makan vitamin, borak kejap, terus saya tido. Walaupun tak mengantuk paksakan jugak mata supaya tido. Sebab pukul 1.00am dah kena bangun bersiap untuk mendaki ke puncak. Jadi kena recharge tenaga untuk bekalan ke puncak esok paginya.

~ bersambung


Wednesday, October 01, 2014

Mt. Kinaballu 2014 - day 1

2 Sept 2014

Flight dari KLIA2 berlepas lebih kurang pukul 7.30am. Selepas 45 minit berlepas, tiba-tiba pilot membuat pengumuman, katanya ada masalah teknikal pada kapal terbang dan bagi mengelakkan sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku, flight terpaksa berpatah balik. Bayangkan kalau korang disituasi saya, apa yang terbayang dalam kepala masa tu? Sudahlah, pagi itu beberapa jenazah mangsa MH17 baru saja sampai di KLIA, MH370 pun masih hilang lagi, tiba-tiba korang berdepan dengan situasi kapal terbang yang korang naiki menghadapi masalah teknikal! Aduh.... kecut perut jugak dibuatnya!

Selepas 45 minit flight berpatah balik, Alhamdulillah flight selamat landing - itupun selepas mengalami gegaran dan bunyi enjin yang kuat amat! Semua penumpang diminta menunggu di waiting room. Lepas 30 minit menunggu barulah staf AA membuat pengumuman pertukaran flight dan kami akan berlepas di pintu lain dan masa 10 minit lagi. Kali ini semuanya selamat sehinggalah flight landing di lapangan terbang KK. 'belum apa-apa dah diuji, harap-harap esok selamatlah sampai ke Kinaballu' 

Dari airport, kawan-kawan dah sedia menunggu di luar. Kami langsung ke bandar KK, singgah di Central Point membeli barang-barang di saat akhir sebelum ke Kinaballu Park. Sebelum itu sempat dulu singgah di Jeti Jesselton Point, isi perut dan solat dulu. Lepas tu barulah kami langsung ke Kinaballu Park. Btw, semua kos pengangkutan dah termasuk dalam pakej RM750 yang dibayar.

Disebabkan kami bertolak lewat ke Kinaballu Park, jadi berkematulah montot dalam van sementara meredah jalan yang agak jammed. Tapi fun je duk dalam van sebab ramai penglipurlara. Elok-elok sampai Kinaballu Park dah hampir pukul 7.00 malam. Sampai je, terus kami makan malam Balsam Restaurant. Seperti review daripada mereka yang pernah mendaki dan makan di sini, menunya memang sedap! Sesiapa yang suka kambing memang heavenlah. Walaupun saya bukan penggemar kambing, rugilah kalau tak rasakan? Memang sedap! 

Lunch @ Balsam Restaurant. Mewah dengan makanan!

Dah kenyang, kami dihantar ke Grace Hostel. Untuk mereka yang akan mendaki pada esok hari biasanya akan bermalam di sini dulu satu malam sebelum mendaki pada esok harinya. Bilik sangat selesa. Bilik air lengkap dengan shower. Lepas mandi dan solat, kami seramai 11 orang berkumpul di lobi hostel. Ada sessi ta'aruf, taklimat untuk perjalanan esok hari dan pembahagian baju. Beria saya bawak t-shirt merah sekali esok kena pakai t-shirt oren! Nampaknya selagi terikat dengan kementerian ni, tak boleh lari dari warna oren. huhu. 

Hari yang panjang, masa untuk rest sebab esok kami ada misi yang harus ditunaikan!


Friday, September 19, 2014

Mt. Kinaballu 2014 - Intro

Rancangan untuk turut serta dalam misi menawan Kinaballu ini sebenarnya berlaku tanpa dirancang. Saya kira ini trip mengubat hati. Hahaha. Kali ni saya pergi sorang-sorang tanpa GBS mahupun geng berjimba. Walhal merekalah yang selalu duk ajak mendaki ke puncak Kinaballu, alih-alih saya sampai puncak sorang-sorang tanpa mereka. Perancangan Allah siapa yang tahu kan?

Kali ini saya joint geng-geng sepejabat yang selalu anjurkan aktiviti hiking. Boleh dikatakan 2x setahun memang akan ada trip menawan puncak Kinaballu. Itupun tak sampai sebulan saya ambil keputusan untuk turut serta. Bayaran untuk mengikuti xpdc ini RM750 termasuk pakej mendaki 3D2N (makan dan penginapan), transport dari airport ke Kinaballu Park & return ke bandar KK dan penginapan malam terakhir di bandar KK. Semuanya sudah disiapkan. Tinggal pergi dan daki saja.

Dari segi persiapan untuk barang-barang kelengkapan pulak, tidak banyak yang dipersiapkan. Pakai saja apa yang ada. Kasut hiking yang selalu melindungi kaki ke mana-mana saya hiking - janji tapaknya masih kukuh. Ada juga kawan-kawan yang cadangkan pakai kasut 'adidas kampung' tapi disebabkan kaki saya bersaiz 3 @ 4 kasut 'adidas kampung' bersaiz paling kecilpun dikira masih besar dengan kaki saya. Sebenarnya tak kisahlah kita pakai kasut mahal atau murah, yang penting ialah kita pakai kasut yang sesuai. Tak guna kalau pakai kasut yang mahal jika kasut yang dipakai merupakan kasit jogging. Memang tak membantu! Sebabnya tapak kasut untuk jogging memang tak sama dengan tapak kasut untuk hiking/outdoors. Penting memakai kasut yang sesuai terutamanya ketika mendaki dari trek Sayat-sayat hingga ke puncak kerana mostly trek berbatu dan kadang-kadang licin. Jadi bantuan kasut yang sesuai sangat membantu melancarkan pendakian. Kalau tak, ada yang terpaksa merangkak sedangkan orang lain berjalan saja atas batu sebab licin.

Kelengkapan lain yang saya bawa adalah seperti :
  • Sweater - 1 helai
  • Windbreaker - 1 helai
  • Baju hujan - 1 helai
  • Trek suit - 2 helai (sehelai trekking pergi, sehelai untuk tidur)
  • Seluar - 1 helai (khas untuk trekking ke puncak, tebal, ringan dan tahan sejuk)
  • T-shirt - 3 helai
  • Stokin - 3 pasang
  • Sarung tangan - kalis air dan tahan sejuk
  • Trekking pole
  • Sandal
  • Toiletries & lain-lain kelengkapan
  • Ubat mabuk - walaupun saya tak mabuk, tapi disebabkan ini pengalaman pertama, jadi saya buat persiapan awal-awal. Makan 2 biji sebelum hiking, dan 2 biji sebelum naik ke puncak.
  • Vitamin dan lain-lain ubatan
  • Kurma & coklat - kurma memang pemberi tenaga terbaik. Sesiapa kalau nak mendaki memang saya sarankan bawak kurma. Simple, ringan, sedap dan mengenyangkan! Sesungguhnya makanan sunnah memang yang terbaik!
  • 100 plus & air mineral
* Untuk pakaian persalinan, setiap pakaian yang hendak dipakai, saya dah asing siap-siap letak dalam beg plastik berbeza. Jadi bila nak pakai tak payah tercari-cari. Senang nak manage semua barang-barang ni. Setiap kelengkapan semua dimasukkan dalam plastik walaupun beg sandang saya kalis air, tapi sebagai persiapan awal, kita simpan siap-siap semua barang dalam plastik.

* Tips lain supaya potong kuku kaki pendek sangat berguna walaupun ia hanya tips yang simple. Tips ini berguna terutamanya semasa semasa turun dari gunung. Sebabnya, semasa turun kaki kita akan digunakan sebagai 'brek' semulajadi. Jadi kalau kuku pendek, kuranglah sikit tekanan dan 'cekam ' pada jari kaki. Bayangkan kalau kuku panjang, mesti sakit jari kaki. 

* Lain-lain tips oleh sesetengah kawan yang pernah menawan punck Kinaballu ialah, bawa mental dan semangat yang kuat juga memang ada kebenarannya! Rasanya tanpa mental yang kuat, sayapun mungkin tak mampu sampai ke puncak. Sepanjang perjalanan, kadang-kadang rasa putus asa tu datang, tapi dek kerana semangat masih bersisa, otak terus berkata teruskan perjalanan walaupun kaki sebenarnya dah tak mampu nak melangkah. Haha.

Bagi amatur seperti saya pastinya semua pesanan dan tips tidak boleh dipandang enteng. Dah namapun amaturkan? Sudahlah tak exercise langsung. Kawan-kawan lain duk training panjat Gunung Datuk, hiking Bukit Saga, saya yang jauh nun di Terengganu ni hanya hiking Bukit Besar yang tak berapa nak tinggi tu saja. Itupun kurang 2 minggu sebelumnya barulah gigih memanjat Bukit Besar. Hampir setiap petang jugaklah pergi memanjat Bukit Besar tu. Permulaan panjat sekali. Lepas tu baru tambah jadi 2 kali panjat dan turun, tapi nak masuk kali ketiga saya dah surrender. Penat oii!

Low peak of Mt. Kinaballu

Ok, kita sambung part hari kejadian pulak next entry ^_^


Monday, September 08, 2014

Mt. Kinaballu 2014


Alhamdulillah, tanggal 4 September 2014 jam 5.30am akhirnya saya dah selamat sampai ke puncak gunung tertinggi di Malaysia. Bagi pendaki amatur macam saya, saya kira ia satu pencapaian terbaik buat diri sendiri kerana dapat melawan diri sendiri untuk sampai ke puncak. Benar kata kawan-kawan yang pernah mendaki gunung ini, untuk sampai ke puncak bukan mudah, tapi kekuatan fizikal bukan menjadi masalah utama sebaliknya diri sendiri! Sebab dalam tempoh pendakian hanya mental yang mampu mengawal segalanya. Kerana kalau mental kata TAK MAMPU maka tak sampailah jawabnya walaupun fizikal kata MAMPU. 

Monday, June 30, 2014

Ramadhan 2014/ 1435 Hijriah

Pic : Masjid besi pada Iftar terakhir Ramadhan 1434 dalam kenangan. Sayu pulak bila tengok gambar ni lama-lama....

Marhaban ya Ramadhan! Alhamdulillah dipertemukan lagi dengan Ramadhan kali ini. Rasa macam sekejap saja melalui hari-hari sepanjang Ramadahan di Masjid Besi tahun lepas. Boleh dikatakan setiap hari di sinilah saya habiskan masa sementara menunggu iftar. Biasanya kalau rajin sempatlah habiskan sejuzuk petang itu. Tapi... rajinnya sikit sebenarnya, malasnya lagi banyak! Hehehe. Sebab kebiasaannya saya banyak habiskan masa dengan memerhati gelagat orang di sekitar masjid selepas bertadarus beberapa helai halaman al-quran. Tenang berada di situ. Saya kira banyak juga Ramadhan yang saya habiskan di situ. Kalau tidak di Masjid Besi, ke Masjid Putra.

Mungkin... itulah iftar terakhir saya di Putrajaya.

Sebab? Ramadhan kali ini akan dihabiskan di kampung halaman. InsyaAllah...

Apapun, walau di mana sambutan Ramadhan kita... moga amalan kita lebih baik daripada sebelumnya. Dan moga akan ada rezeki untuk bertemu lagi pada Ramadhan yang akan datang.

p/s : mohon maaf zahir dan batin pada semua.

Friday, June 27, 2014

Penang

Trip pendek 2D1N ke Penang. Kali ni hanya kami berdua saja yang mampu meredah lebuhraya Utara-Selatan untuk sampai ke Penang. Kawan-kawan yang lain macam biasa bz dengan hal masing-masing. Sampai sana kami terus ke USM, singgah berteduh di bilik adik bongsu saya. Dalam tempoh 2 hari yang kami ada beberapa tempat sempat kami singgah seperti Taman Negara Penang - kami trekking hampir 3 jam pegi-balik sampai ke Pantai Kerachut dan Tasik Meromiktik yang dikatakan unik itu. Lalu di Balik Pulau pulak tengah musim buah-buahan terutamanya durian dan rambutan - kami siap tapau durian bawak balik KL lagi. haha. Dan... orang kata kalau pergi Penang kalau tak singgah bandar Georgetown tengok Streetart memang tak sah. Cerita penuh tunggu rajin ye. 

* Picture : An old man rowing his sampan at Lebuh Klang, Love Lane Penang. 


Monday, June 16, 2014

NSTP Street race 2014


Semalam 15 Jun 2014, kami ber'4 masuk Strest race yang pada saya lebih sesuai dengan nama stress race. Haha. Race ini bermula di pejabat NSTP di Bangsar dan kami dikendaki bergerak ke lokasi-lokasi yang ditentukan hanya menggunakan pengangkutan awam iaitu LRT dan monorail sahaja dan selebihnya menggunakan tenaga kaki. Gila, jelajah satu KL pakai kaki! Mula-mula daftar masuk, kami tak tahu pulak task yang kami kena buat seteruk ini, dah macam explorace saya raya. Dan tak tahu pulak peserta-peserta yang joint mostly lelaki yang bertubuh sasa! Paling rare tak ramai peserta perempuan. Niat hati nak bersuka-suka aje, tapi jangan terkejut hadiahnya sangat lumayan - total hadiah keseluruhan bernilai lebih 30k! Cash money uols. Itupun dah daftar baru kami tahu hadiah selumayan itu. 

Task pertama bermula di perkarangan pejabat NSTP di mana kami kena cari lebih kurang 15 perkataan tersembunyi dalam satu kertas. Kumpulan mana yang dapat siapkan dulu, mereka akan dapat klu untuk task seterusnya iaitu mencari lelaki berpakaian hitam yang akan memberikan kad klu untuk task seterusnya. Part ni kira ok lagi sebab kena lari je beberapa KM. Lepas dapat task seterusnya, kena lari lagi ke stesen LRT Bangsar - mostly kami jalan kaki je, sebab dah tahun hadiah 10k tu bukan kami yang punya. hahaha. Sampai stesen LRT kena jawab soalan pulak. Pasal sejarah penubuhan LRT? Adeh... memang failed. Tapi yang paling best, dah penat bertanya dengan pakcik google, baru tahu semua jawapan dah disediakan di kaunter tiket. denggg!!!

Secara keseluruhan ini turutan task yang kami kena hadap untuk siapkan task ini :
  1. Pejabat NSTP - cari 15 perkataan tersebunyi
  2. Cari lelaki berbaju hitam - kawasan sekitar pejabat NSTP
  3. Dapat klu terus ke stesen LRT Bangsar
  4. Jawap soalan untuk dapat klu seterusnya - kami diberi klu dan peta
  5. Dari Bangsar naik LRT ke st. KL Sentral - keluar ke Brickfields untuk cari lelaki berbaju hitam dan dapatkan klu
  6. Dapat klu kami kena cari sebuah restoran di sekitar Brickfields - tak kira berapa KM dah kami kena jalan dan lari
  7. Dapat klu dari restoran kami kena cari van NSTP - di sini kami diberi seguni pasir seberat 20kg dan kami kena angkut guni pasir tu ke 3 check point mengikut turutan dan destinasi terakhir di menara Ambank, Jalan Raja Chulan. Task yang ni memang betul-betul KEJAM! Bayangkan kami ber'4 nak angkat guni seberat 20kg. Separuh daripada berat badan saya kot. Adeh... puas angkat ber'2 ber'3, kami heret guni pasir tu. Akhirnya dapat akal cari kayu 2 batang, kami angkat ber'4. But still mengah ala-ala separa mati masing-masing mengangkat guni pasir tu. Betul-betul nak dera kami ni. Masa tu tengok peserta lain yang sasa-sasa tu selamba je angkat guni! Gila psyco!!! TAPI... rupa-rupanya ramai peserta lain yang panjang akal dari kami, diorang siap beli beg troli. Adeh.. apsallah kami tak terserempak dengan peserta yang tarik beg troli aa?? Antara 3 check point, dari Brickfields kami jalan dan kemudian naik LRT ke st Central Market untuk ke check point ke 2 which is sebenarnya boleh jalan kaki je dari Tun Sambathan ke area CM. Part ni memang failed sebab kami semua tak familiar dengan area-area KL. 
  8. Selesai check point 3 terus langsung ke menara Ambank untuk serahkan guni pasir.
  9. Terus ke Menara KL - ada 2 task iaitu panjat tingkat setinggi 23 tingkat. Hoii!!! Tak sampai sebulan kot saya panjat 23 tingkat tu, nak suruh panjat lagi????
  10. Selesai task tu terus ke Tasik Titiwangsa dan di sana kami kena berkayak.
  11. Selesai, terus balik ke Bangsar dan task berakhir di Padang Merdeka, Bangsar - masa ni ramai group yang disuruh balik rumah atau balik ke NSTP saja since dah terlebih masa.
Agak-agak mampu tak kami habiskan semua task? Haha. Jawapannya nan hado! 

Beberapa task terakhir tak sempat dihabiskan sebab masa dah tamat. Itupun tengah nak jalan ke monorail kami ditahan oleh penganjur suruh kami balik saja sebab dah ramai orang balik. Tapi apapun tetap bangga dengan team kami sebab masing-masing berjuang sampai titisan peluh terakhir. Bila ditanya pada penganjur, mereka kata ramai yang give up dan patah balik pejabat je. Kira kami masih boleh berbangga dengan diri sendiri sebab gigih lagi nak habiskan task. Haha... err.. kalau tak puji diri sendiri siapa lagi nak puji kan?

Overall, saya rasa inilah game yang paling GILA pernah saya masuk. Tapi apapun ni kenangan manislah dengan kawan-kawan. Last game, sebelum tinggalkan mereka dan sebelum 'tutup buku' sementara Ramadhan nanti. Selain daripada dapat kenal hati budi masing-masing dalam race ni, secara tak langsung kami boleh tahu jalan-jalan tikus sekitar KL ni. Selama ni bawak kereta je masuk KL atau tengok apa yang cantik saja sekitar KL, tapi kali ni bila terpaksa meredah jalan-jalan dan lorong di KL dengan kaki, boleh lihat semua sisi gelap Kuala Lumpur. 

Dalam FB, kawan saya cakap... tolong jangan ajak aku masuk lagi melainkan ada abang Fahrin Ahmad atau Jong Kook dalam kumpulan, dan saya balas balik, kalau import abang FA dan Jong Kook pun wa dah tak sanggup nak masuk lagi! Sengsara oii!! 

Kesimpulan, panjat Irau dan Hallasan pun tak seteruk ni tau! waaaaa...


Monday, June 09, 2014

Pantai Seberang Takir, Terengganu

Ada yang pernah ke Pantai Seberang Takir?

Kawasan Seberang Takir antara perkampungan nelayan di sekitar Kuala Terengganu. Walaupun namanya tak seglamour Pantai Batu Buruk bagi pelancong, tapi bagi penduduk tempatan tempat sangat dikenali. Sebut saja Seberang Takir mesti semua orang kenal! Terletak lebih kurang 15km dari bandar Kuala Terengganu, sesiapa nak ke sini boleh gunakan 2 cara iaitu jalan darat dan juga jalan air dengan menaiki bot penambang di Jeti Shah Bandar yang terletak berhampiran Pasar Kedai Payang terus ke Hulu Takir.

Antara tempat-tempat menarik di sini ialah :
  • Ikan celop tepung (ICT) di sepanjang pantai Teluk Ketapang
  • Air buah gelas besar
  • Lapangan terbang Sultan Mahmud
  • Keropok lekor Seberang Takir
  • dan... tak ketinggalan stadium yang runtuh tu. huhu

Bagi kaki pancing pulak, kawasan sekitar pantai Seberang Takir antara port sesuai untuk memancing - sepanjang pantai Seberang Takir dan Hulu Takir. Hulu Takir - kawasan pantai yang ditambak untuk mengelakkan hakisan. Ia merupakan penghujung kawasan Seberang Takir, terletak berhadapan dengan Taman Shah bandar. Kiranya tempat ini adalah muara sungai - tempat pertembungan antara sungai dan laut. 

Jom layan gambar sekitar Hulu Takir. 

Boleh mandi pantai kat sini sebab ombak tenang di sini. 
Kawasan teluk di tambak untuk mengelakkan hakisan ombak
Boleh nampak bandar Kuala Terengganu dari jauh.
Pantai yang ditambak membentuk teluk. Waktu petang air surut, jadi terbentuk permatang antara pantai dan teluk. Kawasan ni sesuai untuk budak-budak mandi manda sebab air cetek
Kaki pancing duk memancing. Katanya kat sini kalau bernasib baik boleh dapat ikan laut dan ikan sungai sebab dekat dengan muara
Perkampungan nelayan yang hanya terletak di belakang pantai. Ia hanya dipisahkan oleh jalan kecik dari kawasan rumah ke pantai. Kata anak angkat mak yang tinggal tak jauh dari sini, kalau musim tengkujuh, boleh terasa air laut terpercik masuk dalam rumah. Macam gerimis gitu.
Budak kecik ni berani tengok je dari jauh, tapi tak berani nak jejak kaki atas pasir. huhu

Jadi, kalau sesiapa yang berpeluang ke Kuala Terengganu, jangan lupa singgah Seberang Takir. Boleh pekena ICT dan ABC di pantai Teluk Ketapang atau merasa air buah gelas besar yang pior tu. Sangat sedap. Keropok lekor di sinipun tak kurang sedapnya jugak tau. Kalau tanya saya, mana sedap keropok lekor Seberang Takir @ Losong? Saya pilih keropok lekor Seberang Takir sebab keropoknya banyak ikan.


Thursday, June 05, 2014

Short trip : Pulau Sibu, Johor

AMARAN : Entry ni sangat panjang, sangat banyak gambar sebab tuan tanah malas nak buat entry bersambung-sambung. Maka terjadilah cerita 2D1N dalam satu entry.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Trip pendek pada hujung minggu lepas dengan geng berjimba. Trip yang dah lama di rangcang, tapi baru je direalisasikan. Itupun secara tak sengaja. Walaupun tak cukup ahli jemaah, kami teruskan juga. Kali ini hanya ber'5 - Anne, K.A.K, Fathi, Nik dan saya. Kami car pool dengan sebuah kereta dan sebagai anak Johor, Fathi mengofferkan diri jadi tuan rumah, driver etc. 

Seawal jam 8.00pm kami bertiga dah menunggu Fathi di petronas SK dan terus shoot ke Salak Tinggi untuk ambil Anne. Siap dengan peta bagai nak ke rumah Anne tapi tetap jugak kami makan 'langsat'. Haha. Tapi akhirnya lepas hampir sejam kami berjaya sampai rumah Anne dan terus bergerak ke selatan Malaya, keluar dari tol Nilai. Masuk lebuhraya Utara-Selatan, jalan sesak. Penuh kenderaan. Line bertentanganpun tak kurang sesak. Agaknya semua orang ambil peluang sempena cuti sekolah untuk bercuti-cuti Malaysia macam kami jugak kot.

Dipertengahan perjalanan, kami singgah di gerai burger bakar adik Fathi di Muar (exit tol Bukit Gambir). Itupun kedai dah tutup. Kesian adik Fathi, lama tunggu kitaorang lambat. sampai. So, kalau sesiapa teringin nak merasa burger bakar bolehlah singgah kat Pak Buncit Burger Bakar. Mesti tak menyesal sebab sedap! 

Lepas dah kenyang makan, perjalanan diteruskan hingga ke exit tol Ayer Hitam - lepas tu perjalanan ke Tanjung Leman akan melalui jalan dalam. Sebenarnya plan asal nak teruskan ke Tanjung Leman, tapi disebabkan jalan dalam tu sunyi - takut jadi apa-apa perkara yang tak diingini since kami semua perempuan. Atas nasihat mak Fathi, kami singgah bermalam di Ayer Hitam Inn je. Esok lepas subuh baru kami bertolak menuju ke Kota Tinggi.

Trip kami kali ini ialah ke Pulau Sibu. Kami ambil pakej 2D1N berharga RM150/person (4x meals + accommodation + bot return) dengan Sibu Coconut Village

DAY 1

Jam h/p dah diset pada pukul 5.00am. Masing-masing bangun bersiap ikut giliran. Kejap je dapat tidur dah kena bergerak balik. Maklumlah perjalanan masih jauh. Lebih kurang 2 jam lebih lagi nak sampai ke Kota Tinggi. Dalam 6.30am, kami dah bergerak. Perjalanan ok, tapi biasalah jalan kampung memang sunyi. Tambah pulak bila masuk ke jalan kiri kanan hanyalah kebun sawit. Struktur jalan pulak, MasyaAllah... teruk bebenor! Kesian Daniella (khelas nama kereta Fathi) terpaksa redah jalan yang rosak teruk dan bersimpang siur.

Jam 9.00am, kami selamat sampai di jeti Tanjung Leman. pew.. sampai jugak. Tempat untuk parking kereta disediakan. Bayaran sehari RM4.00. Ambil beg kami terus ke kawasan jeti. Sebelum apa-apa, kena daftar dulu di kaunter Jabatan laut untuk bayaran Jetty & conservation fee sebanyak RM10/person.

Saya terus call Mr. Ho untuk tanya pasal bot. Sekali Mr. Ho bagi no orang lain pulak untuk call. Call Tin, Tin bagi no Chong pulak. Haishh.. berapa banyak no daa... Last skali Chong yang call masa saya duk sibuk nak mendail no. dia. Kelakar je duk tercari-cari si Chong, padahal dia ada kat belakang kitaorang je. Kata Chong, bot sampai pukul 9.30am. Tapi dekat pukul 10.00am barulah bot sampai. 

Jeti Tanjung Leman - untuk ke Pulau Sibu dan pulau-pulau berhampiran seperti Pulau Tinggi etc. 


Hampir 30 minit naik bot, akhirnya sampailah kami di Pulau Sibu. Kata boatman, Peter - kalau naik bot besar ambil masa lebih kurang 15 minit je sampai pulau ni. Sampai je, kami dapat kunci dan ada staff hantar kami ke bilik. Disebabkan semua bilik di Sibu Coconut Village penuh, kami dibawa ke Junansa Villa yang terletak disebelah je. Kata staff Junansa Villa, dua resort ni dah bergabung. Jadi walaupun duk Junansa Villa makan atau semua urusan di bawah Coconut Village. Kalau booking direct dengan Junansa Villa barulah Junansa Villa uruskan semua. 

Jeti ke Sibu Coconut Village dan Junansa Villa. Sebenarnya bot turunkan betul-betul di depan sana. Gambar ni di ambil masa kami berjalan-jalan di sekitar jeti.

Sekali pandang, banyak beza antara Sibu Coconut Village dan Junansa Villa. Sibu Coconut Village walaupun tempatnya tak besar dan luas mana, tapi pengurusannya agak baik dan promosi tentang tempat ini agak meluas kalau nak dibandingkan dengan Junansa Villa. Itulah pentingnya pengiklanan! Macam Junansa Villa, saya rasa tempatnya lagi strategik dan luas kalau nak dibandingkan Sibu Coconut Village, tapi disebabkan masalah pengurusan dan kurang pengiklanan, tempat ini agak terbiar dan tersisih. Err.. ini pada pengamatan saya la. 

Lepas dapat bilik dan masuk bilik, letak beg kamipun keluar balik. Rugilah datang jauh-jauh duk melepak kat bilik je kan? Bilik kami, agak luas dan selesa. Ada katil queen dan satu tilam queen. Nanti malam kalau tak cukup tilam, bantal dan selimut, staff Junansa Villa akan hantar pada kami. Walaupun basic accommodation yang disediakan, rasanya dah oklah untuk bermalam 1 malam. Yang pasti view dari bilik chalet menghadap laut!

Jom kita tengok apa yang ada di sekitar Sibu Coconut Village dan Junansa Villa.

Lepas letak beg, kami pergi melepak kat jeti depan sambil layan perasaan dan tengok orang mancing.

Nun di hujung pulau ada kampung. Kata pekerja Junansa Villa, ada trek laluan untuk ke kampung berhampiran. Kalau jalan kaki ambil masa lebih kurang 1 jam. Bot juga disediakan untuk ke sana.
Pemandangan dari depan resort. Masa ni air baru pasang. Kalau petang air surut semua batu dan pasir akan kelihatan.
Antara aktiviti air di sini. Macam buat pertunjukan pulak mereka-mereka ni naik jet ski.
Pemandangan dari deck resort. Kat hujung sana jeti. Lama jugak kami melepak di jeti sana. Ada orang memancing dan ikan-ikan sangat banyak. 

Puas melepak di jeti kami lepak pulak bawah pokok berhampiran chalet kami. Kat sini tak banyak aktiviti yang boleh dilakukan selain daripada melepak. Pada saya oklah untuk rehatkan badan dan minda. Nak mandi laut, air macam tak best. Lagipun pukul 2.00 petang ni kami dah ambil pakej snorkeling (RM25.00/person) termasuk bot dan alat snorkeling di Pulau Kukus. Jadi kami just lepak sambil buang masa je kat tepi pantai.

View dari depan bilik
Port parking jet ski. Jangan sangka kereta je ada ada parking lot, jet ski pun ada lot parking.
Melayan perasaan atas pangkin. Lama-kelamaan mata makin layu dan lepas tu terlelap bawah pokok. Nasib baik tak terjatuh dari pangkin tu. Haha.
Menu makan tengahari kami. Udang masak kari yang sangat sedap! Satu perkara yang boleh diberi pujian pada resort ini ialah makanan yang disediakan semuanya sedap-sedap belaka. 

Lepas solat Zohor, kami bersiap dan ready untuk bersnorkeling di Pulau Kukus. Tengahari terik, turun snorkeling. Mampu? 

Mereka dah bersedia untuk terjun laut!!

Kami naik bot bersama satu keluarga Cina dan bot terus bawa kami ke sana. Tak jauh mana, lebih kurang 15 minit je perjalanan. Tapi ombak boleh tahan kuat! Melantun-lantun semua orang atas bot. Sampai je dah nampak pulau dari kejauhan. Air biru dan pasir putih menyambut kami. Masing-masing dah excited nak terjun laut. Bersiap sedia dengan life jacket, betulkan google dan snokle semua dah ready nak masuk air. Saya kasi can kawan-kawan turun dulu. Ambil feel bercanda di tepian pantai dulu sebelum masuk air. 

Korang mampu MENCEROBOH tanah hak milik Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor? 

Pulau memang cantik, air biru, pasir putih, TAPI.... coral tak ada! Dari atas bot tadi lagi saya duk perati dalam air tak ada apa-apa selain ikan-ikan kecil dan coral yang mati. Memang pelik kenapa brother bot turunkan kami di sini. Beza bebenor dengan keadaan di Pulau Redang. Tak payah terjun dalam air, tengok dari atas dah nampak karangan bertaburan dalam air. Ni kat Pulau Kukus, puas duk jenguk dalam air, apapun tak ada. Kechewa sungguh!

Apapun layan sajalah gambar tak seberapa.

Pasir dan air di Pulau Kukus sangat lawa - putih bersih. Tapi sayang takde coral..
Ni pantai kat belah kiri. Air lagi cantik. Tapi arus kat sini agak kuat. 
Bukti dah sampai sini. hiks
Kima gergasi - cengkerang kima ni bersepah kat tepi pantai. 
Air dah makin surut
Ini je coral yang tinggal. Itupun dah mati. *nanges

Katanya kami kat sini lebih kurang 2 jam. Tapi disebabkan tak ada apa-apa, tak sampai sejam berendam kami semua dah naik. Lepas tu terus lambai-lambai brother bot. Brother ni sengaja parking bot dia tengah-tengah laut takut kami panggil dia. Bot sampai je, terus saya cakap kat brother tu tak ada apa-apa kat sini. Rupanya bukan kami je complain, Chinese family yang datang sama kami tu pun complain perkara yang sama. Memang tak puas hati. Tapi apa kan daya, redho ajelah.

Balik chalet, letak barang, kami ber'4 tak terus mandi.  Dengan baju separuh kering, kami jungle tracking ke belakang pulau. Ada trek di belakang Junansa Villa melalui hutan paya bakau dan dan kawasan hutan renek. Nik kata tak nak nak mandi dulu sebab dia tak selesa berjalan dengan baju basah. Jadi kami bagi can Nik mandi lama-lama sementara kami ber'4 berjungle tracking. 

Dari trek hutan paya bakau - simpang kiri untuk belakang pulaulebih (lebih kurang 20 minit) manakala simpang kanan ke kampung berhampiran (lebih kurang 1 jam). Dah tentu kami pilih yang dekat. haha. Di belakang pulau ada beberapa chalet dan pantai.

Layan gambar lagi...

Pokok kelapa yang melayut tinggi menyambut kami
Pantai di belakang pulau. Sebelah kanan ada pantai berteluk dan sebelah kiri ada sebuah resort. Tapi kami tak pergi situ pun. Sekadar melepak kat tepi pantai yang tak ada orangpun. Best!
US!
Again 4 of us!
Puas melepak, kamipun berjalan balik. Mandi, solat dan rest.

Makan malam pukul 6.30pm. Menu makan malampun sedap - sotong celop tepung dan ikan masak tauchu. Licin pinggan masing-masing. Lepas makan lepak lagi. Bosan duk kat depan, kami berjalan ke belakang pulak. Alih-alih lepak je kat pangkin tepi laut sambil tengok air surut. Santai sungguh. 

Malam lagi best, pukul 9.00pm semua dah sedia tarik selimut. Itupun lepas dah tak tahu nak dengar nak dengar cerita apa dah. Sebab penglipur lara dah penat bercerita. Habis sepaket kuaci Nik kami kerjakan (Anne dan saya je yang makan kuaci ni). Dah tak tahu nak buat apa, tutup lampu, semuapun tidur bertemankan alunan ombak di Pulau Sibu. 


DAY 2

Dah nak balik hari ni. Bangun mandi dan bersiap. Keluar chalet tengok kat pantai air surut. Petang semalam pantai di depan kami dipenuhi air, tapi pagi ni hanya kelihatan permukaan pantai yang berselut je. Boleh dengar bunyi 'pop' 'pop' dari lumpur. Saya agak tu bunyi kerang atau siput atau mungkin ketam. Bila tengok tak nampak pulak.

Layan gambar lagi.

Semalam air pasang, pagi ni tinggal selut je
Tempat parking jet ski semalam pun tak ada air
Brain coral - hanya karang mati yang tinggal di tepi pantai.
Tak lama selepas itu air pasang kembali. Kelihatan air naik sedikit demi sedikit
Jeti Junansa Villa yang semakin dinaiki air. Pagi tadi kawasan ini hanya tinggal lumpur
Air dah naik
Hutan paya bakau di seberang sana juga sudah ditenggelami air. Pagi tadi masa air surut, boleh jalan kaki je kalau nak ke sana 
Pantai di sebelah kawasan perkampungan

Lepas sarapan pagi, kami confirmkan waktu bot untuk ke Tanjung Leman. Mulanya kami diberitahu bot hanya bergerak pukul 2.00pm. Tak boleh jadi ni. Lari program kami. Jadi kami request bot bertolak awal. Bincang punya bincang, akhirnya kata Tin bot akan gerak pukul 10.00am. Nasib baik. Lepas sarapan, kamipun lepak lagi tepi pantai sambil layan bayu laut. 

Bila dah bosan inilah hasilnya. haha

Dalam 9.45am kamipun gerak ke jeti. Bot dah menanti. Selesaikan semua pembayaran dan kamipun berjalan ke jeti untuk naik bot. 

Thanks korang untuk trip pendek yang best!
Dah jom naik bot!
Cerah cuaca hari ni. Sekali pandang tengok awan tu macam tergantung atas langit.

Kacang Pool Haji

Plan asal nak ke Kota Tinggi mencari nasi beriani, tapi akhirnya melencong terus ke JB. Awal-awal Fathi dah call adik dia yang ada kat JB. Nak kata dunia ni kecik, adik Fathi, ada blog dan kitaorgpun baca blog dia. Kelakar je. Bagi peminat k-pop mesti kenal blog INI. Kalau nak tahu kena baca sendirilah blog dia...

Kami ke JB semata-mata nak pekena Kacang Pool Haji yang terletak berhampiran balai polis Bomba Larkin yang dikatakan sedap tu! Nak tahu lokasi, kena tanya pakcik google ye. Verdict? Sedap! Tambah pulak makan bersulam ABC dan ais jagung. Memang sedap. Terima kasih pada Faizah, tolong bawak kami ke sana wlpun masa tu dia tengah berdiet. hiks

Dalam pukul 3.00pm barulah kami bertolak balik. Perjalanan awalnya smooth, tapi sampai Seremban ke Nilai jadi slow sebab banyak kereta. Tapi kitaorg semua ok je sebab ada penglipur lara. Macam-macam cerita dan rahsia yang keluar. Bantai ketawa je masing-masing sepanjang perjalanan.

Akhirnya pukul 8.00 lebih kami sampai ke rumah Anne. Singgah kejap rumah Anne sebelum balik SK. Sejam lepas tu barulah selamat sampai rumah. Alhamdulillah....




Overall trip ni best. Walaupun hanya ke Pulau Sibu yang tak ada apa-apa aktiviti menarik di situ, tapi disebabkan kita pergi dengan kawan-kawan yang best, maka bestlah hasilnya. Kan? 

Pulau Sibu pada saya tempat untuk berehat. Sebab tempat ni sunyi dan damai. Kalau expect untuk snorkeling dan tengok coral ke memang tak dapatlah. Nan ado!! Bagi sesiapa yang sukakan aktiviti selam scuba dan snorkeling ada pakej disediakan. Diving di sekitar Pulau Tinggi. Snorkeling pulak ada pakej di 2 pulau iaitu Pulau Kukus (RM25) dan Pulau Tinggi (RM35). Cadangan saya, janganlah ambik pakej snorkeling kat Pulau Kukus sebab tak ada coral! Better pergi Pulau Tinggi - walaupun pakej mahal sikit asalkan puas hati dapat tengok coral. Untuk famili pulak, bagi yang sukakan pantai yang terbentang luas, di sini memang tak ada sebab kebanyakan kawasan berhampiran chalet berbatu. Tapi ada tempat mandi berair cetek yang dah diubahsuai untuk kanak-kanak di sini. Saya tengok orang tuapun mandi kat sini. Haha. Cuma kawasan sekitar Junansa Villa saja ada pantai. Itupun tak berapa luas dan dekat sangat dengan kawasan hutan bakau. Yang pasti tempat ini syurga bagi kaki pancing. Mostly yang datang semua bawak joran dan pancing. Ada pakej memancing di sekitar pulau-pulau lain juga disediakan. Kami je datang lenggang kanggung. 

Kepada sesiapa yang berniat/ berminat nak ke sini saya suggestkan call direct ke no di bawah. Sebab? Contact person di laman web ialah agen (Mr. Ho). Masa saya call untuk sahkan harga pakej, dia letak harga RM180/person. Kena bayar RM50/person sebagai deposit. Tapi bila sampai ke sini, kami diberitahu harga pakej hanya RM150/person. Masa tu dah rasa tertipu. Tapi nasib baik bila kami nak check out, buat bayaran, kami hanya perlu bayar RM150/person. pew... Jadi supaya terjadi perkara yang sama seperti kami, bolehlah hubungi mereka :

019 - 716 5185 (Tin)
0113- 7737 926 (Chong) 

Budget trip per person :

Pakej penginapan 2H1M di Sibu Coconut Village - RM150
Jetty & conservation fee - RM10
Snorkeling - RM25

Perbelanjaan bersama termasuk minyak kereta + tol + parking kereta + sewa hotel + makan & minum = RM425 (RM85/person).