Bersempena Ramadhan yang mulia ini sempat juga berpuasa di kampung halaman. Sebagai perantau sudah pasti itu antara waktu-waktu yang dinantikan. Berpuasa, bertarawikh, berbuka puasa & bersahur bersama-sama keluarga pasti seronok bukan? Balik kampung, sangat sinonim dengan masyarakat Melayu. Oh ya... tahun ini saya hanya pulang sehari sebelum raya, jadi rasa-rasanya tidak berkesempatan membuat persiapan sebelum raya seperti tahun-tahun yang sebelumnya.
Ramadhan di Trengganu... dulu kini mungkin banyak kelainannya. Saya masih ingat, semasa kecil-kecil antara yang menarik adalah ke masjid menunaikan tarawikh. Sebenarnya bukan bersolat sangat, tapi seronok bila dapat berjumpa & bermain dengan kawan-kawan sekampung. Riuh!! Paling seronok bila moreh. Makan free. Macam-macam kuih disediakan. Satu lagi tradisi di bulan Ramadhan adalah majlis namat. Biasanya diadakan di masjid selepas tamatnya tadarus al-quran yang di baca secara berjemaah oleh ahli-ahli masjid. Kebiasaannya, ibu akan menyediakan satu hidangan berbuka puasa lengkap untuk 4-6 orang makan. Kiranya setiap ahli masjid akan menyediakan juadah berbeza. Masa tu memang makan besarlah jawabnya.
Salah satu perkara yang saya rindu bila tiba bulan Ramadhan, bunyi bedil a.k.a meriam berbuka & waktu imsak. Rasanya hanya ada di Kuala Trengganu. Kebiasaannya bedil akan berbunyi sekali menandakan waktu berbuka puasa dan sekali lagi semasa waktu imsak. Boleh dikatakan satu daerah Kuala Terengganu boleh mendengar dentuman bedil yang ditembak dari Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu. Itu satu tradisi di bulan Ramadhan. Sebab tu bila dah berada di Kota Batu ni, terasa rindu pulak nak dengar bedil buka puasa.
Tahun ini juga, berkesempatan berbuka puasa di tepi pantai. Tradisi GBS. Kalau balik kampung, Ramadhan, mesti berbuka bersama di tepi pantai. Walaupun tahun ini hanya berdua kerana seorang sahabat lagi berumrah di Tanah Suci, ia tetap seronok. Bertukar cerita, gosip-gosip sementara menunggu bedil buka puasa berbunyi. Ini juga bukan perkara asing orang-orang di Kuala Terengganu. Bila petang je, pantai Batu Buruk penuh dengan orang-orang. Seperti satu pesta. Ada yang datang sekeluarga, ada yang datang berdua, dan macam-macam lagi. Datang atas satu niat yang sama, ingin berkelah & berbuka puasa di tepi pantai. Seronok!
Trengganu juga kaya dengan kuih-kuih tradisi. Netbak, koleh kacang, bubur lambuk, tepung pelita, sata, golek abu antara kuih kegemaran. Balik kampung, hari pertama berbuka ibu menyediakan bubur lambuk. Bubur lambuk di sini lain daripada yang lain. Disediakan dengan rempah bubur lambuk dan kerisik, santan, ikan selayang panggang yang dihancur-hancur, berserta campuran sayur-sayuran kampung seperti pucuk paku merah, pucuk lampin budak, pucuk mata ayam dan macam-macam jenis sayuran sangat sedap dimakan semasa masih panas.
Dan yang paling menarik adalah bazar Ramadhan. Melata di merata-rata tempat. Tapi saya lebih suka ke pasar. Pasar Batu 6, pasar Manir, pasar Chabang 3, pasar Payang semuanya menjual macam-macam juadah berbuka puasa yang menarik. Kalau teringin merasa kuih koleh kacang dan tepung pelita yang paling sedap, cari lah di Pasar Chabang 3. Di pasar Manir pula ada dijual sata dan pulut lepa @ pulut panggang yang sedap. Kuih golek abu yang sedap terdapat di pasar Batu 6. Erm.. mungkin sedap pada tekak saya, pada orang lain tak tau la.
Malam 7 likur @ malam ke-27 Ramadhan, pastinya setiap rumah akan berkilauan dengan cahaya pelita. Masa kecil-kecil dulu, ayah akan bina pelita daripada buluh. Dipasang disekeliling rumah. Memang cantik. Tapi masa berubah. Mungkin sekarang pelita buluh sudah tak ada lagi, diganti dengan pelita plastik. Tapi ia tetap meriah. Saya paling suka jalan keliling kampung kalau tiba malam raya. Tengok rumah mana yang paling banyak pasang pelita. Masa tu kanak-kanaklah yang paling gembira. Main mercun, bunga api, tanglung memang meriah. Owh... kenangan-kenangan...
PM : tak sabar nak balik raya
Malam 7 likur @ malam ke-27 Ramadhan, pastinya setiap rumah akan berkilauan dengan cahaya pelita. Masa kecil-kecil dulu, ayah akan bina pelita daripada buluh. Dipasang disekeliling rumah. Memang cantik. Tapi masa berubah. Mungkin sekarang pelita buluh sudah tak ada lagi, diganti dengan pelita plastik. Tapi ia tetap meriah. Saya paling suka jalan keliling kampung kalau tiba malam raya. Tengok rumah mana yang paling banyak pasang pelita. Masa tu kanak-kanaklah yang paling gembira. Main mercun, bunga api, tanglung memang meriah. Owh... kenangan-kenangan...
PM : tak sabar nak balik raya
yep.. kita jd kan itu satu acara tradisi neh... masuk dalam kalendar GBS
ReplyDeletemasuk... jgn tak masuk
ReplyDeletemee rebus dan acar pisang galle ada di pasar manir je...lenkali ajak yg kakak ni sekali
ReplyDeletewah! menarik tu k.je. tapi kena tggu Ramadhan akan datang la. oppss... next Ramadahan berpuasa di mana kakak? hiks *soalan maut
ReplyDelete