Followers

Sunday, February 24, 2013

CATATAN HAJI (5) : Umrah Haji

Fuh.. lama cerita 'catatan haji' terperap. Nasib baik ada bantuan dari catatan harian semasa di sana, sangat membantu mengimbau kembali moments di sana. Aduhai... rindunya saya pada suasana itu! 

Sambungan dari catatan haji yang lepas :

CATATAN HAJI (1) : Persediaan Diri Sebelum Berangkat
CATATAN HAJI (2) : Kursus-kursus Haji oleh Tabung Haji - Part 1
CATATAN HAJI (3) : Kursus-kursus Haji oleh Tabung Haji - Part 2
CATATAN HAJI (4) : Bertamu di Tanah Haram

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Hari ke-2 bertamu di bumi Makkah. Saya bangun seawal pagi, jam 3.00 pagi. Mandi dan bersiap, tapi tidak ke masjid. Bertahajud sementara menunggu waktu subuh. Memandangkan kami di dalam ihram, adalah lebih afdal bersolat di bilik atau di surau bawah dan barulah bersiap-siap untuk ke masjid menyelesaikan Umrah. 

Kenapa saya kata afdal bersolat di bilik? Kata ustaz, kalau kita di dalam ihram, perkara pertama yang perlu kita lakukan ketika masuk ke dalam masjidil haram ialah menuju terus ke kawasan tawaf untuk menyelesaikan tawaf dan seterusnya melakukan rukun umrah yang lain. 

Taklimat Ibadah 1 : Tawaf Qudum / Umrah

Selepas solat subuh, kami semua bersiap turun di aras S untuk mendengar taklimat ibadah yang disampaikan oleh Ustaz Shafie Kasa, pembimbing ibadah di maktab 91 sepanjang kami berada di Makkah ini. Hari ini, bagi jemaah yang berniat melakukan haji Tamattu' akan melakukan umrah haji, manakala yang berniat haji Ifrad akan melakukan tawaf qudum (tawaf selamat datang)

Ini adalah taklimat terakhir sebelum kami semua memulakan ibadah kami. Taklimat yang disampaikan walaupun ringkas tapi padat dan penuh informasi. Saya masih ingat, selepas memperkenalkan diri, ustaz bertanya dengan nada berselorah bertanya kepada kami. "Kat mana kita sekarang?" Pertanyaan beliau disahut dengan jawapan antara dengar dan tidak saja. "Sekarang kita di bumi mulia di mana setiap kebaikan yang dilakukan pahalanya 100,000 kali ganda. Jadi bangun semua!" Saya kira, ustaz tengok antara kami masih ada yang masih mamai kot? Hehe. 


Ruang taklimat di maktab 91 : inilah tempat kami menimba ilmu dan berkumpul beramai-ramai. Di sini menjadi 'cafe' sepanjang kami berkampung di hotel ini. Di belakang tabir tu, ada kaunter TH untuk kemudahan keluarkan wang dan urusan bayaran dam, sebelah tu pejabat TH maktab 91, sebelah lagi pejabat pengurus maktab 91 dan sebelahnya pula bilik sahabat TH. Manakala di wing sebelah lagi terdapat klinik perubatan untuk maktab 91. Pendek kata semua hal pengurusan di aras ini. 

Jam 8.00 pagi, selepas taklimat, jemaah seramai hampir 440 orang di bawa oleh mutawif yang telah dilantik oleh Tabung Haji untuk melakukan ibadah umrah/ tawaf qudum. Sebelum itu pastikan diri dalam keadaan berwudhuk dan kami bergerak dalam kumpulan. 

Ada beberapa adab memasuki ke masjidil haram antaranya ialah :
  1. Masuk melalui babussalam (pintu as-salam) disertakan dengan doa masuk masjid (sunat dimulakan dengan kaki kanan), 
  2. Beriktikaf di dalam masjid dan 
  3. Membaca doa melihat kaabah sebaik sahaja melihat kaabah.
Bergerak dari hotel ke masjidil haram. Anggaran jarak ke masjid hampir 450 meter. Dalam gambar , dekat menara jam besar tu letaknya Masjidil Haram. 
Perkarangan Masjidil Haram : melalui pintu masuk Bukit Marwah. 
Berjalan masuk melalui pintu babusalam, kita akan menyeberangi kawasan sai'e memasuki ke dalam masjid dan berjalan terus menuju ke arah kaabah di mana terdapat lampu hijau iaitu tempat permulaan tawaf atau di Rukun Hajar Aswad. Pertama kali memandang kaabah selepas hampir setahun lebih tak menatap, perasaannya tetap sama. Rasa rindu, sedih dan sayu bersilih ganti. Seperti tidak percaya saya sekarang berada di hadapan kaabah! Sempat saya cubit pipi nak pastikan yang saya bukan bermimpi. hehe. 

Ketika itu, perkarangan kaabah penuh dengan umat islam yang melakukan tawaf. Maklumlah, kurang 2 minggu saja lagi hendak wukuf. Umat islam dari seluruh pelusuk dunia datang tertumbu di sini untuk mengerjakan haji! Tapi suasana itu masih biasa, belum sampai waktu kemuncak lagi...

Subhanallah... Gambar pertama Kaabah yang saya ambil ketika sampai di Masjidil Haram dirakam selepas memulakan tawaf umrah. Betapa ramainya orang ketika ini... Alhamdulillah, masih ada ruang untuk saya di celah-celah ribuan manusia itu. Kawasan yang dipagar itu ialah ruang solat khas untuk wanita
Rukun Umrah dan Wajib Umrah

Rukun dan wajib adalah dua perkara penting yang melengkapkan umrah kita. Rukun Umrah ialah perkara yang mesti dilakukan, jika tertinggal umrah tidak sah. Manakala wajib haji pula ialah perkara yang wajib dilakukan, jika tertinggal umrah sah tetapi dikenakan dam.

Rukun Umrah 
  1. Berniat ihram umrah
  2. Tawaf (mengelilingi kaabah 7 pusingan)
  3. Saie (antara bukit Safa ke Marwah, 7 kali)
  4. Bergunting / bercukur
  5. Tertib
Wajib Umrah
  1. Berniat ihram di miqat
  2. Meninggalkan 13 larangan semasa dalam ihram
Catatan ini sekadar catatan harian saya dan saya mungkin tak dapat huraikan rukun dan wajib umrah dengan terperinci, jadi saya kongsikan panduan lengkap untuk rujukan semua : rukun umrah dan wajib umrah.

Tawaf

Tawaf ialah mengelilingi kaabah sebanyak 7 pusingan mengikut syarat-syarat sah tawaf yang tertentu. Bagi tawaf umrah/haji, niat untuk membuat umrah adalah sunat (tak perlu niat), kecuali jika kita hendak melakukan tawaf sunat, tawaf qudum (selamat datang) atau tawaf wada' (selamat tinggal). 

Tawaf bermula di rukun Hajar Aswad, dengan kedudukan kaabah berada di sebelah bahu kiri kita. Bermula dengan bacaan bismillah (sunat aje), kemudian diikuti dengan bacaan bismillahi Allahuakbar wa Lillahilham dan lambaian ke arah kaabah saya memulakan tawaf. Simbolik lambaian semasa tawaf ialah seolah-olah kita mengikat janji dengan Allah untuk meninggalkan semua perkara yang dilarang dan melakukan semua perkara yang diperintah oleh-Nya.

Semasa tawaf tidak ada bacaan / doa yang spesifik. Kata ustaz, buku panduan yang diberikan oleh TH hanyalah panduan, tak ada paksaan untuk membacanya atau tidak. Kalau tak mampu, memadai membaca Astagfirullah (pusingan 1), Subhanallah (pusingan 2), Alhamdulillah (pusingan 3), Allahuakbar (pusingan 4) dan diikuti doa-doa lain atau surah-surah pendek. Yang penting, kusyuk dan ikhlas!

Rujuk sini untuk bacaan semasa tawaf dan perkara-perkara sunat semasa tawaf


Ketika itu hanya tinggal saya dan K.aya (mahram saya) saja. Sebenarnya awal-awal lagi dah terpisah dengan kumpulan dan mutawif. Orang terlalu ramai menyebabkan kumpulan kami terpisah. Kalau kami menunggu mutawifpun belum tentu kami akan jumpa. (keadaan menunaikan haji dan umrah memang tidak sama, semasa umrah kita di bawa/dibimbing dalam kumpulan yang kecil oleh mutawif, tetapi tidak ketika menunaikan haji, kebanyakkan semua perkara harus dilakukan sendiri). 

Dengan berbekalkan sedikit pengalaman semasa umrah dulu, kami berjalan beriringan menuju ke Rukun Hajar Aswad (landmark : lampu hijau) untuk memulakan tawaf. 2 pusingan pertama sangat mudah,  dan bila memasuki pusingan ke-3 dan seterusnya keadaan semakin berasak-asak menyukarkan pergerakan kami. Tapi pusingan harus dilengkapkan Alhamdulillah, lebih kurang 45 minit, lengkaplah 7 pusingan tawaf. Selesai sudah salah satu rukun umrah. Selepas pusingan terakhir, kami berjalan ke depan sikit (afdal melepasi makam ibrahim) dan kemudian keluar daripada kawasan tawaf menuju ke dataran kaabah bertentangan dengan multazam. Kami solat sunat 2 rakaat. (setiap kali selesai tawaf kalau diberi peluang mesti saya akan cuba untuk bersolat di kawasan bertentangan dengan multazam). (kalau sempat minum air zam-zam dulu sebelum bersaie', ambil pahala sunat)

Gambaran cara mengelilingi kaabah (7 pusingan), bermula dari Rukun Hajar Aswad : Source

Selepas selesai semunya, Kami bergerak ke kawasan saie yang bermula di Bukit Safa. Saie bermaksud berulang-alik bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah sebanyak 7 kali. Keseluruhan jarak yang diambil ialah sebanyak 420 meter. Sebenarnya tidak ada bacaan yang khusus semasa melakukan saie', tetapi kita boleh mengamalkan perkara-perkara sunat seperti : 
  1. Masuk ke tempat saie melalui pintu Safa (berhampiran lampu hijau - tempat permulaan tawaf)
  2. Sebelum memulakan saie' - naik hingga ke kawasan berbatu di Bukit Safa dan disertai doa.
  3. Menghadap kiblat & mengangkat 2 tangan (simbolik melambai) & bertakbir di Bukit Safa dan Marwah.
  4. Berlari anak (lelaki sahaja) bila sampai di lampu hijau.
  5. Naik/berpijak di kawasan berbatu di Bukit Marwah dan disertai doa.
  6. Muwalat (berturut-turut)
  7. Berwuduk - suci dari hadas kecik dan besar
  8. Berjalan kaki
  9. Berdoa/berzikir/membaca al-quran semasa melakukan saie'
* Sah saie' jika tiada wuduk
* Boleh makan/minum ketika melakukan saie', tetapi makruh.
* Wanita yang sedang haid boleh melakukan saie' kerana berwuduk hanya perkara sunat dan kawasan saie' adalah di luar kawasan masjid.

Gambarajah cara melakukan saie
Dari Bukit Safa ke Marwah : jemaah yang melakukan saie
Batu di Bukit Marwah : Alhamdulillah, akhirnya berjaya menjejakkan kaki sekali lagi sini.

Selesai 7 kali berulang-alik dari Bukit Safa ke Marwah, pastikan pusingan ke-7 berakhir di Bukit Marwah. Maknanya kalau kira agak-agak dah cukup 7 pusingan tapi berakhir di Bukit Safa.... maknanya something wrong somewhere la tu. Selesai saie' bermakna masih ada 2 rukun umrah masih berbaki iaitu bergunting/bercukur dan tertib. Selepas membaca doa selesai saie' di Bukit Marwah, bolehlah bergunting. Di atas bukit Marwah memang ada disediakan tong sampah untuk membuang rambut yang telah dipotong tadi. (gunting rambut lebih kurang seruas jari). Selepas bergunting, baca doa dan tertib. Maka selesailah sudah umrah. Alhamdulillah.

Selepas umrah, saya tak terus balik, waktu masih awal pagi. Kami masuk semula ke dalam masjid menunaikan bersolat dhuha dan selepas itu menikmati kedinginan air zam-zam sambil memandang kaabah. Bukan senang nak dapat peluang tatap kaabah ni. Jadi jangan lepaskan peluang ini! Lepas itu barulah kami balik ke hotel memandangkan perut sudah berkerongcong minta di isi. ^_^

* bersambung lagi

2 comments:

  1. nak kena panggil hajjah pm la ni, sejuk hati orang tua dengar...aku yang tengok gambar pun dah rasa sayu, apatah lagi ko yang dapat tengok dengan mata sendiri.insyaallah, one day... :)

    ReplyDelete
  2. erk... tak payah berhajah, hajah. haha

    InsyaAllah, one day u will reach there orga :)

    ReplyDelete