Followers

Friday, November 30, 2012

CATATAN HAJI (2) : Kursus-kursus Haji oleh Tabung Haji - Part 1

Secara umumnya bagi sesiapa yang menerima surat panggilan untuk mengerjakan haji, terdapat beberapa kursus yang telah disediakan oleh TH iaitu
  1. Kursus Asas Haji - 19 siri
  2. Kursus Intensif - 2 hari
  3. Kursus Haji Perdana - 2 hari 1 malam
1. Kursus Asas Haji

Selepas dapat surat panggilan haji dari TH, barulah saya kelam kabut cari masjid-masjid yang mengadakan Kursus Asas Haji. Kebetulan di Putrajaya terdapat 2 tempat yang mengadakan kursus tersebut iaitu Masjid Putra dan Surau al-furqan, Presint 11. Saya memilih Masjid Putra sebab kelas diadakan pada waktu malam iaitu setiap hari Ahad, 8.00 - 10.00 malam. Rasanya waktu ini lebih fleksibel kerana waktu pengajian di Surau al-furqan ialah pada setiap hari Sabtu, 9.00 - 11.00 pagi. Jadi saya boleh simpan masa hujung minggu untuk perkara lain. Nak buat camne, 2 hari dalam seminggu tu amat bermakna buat saya, masa tulah nak balik kampung jumpa keluarga, nak basuh baju dan kemas rumah (hakikatnya bilik saya tak pernah kemas), dan masa tulah jugak nak berjalan-jalan... Ada hati lagi nak buat keja lagho tu! huhu.

Berdebar-debar

Mengikuti Kursus Asas Haji adalah inisiatif kita sendiri. Pihak TH hanya menyediakan kemudahan, tapi kalau kita berminat nak mengikuti mana-mana kursus ini, kita sendiri kena cari tempat/ masa yang sesuai dengan kita. Kursus yang saya ikuti di Masjid Putra bermula pada pertengahan Januari lagi dan saya pulak bulan 2 baru terhegeh-hegeh menelefon pihak masjid untuk masuk kelas. Kata ustaz yang menjawab panggilan, saya boleh datang pada hari Ahad berikutnya dan terus mengikuti kelas tersebut. Bayaran yang dikenakan pula ialah sebanyak RM70.00. Buku rujukan dari TH juga disediakan, tapi kena belilah... RM25.00 senaskah. 

Pertama kali masuk ke kelas haji, hati saya sedikit berdebar-debar. Rupa-rupanya pengajian sudah masuk ke minggu ke-3 dan bermakna saya tertinggal 2 kelas. Mujur 2 kelas sebelum ini hanya pengenalan, kalau tidak rugilah jawabnya. Bilangan peserta yang tak sampai 30 orang membolehkan kelas berjalan dengan suasana santai dan bersahaja. Saya suka! Dan bila berbual-bual dengan peserta yang lain, saya dapati ada yang sudah beberapa kali menghadiri kursus ini walaupun belum mendapat surat panggilan menunaikan haji. Malu dengan kekhilafan diri melihat kesungguhan mereka. Kalau dibandingkan dengan diri saya... iskhh... macam langit dengan bumi...

Terdapat 5 bab utama yang akan ditekankan sepanjang kursus dijalankan iaitu : 
  • Ibadat Haji
  • Pengurusan Haji
  • Masalah wanita
  • Kesihatan
  • Fardhu ain
Pada saya, kursus asas haji ni sangat penting kerana ia merupakan pendedahkan awal kepada kita tentang ibadah haji. Setiap bab akan dikelola oleh penceramah yang berbeza mengikut kepakaran masing-masing dan setiap topik yang dibincangkan akan dikupas dengan terperinci. Semuanya mesti difahami dan tidak boleh diambil ringan. Jadi tidak hairan kalau kita jumpa sesetengah peserta kursus yang sudah beberapa kali mengikuti kursus ini.

2. Kursus Intensif Haji.

Kursus Intensif Haji akan diadakan selepas Kursus Asas Haji tamat selama 2 hari berturut-turut. Bagi kursus ini, ia akan dikelola oleh Tabung Haji mengikut tarikh yang telah ditetapkan. Memandangkan saya bermastautin di Putrajaya, selepas menghantar surat terima jemputan di TH Kuala Terengganu, saya dinasihatkan menukar pusat pengurusan yang berhampiran dengan tempat bermastautin bagi memudahkan urusan saya. Oleh itu, semua urusan seperti Kursus Intensif Haji, pemeriksaan kesihatan, penyerahan passport akan diuruskan oleh TH yang berhampiran dengan saya.

Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk mengikuti 2 kursus yang sama di 2 lokasi berbeza iaitu di Sek. Men. Alam Shah, Putrajaya dan di Masjid Negara, KL. Peluang ini memang tidak saya lepaskan bila menerima 2 surat jemputan menghadiri kursus ini dari TH Putrajaya dan TH Kuala Lumpur. Rezeki mana boleh ditolakkan?

Topik yang dibincangkan hampir sama seperti dalam Kursus Asas Haji iaitu Ibadat Haji, Permasalahan Haji, Kesihatan dan Pengurusan Haji. Biasanya hari pertama menekankan isu Ibadat Haji iaitu tentang Rukun dan Wajib Haji dan ia akan diikuti dengan sesi praktikal. Walaupun praktikal, tapi kena buat betul-betul. Yang perempuan lengkap berpakaian ihram, yang lelaki pulak kena bawa kain ihram, kalau tak pandai diajarkan terus.

Perjalanan haji akan bermula sesampai sahaja kita di Makkah. Tidak kira kita memilih untuk lakukan haji mana, antara Tamattu' / Ifrad / Qiran, perkara Wajib dan Rukun Haji tetap sama.

Ini baru gambaran, yang cerita real saya akan ceritakan dalam entry pengalaman berwukuf di Arafah, Mabit di Muzdalifah, perjalanan ke Mina dan melontar jamrah seterusnya melakukan tawaf ifadah dan sai'e serta bertahallul nanti.Gambar-gambar di bawah adalah turutan Wajib dan Rukun Haji pada 8 Zulhijjah.
Simbolik : berkumpul sebelum perjalanan ke Arafah
Wuquf di Afarah
Mabit di Muzdalifah dan kemudian meneruskan perjalanan ke Mina
Melontar jamrah Kubra (pada 10 Zulhijah) dan diikuti dengan melontar 3 jamrah (Sughra, Wusta dan Kubra pada 11,12 dan 13 Zulhijah)
mengerjakan tawaf ifadah
sai'e dari Safa ke Marwah
berjalan menuju ke Marwah
Berakhir di Marwah selepas 7 pusingan
Diakhiri denga bergunting dan tahallul (tapi xdelah praktikal bergunting)

~ bersambung lagi untuk Kursus Haji Perdana

No comments:

Post a Comment