Followers

Showing posts with label Catatan Haji. Show all posts
Showing posts with label Catatan Haji. Show all posts

Monday, October 14, 2013

Kaabah sebelum dan selepas Wukuf

Hari ini, 9 Zulhijah selain berlaku peristiwa penting bagi jemaah haji yang sekarang sedang berwukuf di Arafah, terdapat satu lagi peristiwa yang sedang berlaku di Masjidil Haram iaitu kain petunup Kaabah (Kiswah) akan diganti pada hari tersebut.

Gambar-gambar di bawah semasa musim haji tahun lepas. Beginilah suasana di sekitar Kaabah sebelum dan selepas Wukuf. Walalupun Kiswahnya terlah berganti, tapi bilangan umat yang berkunjung ke situ tidak pernah surut. 


Sebelum Wukuf



 Selepas Wukuf



Rakaman Wukuf di Arafah ketik SINI


Waktu di Makkah sekarang lebih kurang pukul 11.30am. Sekejap lagi akan masuk waktu Zohor dan pastinya di seluruh kawasan Arafah akan bergema khutbah Arafah. Aduhai... terkenangkan peristiwa mengerjakan haji tahun lepas, buat hati saya pilu dan rindu. Dengar takbir saja dah bisa buat air mata mengalir. Rindu sungguh!!! Semoga Allah mempermudahkan kerja-kerja haji saudara-saudara kita di sana. Amin....


Khutbah Terakhir Nabi Muhammad S.A.W

Khutbah Terakhir Nabi Muhammad S.A.W. "Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan telti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kami lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.

Wahai Manusia Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam Susana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai Manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikankanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.

Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu , Awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaaku.

Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU.

Petikan dari : luvislam92.blogspot.com 


p/s : Selamat Hari Raya Aidiladha semua.


Sunday, October 13, 2013

Setahun berlalu... hari ini, wukuf berbaki 1 hari lagi.

Pejam celik rupa-rupanya sudah setahun berlalu. Kalau ikut takwim Hijriah, setahun yang lepas, hari ini wakuf berbaki 1 hari lagi! Macam baru semalam berada di Makkah, bersiap-siap dengan jemaah lain untuk ke Arafah, rupa-rupanya dah hampir setahun berlalu.

Beberapa hari lepas, hujan lebat dan ribut melanda Arafah sehingga hampir 30% khemah jemaah Muassasah musnah. Sebenarnya hujan sebelum wukuf adalah fenomena biasa kerana hampir setiap orang dan masjid di sekitar Makkah akan berdoa dan melakukan solat hajat memohon hujan turun. Cuma tahun ini, hujan dan ribut terlebih sikit. Ada hikmahnya di sebalik semua itu kan? Walau apapun marilah sama-sama kita berdoa semoga semua urusan saudara-saudara kita yang melakukan kerja haji akan dipermudahkan oleh-Nya. Amin..

Masih segar dalam ingatan, tahun lepas, bumi Makkah dicurahi hujan beberapa hari sebelum wukuf. Hujannya sekejap saja, tapi cukup lebat dan membasahi seluruh bumi Makkah. Bayangkan ia adalah hujan selepas hampir setahun bumi suci itu tidak ditimpa hujan. Ketika itu selepas Asar, saya berada di dalam Masjidil Haram. Tiba-tiba keadaan yang tenang menjadi kecoh. Kelihatan di dataran Kaabah, jemaah berlari-lari, bersorakan! Masing-masing menadah tangan ke langit menerima hujan yang membasahi bumi Makkah seperti tadah emas yang baru jatuh dari langit. Hujan rahmat!! Berbeza benar dengan penerimaan kita di bumi Malaya yang menerima hujan. Kita kadang-kadang banyak mengeluh bila hujan turun, padahal di sebalik hujan yang turun tersembunyi rahmat di sebaliknya.

Malam itu selepas Isyak, suasananya nyaman sekali!! Udara di sekitar bersih dan mendamaikan. Suka benar saya merasa saat itu. Dalam diam saya berdoa, moga-moga hujan akan turun sekali lagi kerana petang tadi saya tak sempat merasa titisan hujan kerana ketika itu saya berada di dalam Masjidil Haram dan hanya melihat hujan yang turun dari jauh saja. Alhamdulillah doa itu didengari Allah. Seminggu selepas wukuf hujan turun sekali lagi. Sempat juga main hujan di Makkah. Hiks.

Saja nak mengimbau kenangan setahun yang lepas, meh saya kongsikan gambar-gambar di Arafah. Semoga Dia menjemput saya ke sana lagi....

Ini khemah kami ketika di Arafah : Sebenarnya kalau mengikut jadual bas, bas kami bernombor 30 ke atas, tetapi disebabkan saya ditugaskan berada awal di Arafah untuk menyambut jemaah-jemaah lain, saya dapat naik bas no.5. Kebetulan dapat peluang naik bas awal, saya minta izin pengurus TH untuk membawa sekali mak, makcik dan nenek di bilik saya. Rezeki kami ber'8 sampailah awal di Arafah.
Khemah jemaah wanita
Khemah jemaah lelaki
Lorong-lorong di antara khemah jemaah-jemaah haji di Arafah
HARI WUKUF : ketika ini para jemaah keluar dari khemah dan berdoa di kawasan lapang sekitar Arafah. Yang berpasangan berdoa dengan pasangan masing-masing. Yang bersendirian pula berdoa mengikut cara masing-masing. Ketika itu, cuaca cerah sekali, angin sepoi-sepoi bahasa cukup menenangkan.
Suasana sekitar Arafah
Matahari hampir terbenam menandakan masa untuk berada di Arafah hampir berakhir. Sedih sebenarnya kerana masa afdal untuk berdoa hampir berakhir... Sampailah masa kami semua bersiap-siap untuk bertolak ke Muzdalifah pula.
Jemaah bersiap-siap untuk ke Muzdalifah.
Bas untuk ke Muzdalifah : ini tempat menunggu bas, kena tunggu ikut no. giliran. Bas kami sampai selepas maghrib.
Di Muzdalifah : menaiki bas hampir 40 minit perjalanan dari Arafah dan kami sampai di Muzdalifah. Sebenarnya jarak antara Arafah dan Muzdalifah dekat sahaja, tetapi keadaan trafik menyebabkan perjalanan makan masa agak lama. Itupun kami semua sudah bersyukur sangat-sangat sebab semua urusan dipermudahkan olehNya. Jalan walaupun bas bertali arus, tetapi perjalanan masih lancar.
Jemaah sedang mengutip batu untuk melontar jamrah nanti.
Tempat kami mengutip batu ketika itu ialah di tapak bangunan yang belum siap. Jadi kena berhati-hati memilih batu kerana silap pilih terambil simen pula. 
Jemaah yang mabit seketika di Muzdalifah.

Hampir tengah malam, barulah kami bergerak ke Mina. Sempat juga saya lelap mata seketika di Muzdalifah. Malam itu bulan cantik sekali, angin pula nyaman. Alhamdulillah cuaca sangat baik. Begitu juga keaadan di Mina, semuanya diatur olehNya dengan sempurna sekali.

Semoga wukuf haji tahun ini juga keadaan setenang dan semudah seperti musim haji yang sebelumnya. Moga Allah memberi kesihatan, kesabaran dan kekuatan kepada semua jemaah, dan para petugas untuk membuat kerja-kerja haji dengan sesempurna mungkin. InsyaAllah.

p/s : Esok, 9 Zulhijah semua jemaah haji akan berwukuf di Arafah. Kita pula afdal berpuasa, jom kita sama-sama puasa esok!


Tuesday, September 10, 2013

CATATAN HAJI (17) : Lawatan Sahabat TH ke dapur TH, Arafah, Muzdalifah dan Mina

Hari ke-9

Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a bahawa beliau telah berkata kepada Rasulullah SAW : "Wahai Rasulullah! Engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu melainkan nyawa yang ada di dalam diriku." Lalu Rasulullah SAW berkata : "Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah aku lebih dicintai daripada dirinya sendiri." Umarpun berkata : "Demi Tuhan yang telah menurunkan al-kitab kepad engkau, sesungguhnya engkau lebih aku kasihi daripada diri aku." Baginda berkata kepada Umar : "Sekarang iman engkau telah sempurna wahai Umar!"


Istimewanya hari ini ialah sebagai salah seorang Sahabat Tabung Haji di Maktab 91, saya bersama-sama K.aya (mahram saya) diberi peluang untuk mengikuti lawatan ke dapur TH (tempat menyediakan makanan untuk semua jemaah di maktab 91) seterusnya ke Arafah, Muzdalifah dan Mina. Saya memang teruja! Mendapat peluang melawat tempat-tempat untuk operasi Mas'yaier sekaligus dapat melihat keadaan beberapa hari sebelum operasi bermula semestinya buat saya double excited!

Seawal jam 8.00am, kami sudah berkumpul di lobi hotel. Setelah dipastikan semua sahabat-sahabat sudah ada, kami bergerak ke lobi belakang. Bas sudah sedia menunggu. Bersama-sama kami seperti biasa diketuai oleh pengurus Maktab 91 dan beberapa orang-orang kuat maktab 91. Tempat pertama yang disinggahi ialah Dapur TH - Jawharat Asia

Jawharat Asia - salah satu dapur TH milik salah seorang rakan kongsi TH berbangsa Arab. Modal dimiliki sepenuhnya oleh Tabung Haji. Memandangkan orang luar/syarikat luar daripada Arab tidak boleh mempunyai aset di Tanah Arab, jadi salah satu cara Tabung Haji ialah membuat perjanjian seperti ini. Ini salah satu daripada usaha pihak TH untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah-jemaah haji Malaysia dengan menyediakan masakan dan tukang masak pun dari Malaysia.
Sebelum masuk ke dapur kami diberi taklimat dulu oleh pengurus dapur. Nak masuk dalam kena pakai face mask. Tangan kena bersih dan ada sebahagian tempat dalam dapur tak dibenarkan ambil gambar. - gile ketat peraturan!
Inilh rupa dapur tempat memasak makanan untuk semua jemaah-jemaah haji. Ketua chef sedang sibuk memasak lauk. 


Menurut pengurus dapur, semua menu yang ditentukan mengikut diet yang telah ditentukan oleh dietition. Sebab itulah semua makanan mostly tak cukup masin dan tak cukup semua rasa sebabnya untuk jaga kesihatan semua jemaah. Maklumlah jemaah-jemaah muassasah majoriti ramai yang berusia dan kebanyakannya paling kurang mesti ada yang mengidap salah satu daripada penyakit 4 sekawan tu (jantung, kencing manis, darah tinggi, buah pinggang), jadi salah satu cara pihak TH menjaga kesihatan jemaah adalah melalui pemakanan harian. Memang tak dinafikan makanan yan disediakan memang agak kurang rasa kalau nak dibandingkan dengan masakan biasa yang dimakan. Dan banyak jugak rungutan-rungutan yang diterima oleh pihak TH. Tapi percayalah apa yang dilakukan oleh pihak TH ada sebab dan musabah tersendiri dan yang pasti sebab tersebut adalah untuk kebaikan semua jemaah.

Selain itu, saya yakin ada hikmah disebaliknya yang kita sendiri tak terfikir. Contohnya, kalaulah makanan yang disediakan terlalu sedap, sudah tentu semua jemaah makan dengan jumlah yang banyak, bila dah makan banyak mengantuk pun datang, bila dah mengantuk nak lakukan ibadahpun tak sempurna sebab mata asyik nak tertutup aje. Betul tak?

Keaadan dapur utama. Sangat bersih dan teratur. Yang bestnya semua rempah ratus Malaya ada di sini!
Lepas penat melawat dapur kami dijemput naik ke dewan atas - aktiviti yang ditunggu-tunggu ialah MAKAN! Nasi goreng yang dimasak oleh chef sangat sedap! Tapi pedasnya ya ampun... tak tahan saya. huhu

Lepas dah kenyang, perjalanan diteruskan untuk ke Arafah pulak. Kami akan lihat dimana letaknya kedudukan khemah maktab 91, tengok di mana letaknya tandas, jalan masuk dan jalan keluar bila sampai masanya nanti. Di Arafah, setiap lorong antara khemah-khemah jemaah diberi nama untuk memudahkan jemaah. Lorong-lorong diberi nama berdasarkan nama PERABOT seperti almari, meja, kerusi dll. Itu nama lorong untuk maktab 91, kalau maktab lain, lain pulak nama lorongnya. hiks

Sepanjang perjalanan - dari jauh dah kelihatan khemah yang dibina, persiapan untuk musim haji
Papan tanda menunjukkan sempadan Arafah

Khemah yang baru dipasang, tapi belum siap sepenuhnya. Dinding khemah dan karpet masih belum dipasang.
Keadaan dalam khemah yang siap dipasang. Satu karpet akan memuatkan 6-8 orang jemaah. Disebabkan jemaah akan bermalam di Arafah hanya untuk satu malam, keadaan khemahpun sesuai untuk 1 malam penginapan. Oklah kan? Ada jugak tempat untuk berteduh :)
Dapur di Arafah - di sini semua urusan memasak diuruskan oleh tukang masak yang telah diupah oleh kerajaan Arab Saudi. Jadi bolehlah rasa masakan Arab macamana rasanya kan? 
Pengurus maktab sedang menunjukkan kedudukan semua khemah bagi jemaah 91 dan juga sempadan antara khemah dengan maktab-maktab yang lain. 

Selesai di Arafah kami naik bas meninggalkan Arafah dan melalui Muzdalifah untuk lihat di manakan lokasi jemaah-jemah bagi maktab 91 akan mengutip batu untuk melontar jamrah nanti.

Tempat parking bas - bas-bas ini hanya digunakan setahun sekali iaitu hanya pada musim haji.

Lokasi terakhir yang akan kami singgahi ialah Mina. Kami akan berada di sini selama beberapa malam iaitu bermula 10 hingga 13 Zulhijah. Rasanya dalam operasi Mas'yaier ini berada di Mina merupakan cabaran yang terbesar buat kami. Cabaran dari segi melakukan ibadah melontar jamra, kemudahan tempat tinggal, kemudahan bilik air dan yang paling utama cabaran kesabaran diri!

Mina dari kejauhan - masih dalam bas menuju ke maktab 91
Sempadan Mina
Khemah di Mina - khemah di Mina lebih teratur dan sempurna. Setiap khemah dilengkapi dengan aircond dan karpetnya juga lebih besar berbanding Arafah. Setiap karpet memuatkan 8-10 orang jemaah. Khemah di Mina tak sama macam khemah di Arafah, ia memang khemah yang statik, maknanya di pasang siap. Tak macam khemah di Arafah. Di Arafah khemah hanya dipasang 2 minggu menjelang musim haji dan selepas haji, tak sampai 24jam khemah-khemah ini akan dibuka dan disimpan.


Maktab 91 - lokasinya strategik. Terletak dihujung simpang jalan menuju ke terowong pejalan kaki untuk melontar jamrah. 












Terowong pejalan kaki untuk tempat melontar : (kiri) arah pergi ke jamrah, (kanan) arah balik. Jalan pejalan kaki dan terowong ini adalah dikhaskan untuk jemaah Asia Tenggara sahaja. Melalui 2 terowong, kita akan terus ke tingkat 3 di mana terdapat 3 jamrah untuk melontar. 

Hampir setengah hari sesi lawatan sahabat TH ke lokasi-lokasi utama untuk operasi Mas'yaier pun berakhir. Masa untuk kembali ke Kota Makkah.

Friday, September 06, 2013

CATATAN HAJI (16) : Ceramah agama 3 - Ulangkaji Rukun dan Wajib Haji

Baru masuk hari ke-8  *sungguh tak konsistan menulis. huhu

Catatan terus dari buku catatan saya dari kuliah Ustaz Haji Shafiee b. Kasa. Jadi semua nota dalam bentuk point supaya senang dibaca dan difahami diri sendiri :)

Daripada Abu Hurairah r.a katanya, RasulAllah SAW bersabda : "Haji yang penuh dengan kebaikan (Haji Mabrur) adalah lebih baik dari dunia dan apa yang ada di dalamnya. Haji Mabrur, tidak ada balasan selain dari Syurga" 


Dalam haji ada 3 perkara yang penting :
  1.  Syarat-syarat wajib haji
  2. Rukun haji
  3. Wajib haji
* Lain-lain : Perkara sunat yang berkaitan dengan haji. Perkara sunat jangan diremehkan untuk mendapat haji yang sempurna dan diterima oleh Allah.

Rukun Haji
  • Perkara yang mesti dibuat. Samaada tinggal dengan sengaja / tak sengaja hajinya tidak SAH
  • Kalau buat rukun haji, tapi tak cukup syarat - seolah-olah tak buat haji. 
  • Rukun-rukun haji :
  1. Niat
  2. Wukuf - berhenti di Arafah pada 9 Zulhijah sebelum terbenam matahari - selepas terbit matahari 10 Zulhijah
  3. Tawaf - ada 8 syarat sah tawaf
  4. Saie' - dari Safa ke Marwah sebanyak 7 pusingan
  5. Bergunting & Tahallul - ada 2 iaitu Tahalullul Awal & Tahallul Thani
  6. Tertib pada kebanyakan rukun
         * Rukun haji 1-2 mesti tersusun, tapi bagi 3-5 boleh dilakukan tanpa berturut-turut bergantung kepada jenis haji
        * Kalau masuk ke Makkah tanpa berihram, hukumnya haram lagi berdosa kerana tak menghormati Baitulllah
         * Dam tamattu' - dam yang tak berdosa
         * Syarat sah saie' mesti selepas tawaf

Wajib Haji
  • Perkara yang wajib buat, tapi sekiranya tertinggal, sah tapi dikenakan DAM. 
  • Tapi jika sengaja tinggal, berdosa walaupun sah.
1. Niat ihram di Miqat - ke Makkah (Qarnul Manazil), dari Madinah (Bir Ali)
  • Kalau tak niat ihram, tak berdosa, sah tetapi dikenakan dam. * Dam ialah seekor kambing. Tapi kalau berpatah balik ke miqat ia akan menggugurkan dam
  • Niat ihram haji pada 8 Zulhijah afdal dilakukan dalam bilik hotel
2. Meninggalkan 13 larangan ihram - untuk elakkan perkara itu banyakkan talbiah
3. Mabit di Muzdalifah - 10 Zulhijah selepas tengah malam
4. Melontar jamrah Kubra - 10 Zulhijah selepas tengah malam

* 4 perkara RUKUN & WAJIB Haji yang boleh dilakukan selepas 10 Zulhijah (selepas tengah malam) ialah melakukan tawaf ifadah, bergunting, mabit di Muzdalifah dan melontar Jamrah Kubra.

5. Bermalam di Mina
6. Melontar ketiga-tiga jamrah pada hari tashrik

Cara melaksanakan Haji

1. Haji Ifrad - melakukan haji dan diikuti umrah

   * Haji paling afdal dalam mazhab Syafie'
   * Sekiranya dikerjakan umrah dalam bulan haji, tidak boleh lakukan haji Ifrad

2. Haji Tamattu' - haji yang bersenang-senang
 
   * Dam Tamattu' adalah dam mundarah  iaitu mengorbankan darah sebagai tanda kesyukuran atas keringanan yang diberikan Allah. "Bertaqwalah kepada Allah sekadar kemampuan kamu"

3. Hajin Qiran - niat haji dan umrah serentak

Tingkat-tingkat Haji
  • Haji mabrur - haji yang terbaik
  • Haji maqbul - haji cukup-cukup makan
  • Haji mardud - haji tidak ditolak Allah
Rukun Haji (untuk Haji Tamattu')

1. Lafaz niat haji Tamattu' pada 8 Zulhijah di bilik hotel (niat dibibir dan di hati)
    * Mandi sunat ihram & solat sunat di bilik & berniat ihram haji di bilik hotel

2. Wukuf (lebih kurang 16 jam)
    * Syarat wukuf : berihram, berakal, berada di Arafah walaupun seketika (perbanyakkan amalan sunat)

3. Tawaf

    Syarat sah Tawaf
  1. Suci dari hadas / berwuduk
  2. Suci dari najis - badan, pakaian dan tempat tawaf
  3. Menutup aurat
  4. Bermula dan berakhir di sudut Hajarul Aswad
  5. Mengirikan kaabah
  6. Berjalan dengan tujuan melakukan tawaf
  7. Lakukan 7 keliling dengan yakin
  8. Di dalam masjid & di luar bahagian kaabah dan Hijir Ismail
    Sunat-sunat Tawaf
  1. Berjalan kaki
  2. Idtiba' pada semua pusingan - bagi lelaki
  3. Berlari-lari oada 3 pusingan awal - bagi lelaki
  4. Istilam @ isyarat tangan pada penjuru Hajarul Aswad, Yamani
  5. Berzikir dan berdoa
  6. Berturut-turut 7 pusingan (muwalat)
  7. Kusyuk' dan tawaddu'
  8. Solat sunat tawaf
4. Saie'

    Syarat sah Saie'
  1. Dilakukan selepas tawaf
  2. 7 kali bermula dari Safa dan berakhir di Marwah
  3. Sampai ke penghujung tempat saie' (mengadap kiblat dan bertakbir di Safa & Marwah)
  4. Dilakukan di Batnul Wadi
  5. Tidak terpesong niat
    Sunat-sunat Saie'
  1. Keluar ke tempat Saie' melalui babus (pintu) Safa
  2. Mendaki bukit Safa' (di bukit yang bercermin) dan Marwah (tempat batu hitam)
  3. Berlari-lari di lampu hijau - bagi lelaki
  4. Muwalat ( berturut-turut 7 pusingan)
  5. Berwuduk
  6. Berjalan kaki
  7. Berdoa dan banyakkan berzikir
5. Bergunting & tahallul


p/s : moga dengan sedikit ilmu yang dikongsikan akan bermanfaat untuk semua

Tuesday, July 16, 2013

CATATAN HAJI (15) : Suasana sekitar Masjidil Haram seminggu sebelum wukuf - entry bergambar

* Takziah buat kawan sediploma saya di UPMT, Ahmad Hazrul atas kehilangan isteri dan anak bongsu akinat kemalangan beberapa hari lepas. Moga beliau tabah dengan ujian-Nya dan sama-sama kita doakan beliau cepat sembuh kerana khabarnya kecederaan yang dihadapinya dari kemalangan tempoh hari agak parah. Innalillah & Al-Fatihah....

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

* bersambung dari entry lepas.


Dari Abdullah bi Adi Bin Hamra radhiyallahuanhu, dia berkata : "saya melihat Rasulullah SAW berdiri di Hazwarah (salah satu daerah di Makkah), lalu beliau bersabda : demi Allah, sesungguhnya engkau sebaaik-baik bumi Allah, dan negeri Allah yang paling dicintai Allah, kalau bukan lantaran aku dikeluarkan darimu, nescaya aku tidak keluar." - (HR Tirmdizi)

Dah 3 hari tekak saya sakit. Batuk makin melarat. Cuaca kering dan panas menyebabkan tekak makin kering dan batuk makin menjadi-jadi. Bertabahlah ye, berada di Tanah Haram beginilah ujiannya. K.aya dengan baik hati setiap hari balik dari masjid mesti bawak balik air zam-zam untuk saya. Thanks sis!

Hari ini, hampir waktu asar seperti biasa saya menghantar tok dan makcik ke Masjidil Haram. Kebetulan dah ada geng, jadi panjanglah sikit langkahnya. hiks. Lepas hantar mereka, saya ajak K.zah jalan-jalan sekitar Masjidil Haram. Teringin nak lihat suasana Kota Mekah di sebelah jam besar pulak. Maklumlah Maktab 91 terletak di sebelah Bukit Marwah, jadi kalau saja-saja nak jalan-jalan di sebelah area jam besar memang tak la jawabnya. Jadi bila berkesempatan, saya ambil peluang yang ada untuk tengok sendiri dengan mata kasar apa yang ada di sini. Khabarnya di sini terdapat hotel-hotel mewah, ada shopping complex yang tak terdapat di sekitar penginapan saya dan tak kurang juga restoran dan kedai makan yang mewah dan besar. Memang betul seperti yang dikhabarkan! Di sini bangunannya lebih tinggi dan moden, pasaraya juga besar dan kedai-kedaipun banyak. Kalau orang yang suka shopping mesti dah rambang mata! Semua nampak cantik. Tapi untuk orang yang tak berapa nak pandai shopping macam saya ni, saya jamu mata sajalah. Saya nak selesaikan 'kerja wajib' dulu, lepas tu barulah kita fikirkan nak shopping apa nanti. Lagipun panjang lagi tempoh berada di sini. Sabar... sabar...

Untuk ke sini, kami berjalan menyusuri Masjidil Haram, ketika itu dah hampir waktu Asar. Azan sudah berkumandang dari dalam masjid dan ketika itu kelihatan seperti Kota Mekah dibanjiri lautan manusia. Pelbagai bangsa dan warna kulit, semuanya berjalan untuk satu tujuan - ke Masjidil Haram. Kami berdua yang jalan bertentang arus terpaksa memberi laluan kepada mereka yang terlalu ramai. Bimbang kalau kami redah juga, silap-silap haribulan kami yang dirempuh mereka.

Waktu Asar ke Maghrib di sini agak singkat, jadi kurang 5 minit selepas azan, kedengar bilal mengalunkan iqamah. Apa lagi, makin sesak jalan-jalan dengan manusia. Kedai-kedai di sekitar kebanyakan sudah ditutup. Mujur kami berjaya jalan hingga ke kaki 5 bangunan. Dari jauh kedengaran suara imam mengangkat takbir. Dan keadaan di luar Masjidil Haram makin sesak. Masing-masing dengan sejadah di tangan bersedia untuk membentuk saf. Di jalan, di kaki lima, di kawasan lapang mahupun di tapak pembinaan berhampiran Masjidil Haram dipenuhi orang. Semuanya membentuk saf. Lurus dan sempurna. Melihat suasana itu saya mengucap panjang! Inilah agama yang sebaik-baik agama! Sayu, terharu, speechless semuanya ada! Selama ini, saya 'selesa' bersolat di dalam masjid. Langsung tak terfikir keadaan jemaah yang tidak sempat untuk sampai dan bersolat di dalam masjid. Rupa-rupanya ini keadaannya....

Mereka bentangkan sejadah di kaki 5 dan membentuk saf dan solat di sini.
Ruang koridor kedai, jalan dan kawasan lain dipenuhi dengan lautan manusia. Semuanya menunaikan solat dan berimamkan imam dari Masjidil Haram.
Cuba tengok, apa yang 'lain' tentang kedua-dua gambar ini. Gambar 1, ketika duduk di antara 2 sujud, sedap je makcik tu minum air dan gambar 2 selepas naik ke rakaat seterusnya elok aje dia sambung solat. hihi. - ini mazhab apa ye? Di sini kita akan tengok bermacam-macam cara solat dan amalan 'yang pelik' pada pandangan kita. Tapi itulah istimewanya berada di Kota Makkah, di sini pelbagai mazhab dan ikutan kita akan jumpa. Dan kita pula kena selalu berlapang hati dan positif dengan mereka. Jangan ikut ye macam ni - mengikut mazhab Syafie makan dan minum di dalam solat akan membatalkan solat. 

Selepas selesai solat Asar, keadaan kembali seperti biasa. Kedai-kedai yang ditutup sebentar tadi dibuka dan semua urusan dan kegiatan harian berlaku seperti biasa. Kami berdua teruskan perjalanan. Berjalan memasuki satu shopping complex yang di dalamnya terdapat bermacam-macam kedai.

Kedai jual baju, beg, jubah semua ada! Jual mak dan ayah je tak ada kat sini. hehe
Dah penat menjamu mata kami menuruni escalator dan keluar dari bangunan untuk berjalan balik ke hotel kami.

Apa hasil belian yang kami dapat? Tak ada apa-apa. Cuci mata je. Dah, jom kita balik....

Memasuki kawasan Masjidil Haram dari pintu sebelah Bukit Safa (dari Kota) : Bangunan berwarna hijau yang ada 2 tower itu adalah sebahagian daripada Masjidil Haram. Di sebelah itu pula, tak silap saya hotel. Haa... inilah baru hotel mewah. Keluar pintu hotel terus masuk ke Masjidil Haram. Agak-agak mampu tak kita nak duduk hotel macam tu eh??
Jom ikut pakcik tu : ruang pejalan kaki di antara Masjidil Haram dan tembok. Tembok atas tu letaknya istana raja Arab.

Sebahagian binaan Masjidil Haram : cantik betul ukiran dan corak dinding masjid. Belum masuk dalam lagi tu kan? Gambar 4 pula ialah menara jam besar di sebalik kota. 

Dataran masjid : Dataran dipenuhi oleh lautan manusia. Suasana macam ni mungkin boleh dilihat semasa musim haji atau bulan Ramadhan je kot. Sebab ketika saya datang umrah setahun sebelum itu, masa tu dataran ni tak sepadat ini - kalau nak berlari-lari atau bergolek-golek tu boleh lagi la orang kata.
Sebahagian daripada jemaah haji : Masing-masing dengan aktiviti masing-masing. Ada yang khatam al-quran, ada yang tidur, ada yang makan dan macam-macam gelagat lagi. Err... jangan dicari di mana jemaah Malaysia ye, sebab kebanyakan jemaah kita berada di dalam masjid ^_^ 
Lena anak kecil ni tidur - saya takut-takut sebenarnya ambil gambar ni. Main tekan aje camera kecik saya tu. Haha.
Macam nilah suasana seminggu sebelum waktu wukuf. Di mana-mana Kota Makkah penuh dengan manusia.
Lautan manusia. Ini baru keadaan di luar masjid, cuba bayangkan keadaan di dalam masjid dan di depan Kaabah. Kalau dalam masjid, dari ruang bawah tanah, tingkat 1, tingkat 2 sampai ke rooftop semuanya penuh dengan orang!!!
Leka pakcik ni tengok gelagat manusia - nasib baik pakcik ni tak lekuk kepala saya masa snap gambar dia. Bukan 1 gambar saya snap, banyak tu. hahaha
Dataran sebelum Bukit Marwah : hanya bertar, tapi tempat ini juga penuh sesak dengan manusia.
Terowong jalan raya, kalau lepas melontar jamrah di Mina, berjalan dari sempadan Mina - Makkah, akan tembus melalui  terowong tu. Bangunan putih pula ialah perpustakaan. Ada 'cakap-cakap' yang menyatakan di tapak perpustaan itu merupakan tempat kelahiran Rasulullah SAW. Tapi tiada dalil yang tepat mengesahkan hal tersebut. Ada sesetengah jemaah yang ekstrem, siap berdoa dan sujud di situ, tapi jangan ye kawan-kawan. Itu bukan sunnah dan ajaran nabi kita. Nabi kita tak suruh kita cari di mana tempat baginda dilahirkan, baginda mintak kita ikut ajaran dan sunnahnya saja.
Berjalan balik ke hotel, berselisih dengan jemaah-jemaah yang nak ke masjid menunaikan solat Maghrib.
Salah satu bangunan di sana ialah bangunan hotel tempat saya menginap. Sekarang semua bangunan tu dah roboh agaknya...

bersambung