Followers

Showing posts with label muhasabah diri. Show all posts
Showing posts with label muhasabah diri. Show all posts

Wednesday, June 19, 2013

I'm blessed

Sebenarnya saya masih dalam mode terumbang-ambing untuk misi 'jihad' yang harapnya akan tercapai sedikit masa lagi. Dalam keyakinan yang hanya ditahap 50% saya cuba juga kuatkan diri - masih berkeyakinan dengan janji Allah siapa yang berusaha dia yang akan berjaya dan siapa yang berdoa lambat atau cepat pasti Dia akan kaburkan. 100% saya yakin dengan janji Allah itu walaupun usaha saya hanyalah 60% sahaja. Haha. Lagipun misi 'jihad' ini termasuk dalam salah satu doa saya semasa di Arafah, semasa haji lepas. Nah! tak sampai beberapa bulan sedikit demi sedikit doa saya didengari oleh-Nya walaupun jalan yang saya ambil masih berliku-liku - i'm blessed!

Tapi tanpa insan-insan hebat disekeliling saya, mana mungkin misi 'jihad' ini dapat saya lakukan sendirian. Bertemu mereka beberapa bulan yang lepas - selepas 10 tahun tak bersua muka, mereka masih mengenali saya! Haishh... Padahal saya ni bukanlah pelajar bijak pun, cemerlang jauh sekali. Tapi tetap saya dikenali sebagai salah seorang anak murid mereka. Kagum sungguh saya. Agaknya inilah salah satu etika yang saya pelajari dalam kursus di IKIM baru-baru ini - etika seorang pengajar dan penyelidik : sentiasa bersifat terbuka, membantu pelajar dan tidak lokek dengan ilmu yang mereka ada. (kalaulah semua pensyarah di universiti seperti mereka, mesti ramai student yang seronok nak datang kelas kan?) Dari sinilah saya meminjam 'semangat' mereka. Walaupun mereka tahu kemampuan saya ditahap mana - tetap mereka memberi galakan pada saya - again, i'm blessed!

Thanks prof and doc, i owe both of you a lot!

p/s : tak mengapa jika hidup kita tak sebahagia dan selengkap hidup teman-teman yang lain, asalkan hidup kita mampu membahagiakan orang-orang dikeliling kita.

Note :

Ada sesiapa/ adik-adik lepasan matrik/diploma (kalaulah mereka terbaca entry ini) - jika berminat dengan bidang Sains Marin (Biologi Marin/ Oseanografi), UKM merupakan salah sebuah universiti tempatan terbaik yang  menawarkan pengajian dalam bidang ini (hanya beberapa universiti tempatan yang menawarkan pengajian ini, etc UMS, UMT, UM dan USM). Tenaga pengajar yang sangat supportive, suasana dalam kelas/lab/field trip yang seronok (seperti sebuah keluarga besar) dan saya yakin anda semua tak akan menyesal menjadi pelajar mereka!

Friday, March 22, 2013

Friday, June 08, 2012

Pesan RasulAllah SAW

Pancur emas - antara tempat yang makbul jika berdoa di bawahnya. 

Muhammad SAW pernah berpesan, 

"Akan dikabulkan doa seseorang daripa kamu selagi dia tidak gopoh dengan Tuhan". 

Apabila ditanya, "Bagaimana gopoh itu, wahai Muhammad?"

Muhammad berkata, "Iaitu orang yang berkata, 'Aku sudah berdoa dan berdoa, tetapi tidak dimakbulkan lagi oleh Allah!"

* petikan daripada buku Biografi Muhammad Bin Abdullah [m/s : 82]

PM : tidak pernah putus asa dengan Allah.

Tuesday, March 30, 2010

Hidup ; Perjalanan, Percaturan dan Pilihan

Semalam, seketika di bumi Darul Iman. Bercanda di Pantai Batu Buruk, menikmati bayu Laut China Selatan. Nyama & mendamaikan. Rutin jika pulang ke kampung halaman. Perjumpaan biasa dengan seorang sahabat yang setia menetap di tanah kelahiran. Tidak seperti sahabat-sahabat yang lain, berhijrah demi mencari rezeki. Itu rezeki dia. Juga percaturan yang telah ditetapkan oleh Tuhan.

Perbualan kami berkisar tentang kehidupan masing-masing. Tentang rencana percutian kami yang hanya tinggal satu minggu lagi. Sejujurnya, kami TERUJA! Juga, tentang kisah bertemuduga. Persaingan? Sangat sengit! Dan rasanya peluang juga sangat tipis. Namun, sudah berpuas hati. Sekurang-kurangnya antara puluhan orang yang datang pada hari itu, aku antara 3 orang yang terpilih untuk menduduki ujian seterusnya ditemuduga untuk tapisan pertama. Itu juga satu pencapaian yang boleh dibanggakan buat diri sendiri. hiks

Lagi berkisar tentang kisah berkecil hati dengan seorang kawan dan telah memohon maaf di blognya. Pengakhirannya? Aku mengambil jalan untuk hanya mendiamkan diri. Biarlah, perkara yang lepas usah dikenang-kenang. Dan cerita paling hangat tentang keceluparan seorang kawan yang kata-katanya seolah-olah bermaksud 'kami-kami ini sudah terlewat usia untuk berkahwin'. Padahal dia juga boleh dikatakan 'terlewat' juga. Cuma terawal sikit daripada kami-kami ini saja. Masih ada hati hendak mengata kami. Berani sungguh! hahaha... Argh... tak mengapa. Itu kisah mereka.

Pada aku, perjalanan setiap anak-anak Adam semuanya sudah ditentukan oleh-Nya. Ajal, maut, rezeki dan jodoh semuanya sudah ditentukan. Sebagai manusia kita harus terus berusaha untuk mengatur hidup kita sebaiknya. Selepas berusaha, disertai dengan doa moga-moga apa yang diusahakan mendatangkan hasil yang lumayan. InsyaAllah...

Bercerita tentang calon? Wah... ini isu hangat! Kalau Cik Wardah ada bersama pasti isu ini lebih hangat dari biasa! hahaha. Aku? Aku tak memiliki mimpi yang melangit tentang calon. Kerana sentiasa mengukur diri. Yakin ia telah disiapkan oleh Yang Maha Esa. Maka tak perlu risau. Ia juga sebahagian daripada rezeki. Rezeki seseorang sudah ada bahagiannya. Dan sebahagian rezeki seseorang itu tidak akan diambil oleh orang lain. Itu yang tertulis di fikiran. Supaya sentiasa merasa tenang dan tenteram.

Kemudian, cerita kami berlarutan tentang pilihan. Antara yang disukai dan yang menyukai. Mana satu paling tepat pilihannya? Entah? Aku? Ruang fikiran masih kosong. Mengambil jalan untuk tidak membuat apa-apa pilihan dan meletak semuanya pada takdir Tuhan. Jika itu yang terbaik, maka itulah pilihannya. Jika tidak, pasti ada hikmah yang tersembunyi. Itu juga percaturan yang telah ditetapkan oleh-Nya. Hidup ini juga satu rahsia. Sampai masa, detiknya pastu semua rahsia akan terbongkar. Kan? Bukankah hidup itu anugerah terindah dari Tuhan yang harus disyukuri? Terlalu indah, maka jangan mudah menyerah kalah.

PM : Alhamdulillah... syukur...

Thursday, October 01, 2009

Ujian hidup

Allah menguji setiap umat-Nya bergantung kepada iman seseorang. Jika kuat imannya maka lebih kuatlah ujian yang diuji pada umatNya, begitu juga sebaliknya.
Semalam berkesempatan melawat seorang teman sepejabat yang bercuti sakit di rumahnya. Saya baru dikhabarkan berita tentang keadaaannya petang semalam dan kami sepakat melawatnya malam itu juga. Pertama kali melihat keadaannya saya agak terkejut. Dia yang dahulunya sihat, kelihatan sangat lemah dan kurus. Kesian dia, tak sampai 1 bulan sembuh dari pembedahan membuang tumor, tiba-tiba selepas raya penyakit lain pula yang menyerang. Melihatnya mengingatkan saya tentang keadaan diri 5 tahun yang lepas. Owh... berat mata yang memandang, berat lagi diri yang menanggung.
Kata teman, "kita mengeluh bila kita diuji dengan kesakitan. Bertanya, kenapa Allah menguji kita sedangkan orang lain sihat walafiat. Tapi sebaliknya dalam tidak kita sedari ada lagi orang lain yang lebih menderita daripada kita."
Kata teman yang seorang lagi, "kita ni boleh tenangkan dia yang sakit, tapi yang menanggung kesakitan lebih menderita."
Dan saya menyampuk, "tapi sekurang-kurangnya bila kita melawat, kita bagi sokongan, kurang sikit derita dia. Aku pernah rasa dulu... at least ada kawan-kawan datang melawat, bagi sokongan kurang sikit beban. Dia dah kira beruntung, ada keluarg, suami, anak-anak dan kawan-kawan bagi sokongan, cuba korang bayangkan orang yang sakit terlantar kat hospital sorang-sorang lagi kesian kan?"
Dalam suka hitunglah kesyukuranmu
Dalam senang awasi kealfaanmu
Setitis derita melanda
Segunung kurniaanNya
[Lukisan Alam : Hijjaz]
Dalam hidup, kita tidak menjangka sejauh mana kita akan diuji. Mungkin dari segi kesihatan, mungkin juga dalam bentuk kemiskinan, kasih sayang dan pelbagai ujian lagi diujiNya kepada setiap umat-umatNya yang terpilih. Jika mereka sabar dengan ujianNya akan beroleh ganjaran berganda, begitu juga sebaliknya kerana tiada yang baik di dunia ini kecuali datangnya dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Doa saya semoga teman saya itu sabar dan akan sembuh seperti sedia kala. InsyaAllah...
PM : bergantung pada ubat untuk meneruskan hidup

Thursday, August 20, 2009

Kisah menjejak kaki pelangi

Akhir-akhir ini aku selalu nampak pelangi. Sangat cantik! Terbaru melihat pelangi ketika berada di Bumi Kenyalang. Bukan sekali, malah dua hari berturut-turut. Memang cantik. Tujuh kombinasi warna yang sangat menarik.
Kata teman 1 : "kita selalu nampak pelangi, tapi di mana kakinya?"
Kata teman 2 pula : "jom kita jejak kaki pelangi?"
Kata aku : "Cubalah! kalau jumpa aku solute kau!"
Baru aku terfikir, pelangi memang sangat cantik, tapi yang pasti kaki pelangi tak mungkin dan tak akan ditemui oleh sesiapapun. Itu semua kuasa & kerja Tuhan.
Dulu semasa kecil, masih keanak-anakan aku selalu berangan-angan, jika pelangi muncul aku mahu bermain-main di atasnya. Konon-kononya menggelongsor dari puncak pelangi hingga ke kakinya. Pasti seronok! Itu angan-angan semasa kecil, walau tak pernah tertunai tapi ia tetap manis bila dikenang.
Memburu kaki pelangi... sama seperti memburu impian. Impian untuk sebuah kehidupan yang bahagia dan lebih sempurna, impian untuk mencapai cita-cita yang diimpikan dan berbagai-bagai impian yang diinginkan oleh setiap insan yang bergelar manusia.
Kata teman, pelangi cantik walaupun hanya dapat dinikmati seketika cuma. Seperti sesuatu @ seseorang yang singgah dalam hidup kita. Walaupun sementara, kerana indahnya ia kita tetap akan kenang sampai bila-bila. Jadi, jika pelangi muncul... nikmatilah keindahannya walau hanya seketika. Begitu juga dengan bahagia... jika sedang berbahagia nikmatilah! Walaupun hanya sementara. Sekurang-kurangnya kita berpeluang juga mengecapi kebahagian walaupun hanya sekejap... daripada mereka yang tidak berpeluang langsung untuk menikmatinya.
PM : jom jejak kaki pelangi!

Monday, August 17, 2009

Kasut

Saya adalah pengumpul kasut yang berjaya. Suka benar membuat koleksi kasut walaupun hakikatnya sangat susah mendapat saiz yang sesuai dengan kaki saya yang terlebil 'comel' ni. Tapi... walau sebanyak mana kasut yang saya ada, kebiasaannya saya hanya memakai kasut yang sama saja. Kata orang, yang selesa di kaki.
Ada pepatah Inggeris berbunyi "Letakkan diri kita dalam kasut orang lain" - merasai perasaan orang lain dan melihat sesuatu keadaan dari kaca mata orang yang mengalaminya. Oh... itu antara perkara yang sangat sukar untuk dilakukan oleh saya. Itu saya akui. Pernah seorang teman berkata, "cuba kau letakkan diri kau di tempat aku, pasti kau akan tau macam mana rasanya". Sebagai manusia, sudah pasti kita tidak berupaya menyelami hati orang sedalam itu. Walaupun kita sama... tapi kita tetap berbeza. Kan?
Contohnya, terbaru adik saya telah menghadiahkan 2 pasang kasut bertumit 2 1/2 inci! Aduhai... bisa tersadung jika saya memakainya. Padahal sudah beberapa kali dipesan jangan membazir membelikan kasut untuk saya kerana saya sangat cerewet memilih kasut. Itulah perbezaannya. Walau bercitarasa berbeza, pemberian orang harus dihargai. Yang penting cuba untuk berada ditempatnya dan merasai apa yang dialami. Mungkin juga, kasut baru nanti tidak sesuai dengan kaki saya, atau mungkin juga ia selesa dipakai. Siapa tahu? Itulah manusia... mungkin masing-masing mempunyai masalah yang sama, serupa, sebijik tetapi apa yang dirasai tidak akan sama. Mungkin bagi kita perasaan sakit itu hanya biasa-biasa saja, tapi tidak bagi mereka. Dan perkara yang paling sukar adalah untuk menyelami perasaan orang.
Walau apapun, sebelum cuba untuk menyelami perasaan orang, selami dahulu perasaan sendiri. Kenal hati budi sendiri dahulu sebelum mengenal hati budi orang lain. Ketahui kehendak dan kemahuan diri. Sebelum membahagiakan orang-orang di sekeliling, pastikan diri kamu bahagia dahulu. Barulah kebahagian itu terlampias kepada orang-orang di sekeliling kita. InsyaAllah...
PM: jika kamu bahagia, saya juga begitu! (^_^)

Tuesday, July 07, 2009

Bicara Tentang C.I.N.T.A

C... cintaku yang satu
I... impian kan nyata
N... nikmat yang berbeda
T... tanpa pengertian
A... antara kau dan aku - Cinta Kenangan Silam, XPDC

Sudah saya katakan sebelum ini, akhir-akhir ini teman-teman rapat di sekeliling saya tidak habis-habis berbicara tentang cinta. Owh... saya tidak termasuk dalam senarai meraka. Begitu juga GBS. hahaha... Kami masih menjalani kehidupan seperti biasa. Gembira dan bahagia dengan cara masing-masing.

Kata teman yang seorang itu, kehidupannya akhir-akhir ini penuh dengan keterujaan. Hingga terlalu banyak pilihan dan tak mampu membuat pilihan. Semuanya memikat hati! Seperti biasa, saya hanya tersenyum. "Selagi hati kita tidak terikat, kita masih boleh membuat pilihan. Oleh itu buatlah pilihan yang dirasakan terbaik!" Begitu juga dengan seorang teman yang kedua itu sedang melayari hari-hari bahagia bersama yang tersayang. Kelakar juga melihat gelagat orang bercinta ek. hahaha...

Jadi tidak mustahil bila 3 dara berkumpul, sayalah yang paling kesian! Melayan perasaan sendiri sedangkan masing-masing sibuk dengan h/p masing-masing. Owh... tiba-tiba simpati pada diri sendiri. hiks. Buktinya? Ketika kami sama-sama pulang dari Sarawak tempoh hari, hanya saya yang masih setia dijemput dan dihantar oleh pemandu kembali ke pejabat sedangkan mereka pulang bersama pasangan masing-masing. Owh... tidak mengapa. Saya tidak marah, jauh sekali berkecil hati. Malah saya tumpang gembira di atas kebahagian mereka.
Bila melihat reaksi masing-masing, saya cuba bertanya, apakah definasi mereka tentang cinta? Kata mereka, cintu itu suka, duka, teruja dan mendebarkan. Begitukah? Perasaan itu sangat halus dan meresap ke dalam jiwa. Dan yang pasti orang yang dicintai mampu membuat kita tersenyum, ketawa dan mungkin juga menangis. Mungkin?

Pada saya,

Cinta itu universal. Boleh diaplikasikan kepada sesiapa saja. Cinta pada Yang Maha Esa, cinta pada ibu bapa, cinta pada keluarga, teman, sahabat dan juga orang yang dicintai. Kita boleh mencintai sesiapa juga, tetapi Allah jugalah yang akan memutuskan kepada siapa cinta kita akan terikat. Dan kita boleh berharap bahawa orang yang dicintai akan mencintai kita, tetapi samada orang yang dicintai itu milik kita @ tidak, juga atas keputusan Allah. Walau sekuat manapun cinta kita padanya, jika Dia tidak mengizinkan, maka cinta itu pasti akan terkubur begitu sahaja. Jadi adalah lebih baik berserah pada-Nya.

Orang bijak pandai menyatakan, "berhati-hatilah terhadap cinta. Durinya adalah nafsu dan mawarnya adalah kesucian. Berapa banyak manusia yang telah mencium harumnya mawar, padahal mereka tidak menyedari diri mereka sebenarnya telah tertusuk duri cinta. Cinta sejati adalah cinta yang bisa menghulurkan tangan untuk memetik mawar tanpa tertusuk duri-durinya".

*dedikasi buat dua teman seperjuangan *cik jiran sebelah dan cik sayangku* yang sedang hangat ber??? oppsss!!!

Monday, June 29, 2009

Bersabarlah, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya

Kata seorang teman, usah sesali sesuatu perkara lepas yang penah terjadi dalam hidup kita. Usah tangisi kesilapan atau perkara yang menyedihkan yang berlaku pada kita kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi disebaliknya. Semuanya telah ditentukan oleh yang Maha Esa. Dan segala yang berlaku telah disusun sebaiknya oleh-Nya.

Kadang-kadang, bila ditimpa musibah pasti saya akan mengeluh. Menyesal dan bersedih. Mulalah berfikir yang bukan-bukan dan menyesal.

"kenapa begini?"
"Kenapa kesudahannya harus begini?"
"Kenapa aku?"
"Kalaulah aku tak jumpa dia, mesti aku tak kecewa..."

owh... itu lumrah manusia. Sudah terkena baru menyesal. Sudah terhantuk baru terngadah. Tapi bukankah itu sudah tersurat dan ditakdirkan oleh-Nya? Dan sebagai umat-Nya kita haruslah sentiasa redha dengan dugaan yang telah diuji kepada kita.
Bila berbicara dengan teman tentang kisah-kisah lama yang menyedihkan, pastinya akan terbit rasa sesal. Kata teman lagi,

"Jangan begitu, kalau kamu bersamanya pasti tak akan ada pertemuan dengan dia. Sepatutnya kamu berterima kasih dengannya kerana di sebalik perpisahan berlaku pula satu pertemuan yang lain. Mungkin juga lebih manis! Itukan satu hikmah juga...."

Ada betulnya kata-kata teman itu. Sepatutnya saya bersyukur kerana di sebalik perpisahan dulu berlaku satu pertemuan baru. Walaupun masih kabur jalannya, tapi ia tetap satu pertemuan yang manis. Jadi, jika diuji dengan kesedihan, bersabarlah.... kerana setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya. Itu pasti!!!

"KADANG-KADANG KITA MENYESAL DENGAN TAKDIR YANG TELAH TERSURAT PADA KITA.... TAPI HAKIKATNYA ITULAH SURATAN YANG TERBAIK UNTUK KITA"

Thursday, June 18, 2009

Memaafkan, ia bukan satu perkara yang mudah

Dalam kehidupan, antara perkara yang sukar dilakukan oleh setiap insan adalah memaafkan setelah dilukai dan disakiti oleh seseorang. Itu saya akui! Apabila perasaan marah sudah beraja, pastinya akan terbit rasa marah & dendam di hati. Syaitanpun mula bersorakan kegembiraan! Berjaya menghasut anak-anak adam.
Sangat sakit bila dilukai, dan sakit lagi untuk memaafkan! Memaafkan.... pastinya menuntut satu pengorbanan. Ego! Ada orang berfikir, jika memaafkan kesalahan seseorang, dia terpaksa menjatuhkan keegoaannya. Dan ada juga yang berfikir, memaafkan bermakna kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang melukai telah dilupakan oleh yang dilukai. Jadi selepas ini bolehlah melukainya lagi kerana yang dilukai seorang yang pemaaf. Sungguh tidak adil!
Rasanya tidak salah jika kita memaafkan kesalahan mereka walaupun hakikatnya kesalahan itu bukan berpunca daripada kita. Kerana ini antara perkara yang paling mulia, kerana memohon kemaafan walaupun kesalahan bukan terletak dibahunya. Dengan niat kemaafan yang dihulurkan mampu menjernihkan hubungan persahabatan yang hampir terputus.
Yang penting, sebelum memaafkan oarang lain adalah lebih jika kita belajar memaafkan diri kita dahulu. Memaafkan diri sendiri agar tidak lagi disakiti dan dilukai lagi. Ia akan buat hati kita lebih tenang kerana sebaik-baik kemaafan adalah yang lahir dari hati yang ikhlas!

Tuesday, June 16, 2009

Cerita III : Dunia belum kiamat, jadi bergembiralah!

Ya! Saya sedang bergembira. Menikmati kehidupan dengan penuh riang-ria. Walaupun tiada bunga-bunga cinta di hati. Tapi saya tetap gembira. Gembira meneruskan kehidupan dengan cara tersendiri. Gembira didampingi kawan-kawan, gembira disayangi ibu, ayah dan adik-adik juga gembira dengan segala kurniaan rahmat oleh-Nya. "Jangan tension... mulakan hari dengan senyuman kerana senyuman itu pengubat kesedihan."

Kepada yang sedang bersedih, bangunlah... lapangkan dadamu... hilangkan semua kesedihan itu.
Kepada yang putus cinta, usah berdukacita, ia bukan penamat sebuah kehidupan.
Kepada yang sedang bercinta, tahniah! Semoga bunga-bunga ceria sentiasa bersamamu!
Dan kepada yang sedang ingin bercinta, teruskan berusaha! Jika anda berhati ikhlas, pasti kebahagian akan bersama anda nanti! InsyaAllah.

Dunia belum kiamat, hidup belum berakhir, jadi bergembiralah!!!

Cerita II : Putus cinta, tak bermakna hilang segala-galanya!

Pernah putus cinta? Angkat tangan!! Haaa... mengaku! Siapa 'ngelat' kena 'piat' telinga! Terfikir juga bagaimana rasanya putus cinta ye? Pernah seorang teman mengadu tentang kekecewaannya ditinggalkan orang yang disayangi. Katanya, dia sudah tiada apa-apa lagi selain orang yang dicintai. Dia sudah hilang segala-galanya. Sudah tidak sanggup meneruskan hidup kerana cintanya sudah pergi. Owh... kuatnya penangan cinta.

Saya tidak mampu berkata apa-apa. Hanya mampu menenangkan perasaannya saja. Entah? Macam Dr. Love pulak saya ni, asal putus cinta je, carik saya! Macamlah saya ni pandai sangat bagi nasihat... Bagaimana mahu memberi kata-kata perangsang terbaik sedangkan saya sendiri tidak pernah putus cinta? hahaha... Naifnya saya!

Kata teman, perasaannya amat sakit! Hati seperti kaca yang terhempas ke lantai. Berkecai dan tak mampu dicantum-cantum kembali. Dan lukanya masih berparut walaupun sudah sembuh. Begitukah?

Erm... cinta bukan segala-galanya. Putus cinta bukan bermakna kita akan hilang segala-galanya. Itu pendapat saya. Tidak salah bercinta dan putus cinta adalah lumrah dalam kehidupan. "Jika ada pertemuan, pastinya akan ada perpisahan." Dan setiap pertemuan bukan selalunya akan berakhir dengan satu penyudahan yang menggembirakan, kadang-kadang mungkin kecewa akan menjenguk! Itu yang pasti.

Bercintalah sekadarnya sahaja. Kerana bercinta bukan bererti kita perlu serahkan segala-galanya kepada yang dicintai. Ia pasti menyakitkan jika ditinggalkan. Yang penting niatnya adalah kerana Allah.

Cerita I : Jatuh cinta, itu satu anugerah!

Akhir-akhir ini, orang-orang di sekeliling saya asyik berbicara tentang cinta. Kata mereka, mereka sedang di lamun cinta, jatuh cinta. Seperti biasa saya hanya tersenyum. Bila melihat reaksi bersahaja saya, mereka bertanya, "salahkan?"
Saya geleng-gelengkan kepala, "jatuh cinta? itu satu anugerah!" Barulah mereka tersenyum.
Pernah jatuh cinta? Saya? Owh... tipulah kalau saya katakan tidak! Tapi ia sekadar jatuh cinta. Jatuh cinta bukan bermakna bercinta. Dan jatuh cinta juga bukan bermakna cinta yang mahu dihulurkan akan berbalas. Kata orang... "kalau jatuh cinta, umpama dunia ini aku yang punya!" hahahaha! Hebat sungguh kuasa cinta. Kan??
Tapi saya tak berminat melayan perasaan sebegitu. Walaupun ia satu anugerah, ia juga satu malapetaka! Anugerah jika jatuh cinta pada yang sudi, dan sebaliknya jika jatuh cinta pada yang tak sudi. Pasti menyakitkan!
Tapi.... lebih kasihan jika cinta itu tidak mampu dibalas! Walaupun tiada alasan yang kukuh untuk menolak cinta tersebut. Hanya mampu berkata, "Maaf, saya tak mampu membalas cinta kamu. Kamu selayaknya berjumpa dengan perempuan yang lebih baik dan lebih sempurna daripada saya. Dan yang pastinya perempuan itu bukan saya. Sekali lagi MAAF."
Sebenarnya, bukan salah sesiapapun jika jatuh cinta. Bukankah itu satu anugerah pada makhluknya yang bergelar MANUSIA? Selagi kita mempunyai perasaan, kita tidak akan terlepas untuk jatuh cinta!

Wednesday, June 03, 2009

Hidup dan percaturan

"Hidup tidak selalunya indah
Langit tak selalu cerah
Suram malam tak berbintang
Itulah lukisan alam
(Begitu aturan Tuhan)" - Lukisan alam

Semalam, seperti kebiasaan saya menelefon ibu. Sekadar bertanya khabar dan berbual2 kosong dgn ibu. Ini juga satu terapi yang mampu buat hati saya gembira. Mendengar suara dan tawa ibu sudah cukup buat hati saya sejuk. Nyaman meresap ke dalam hati. Seperti biasa, ibulah pencerita dan saya adalah pendengarnya. Owh... bab2 bercerita pasti saya kalah dengan ibu! hahaha..

Sebenarnya hujung minggu ini, ada kenduri kahwin di kampung. Buat pertama kalinya ibu saudara akan mengadakan majlis kenduri kahwin anaknya. Sudah pasti ia satu majlis yang besar dan meriah. Maklum sajalah sepupu saya itu cucu pertama nenek sebelah ayah yang akan melangsungkan perkahwinan. Pasti meriah! Biasalah, kalau kenduri dan cuti sekolah, pasti sanak-saudara akan berkumpul di rumah nenek. Jadi, selain daripada topik berkisar majlis kahwin selebihnya terlampias kepada saya. Itulah.. susah kalau ramai peminat! Pasti ada bualan tidak sedap telinga mendengar akan keluar dari mulut ibu2 saudara saya yang majoritinya bermulut kepo! Jadi, awal2 lagi saya sudah putuskan untuk tidak turut serta dalam majlis itu! Bosan hendak bersoal jawab dengan wartawan x bergaji. Rasanya saya tidak sekuat cik nilly dan Unni Jer untuk menepis kata2 mereka. Mujur saya dapat sokongan padu ibu yang sudi sama2 berkomplot menjayakan misi ini! hahaha... Itu cerita ibu...

Owh... itu bukan cerita utama. Cerita ibu, kawan lama saya datang berkunjung ke rumah. Ya, dia kawan lama, semasa di universiti dulu. Masih hingusan ketika itu. Dia kawan yang baik. Sama-sama tinggal di kolej, dan menuntut di fakulti yang sama w/lpun berbeza bidang. Ketika tamat pengajian, kami juga sama-sama mengejar cita-cita. Cuma rezeki kurang bersamanya kerana sehingga hari ini belum beroleh kerja yang memberi jaminan kepadanya. Jadi, kami terpisah. Dia pulang ke negeri kelahiran kami, sehingga hari ini masih tanam anggur. Cerita ibu, kawan saya ini datang, bercerita dan meluahkan kesedihannya pada ibu. Belas hati ibu mendengar perihal kesukaran hidupnya. Saya hanya mampu diam 1000 bahasa. Saya tahu kesulitan kawan saya itu. W/lpun kami berjauhan, tapi antara kami tidak pernah terputus khabar. Dia kawan yang cukup baik, mana mungkin saya mahu melupakan dia sebagai sahabat. Kan??

Ketika itu.... saya seperti tersedar. Mungkin selama ini saya selalu mengadu pada ibu, betapa sukarnya hidup ini. Betapa saya kurang bernasib baik berbanding orang lain yang sudah berjaya. Tapi, semalam cerita tentang kawan saya itu cukup menyedarkan saya.

Kata ibu,
"Jika kita rasa kita susah... pandang ke bawah, lihat ramai lagi orang yang lebih susah dari kita, bukan pandang ke atas dan memandang orang yang lebih berjaya kerana ia akan buat kita rasa tidak bersyukur!"
owh.. terpana saya. Itulah ibu... selalu menjadi penasihat terbaik!

"Dalam sukar hitunglah kesyukuranmu
Dalam senang awasi kealfaanmu
Setitis derita melanda
Segunung kurniaanNya" - Lukisan alam

Sebenarnya hidup adalah sebagaimana yang kita corakkan. Hidup saya sudah boleh dikatakan mudah berbanding orang lain. Sekurang-kurangnya di usia sebegini, saya sudah mampu berdiri di atas kaki sendiri. Tidak lagi hidup di atas belas ihsan ibu dan ayah atau orang lain. W/lpun masih tiada 'pelengkap hidup'. Kelebihan itu juga dikira satu kredit untuk diri sendiri. Jadi, sentiasa bersyukur dan berterima kasih dengan kurniaan itu.