Followers

Showing posts with label Hiking. Show all posts
Showing posts with label Hiking. Show all posts

Friday, October 10, 2014

Mt. Kinaballu 2014 - day 3 & 4

* Entry yang lama terperap dalam draf baru nak post.

4 Sept 2014

Hari baru kami bermula seawal jam 1.00 pagi. Bangun, bersiap sedia dengan pakaian selengkapnya untuk menempuhi perjalanan mendaki ke puncak Kinaballu. Untuk pakaian, saya pakai 2 helai baju, dan paling luar sweater kalis sejuk dan angin. Seluar pulak yang tahan sejuk - beli kat Korea khas untuk winter. Sangat membantu! Oh ya, jangan lupa bawa sarung tangan sebab pagi ini kami dikhabarkan suhu sangat sejuk. Selepas bersiap, kami sarapan ala kadar. Roti, kaya dan air disediakan oleh pihak penganjur. Air panaspun ada. Saya bancuh oat dan susu yang dibawa, makan roti dan kurma untuk alas perut. Nak makan beria tengah pagi buta memang tekak tak mampu nak telah. 

Pukul 2.00 pagi kami semua dah siap menunggu di ruang menunggu. Guide kami pun dah siap sedia. Dah siap semua kamipun bergerak. Kiranya kumpulan kami antara kumpulan terawal yang bergerak naik. Pintu pagar pun tak buka lagi. Tapi guide kata tak apa, jalan saja sebab dia ada kunci. Tujuan kami bergerak awal sebab tak nak tersesak-sesak dalam perjalanan naik nanti. 

Keadaan sangat gelap dan sejuk. Jalan kami hanya berberkalkan headlamp sahaja. Mula-mula mendaki dah jumpa tangga. Hampir 1 jam mendaki tangga akhirnya kami sampai di Sayat-sayat (KM 7). Alhamdulillah! Orangpun tak ramai lagi jadi kami ambil masa agak lama untuk berehat di situ sebelum teruskan pendakian naik. Kat sini kena daftar kat pondok pengawal. Lebih kurang 1/2 jam rest, barulah kami teruskan pendakian. Kali ini jalan lebih mencabar. Trek yang dilalui berbukit dan licin. Ada sesetengah trek mendaki kena guna tali untuk memanjat. Memang kena berhati-hati. Terlepas tali, gaung yang menanti. Penglihatan memang sangat terbatas. Masa ni tak boleh memandai-mandai, ikut saja apa yang guide suruh buat.

Di pendakian KM 7.5 - 8 trek berbukit tapi mendatar. Saya rasakan ini antara trek yang paling mencabar. Oksigen kurang, suhu sejuk dan kadang-kadang berangin. Jalanpun sekadar ikut rentak kaki melangkah. Semua bergantung pada kekuatan mental. Serius masa ni, nak give up pun ada. Jalan punya jalan, akhirnya pada jam 5.30 pagi kami sampai di puncak Kinaballu! Alhamdulillah. yeah! Masa sampai tu beria nak panjat sampat ke low peak! Kekonon nak abadikan potret kat situ. Tapi masa tu gelap bebenor. Huahua. Ambil gambarpun tak lawo. Hahaha.

Ok, layan ajelah gambar di puncak Kinaballu!

Sunrise - matahari malu-malu nak tunjukkan diri. Ini saja hasil matahari terbit yang dapat dinikmati.
Lagi matahari malu-malu nak tunjukkan diri

KM 8.0 - gambar yang ada kat note RM1 lama dan RM100
Selfoot - nak bergambar kat low peak ramai sangat orang, jadi cukuplah bergambar kat sini

Sama tak?
Dah makin cerah. Sayang tak dapat nikmati matahari terbit dari puncak. Kabus tebal dan sejuk
Kolam air di puncak Kinaballu - boleh berwudhuk di sini


Agak lama saya melepak di puncak, bila dah cerah barulah kami beransur-ansur turun. Tak tahan sejuk melampau. Makin cerah, anginpun makin kuat bertiup. Walaupun tak dapat layan sunrise dari puncak, sampai ke puncakpun dah kira satu pencapaian terbaik dah. Kan?

Pemandangan di puncak dan perjalanan turun ke Laban Rata
Tadi masa panjat gelap tak tahupun keadaan trek macam ni. Bila dah cerah baru tahu macamana keadaannya. Bagi yang gayat boleh kecut perut jugak. Tapi yang pasti pemandangan sekeliling sangat cantik!

Sayat-sayat dan trek yang terpaksa kami tempuhi untuk turun
Lagi trek turun, semua kena guna tali.

Lagi pemandangan sekitar perjalanan turun ke Laban Rata
Antara trek yang mencabar. Yang pakai baju merah itulah guide kami

Hampir 3 jam menuruni trek, akhirnya sampai ke Laban Rata. Kami terus kemas beg dan turun bersarapan. Sarapan dengan santai sebab masih awal. Dalam pukul 11.00 pagi barulah kami bergerak turun. Kali ni saya turun berdua. Jadi kami turun secara santai sambil bercerita. Bila penat, rehat kejap. Lagipun tak ada apa yang hendak dikejar di bawah sana. Tambah pulak, kaki dah penat sangat. Lenguh mendaki dan turun dari puncak pagi tadipun tak hilang lagi. 

Laban Rata - Alhamdulillah, berpeluang juga jejak kaki ke gunung tertinggi di Asia Tenggara
Selepas 5 jam akhirnya sampai ke Timpohon. Kali ini saya turun berdua, seorang dah selamat dan kawan-kawan yang lain masih dalam perjalanan.

Sampai Timpohon, kami berdua lapor diri kat pondok pengawal dan tunggu van untuk membawa kami ke Kinaballu Park. 

Malam itu kami diraikan. Maklumlah dapat menteri orang Sabah. hiks. Selepas diraikan barulah kami bertolak balik ke bandar Kinaballu. Kami bermalam di Marina Apartment sebelum bertolak balik ke Kuala Lumpur esok harinya.


5 Sept 2014

Hari ini bertolak balik ke KL dan kemudian petang terus ambil fight ke KT. Masih ada setengah hari untuk jalan-jalan di sekitar bandar KK. Selepas sarapan, kami terus berjalan kaki ke Philippine Market. Sempatlah membeli apa-apa yang patut untuk famili. 

Trip kali ni memang betul-betul untuk memanjat Kinaballu. Trip tersepak. Tapi best! Sebab dapat geng mendaki yang sporting. Walaupun ada yang baru kenal. Tapi semuanya baik-baik. Kalau ada peluang, diberi kesihatan tubuh badan, nak panjat lagi Kinaballu sebab frust tak ada gambar melompat di puncak Kinaballu. Woha!


Monday, October 06, 2014

Mt. Kinaballu 2014 - day 2

*momentum menulis sangat slow sebab penyakit M sangat tebal. huhu

3 Sept 2014

Hari yang ditunggu-tunggu dah tiba. Bangun pagi, mandi dan bersiap. Malam tadi briefing, kami dah diingatkan bangun awal dan berkumpul seawal jam 7.00pagi. Semua barang keperluan yang nak dibawa mendaki kalau boleh diasingkan dalam satu beg (letak dalam plastik), manakala beg dan barang-barang lain akan ditinggalkan di tempat menyimpan beg di pejabat - bayaran RM10 untuk simpanan beg. 

Barang-barang yang dibawa - sepersalinan baju & seluar untuk trekking balik esok hari, pakaian untuk mendaki naik ke puncak (sweater, glove, seluar etc) dan lain2 kelengkapan penting. Semua barang-barang ini saya letakkan dalam plastik untuk dibawa oleh porter. Bayaran RM10/kg. Dah namapun amatur, jadi biarlah porter yang tolong bawakan. Walaupun tak berapa berat, saya tak berani nak menghadapi risiko memikul beban di bahu dengan perjalanan trekking yang panjang dan saya sendiri tak tahu bagaimana rupa trek yang akan ditempuhi nanti. Jadi biarlah kita serahkan pada porter untuk mengangkat barang-barang. Sementara hanya air, makanan, mini towel, baju hujan, wind breaker dan camera sahaja yang dibawa bersama beg yang disandang.

Puncak Kinaballu dari kejauhan. Alhamdulillah pagi ni cuaca menyebelahi kami - siap boleh nampak puncak Kinaballu dari Kinaballu Park.

Seawal jam 7.00 pagi semua dah siap dan sedia dengan beg masing-masing. Ada van yang akan datang ambil penginap untuk ke Kinaballu Park. Tapi kalau nak jalan sendiripun boleh. Sarapan disediakan di Balsam Restaurant seawal jam 6.30 pagi. Sarapan memang banyak dan setiap pendaki akan dibekalkan pack lunch - sebiji epal & sandwich. Lain-lain makanan/minuman yang saya bawa ialah coklat, kurma, mineral water 500ml & 100 plus. Lepas sarapan sengaja saya ambil pil mabuk - persiapan awal takut apa-apa.Walaupun saya tak ada masalah mabuk, tapi lebih baik bersedia lebih awal.

Ambil feel bergambar beramai-ramai dulu. Tengok puncak Kinaballu dari bawah dalam hati berdebar, mampu @ tak ni nak sampai puncak agaknya.
Turutan gambar : Gambar tengah (besar), atas kiri ke kanan, bawah dan ke kiri bawah. Bersama 2 oarang guide yang akan bersama-sama kami sepanjang perjalanan ke puncak Kinaballu, timbang barang-barang untuk dibawa oleh porter, kemas semua beg yang akan ditinggalkan di pejabat urusan, taklimat oleh guide sebelum mulakan perjalanan, lapor diri dulu di kaunter, sessi panaskan badan dan bacaan doa sebelum mulakan perjalanan.

Ding dong sana sini, dalam pukul 9.30 pagi jugak barulah kami semua ready mulakan trekking.

Kali ni kita biarkan gambar saja bercerita!

Trek bermula - mula-mula landai, lepas tu terus jumpa tangga, tangga dan tangga!
Antara tangga yang tinggi, dan lagi trek di sepanjang jalan. Kalau penat setiap 1km ada pondok untuk berhenti rehat. Ada sumber air semulajadi dan ada sesetengah pondok disediakan tandas.
Semua laluan bertangga yang bisa buat lutut bergoyang. Dalam terhegeh-hegeh mendaki, tiba-tiba ada porter yang melintas. Laju je jalan dengan beban berkilo-kilo di belakang. Salute!
Tak pasti di kilometer berapa, terserempak dengan 'insan istimewa' ini. Dia baru turun dari puncak. Sempatlah kami bertegur sapa dan bertanya khabar. Hebat, dia sampai ke puncak Kinaballu uols!!

Menariknya mendaki Kinaballu, semakin tinggi trek mendaki, pemandangan makin lawa. Mula-mula jumpa pokok-pokok renek dan tak lama jumpa pulak pokok bongsai. Kalau nasib baik boleh nampak pemandangan Kundasang dari jauh. Besar semut aje rumah-rumah dari atas.


Sampai kat sini, pemandangan dah start lawa. Pokok-pokok semua nampak comel. Hilang penat. Tapi suhu dan cuacapun makin sejuk.
Disebabkan view lawa, lama kami berhenti kat sini. Sempat berkenalan dengan kawan baru yang sama mendaki hari tu.
Trekking bertangga yang tak menahan, tapi pemandangan yang lawa buat penat hilang sedikit demi sedikit.
Antara pokok-pokok renek/bunga di sepanjang trek
Bunga-bunga kuning dan pokok-pokok bongsai ni tandanya tak lama lagi sampailah kita ke Laban Rata.

Akhirnya hampir 5 jam trekking, lebih kurang pukul 2.00pm saya sampai di puncak. Yey! Alhamdulillah. Nampak bangunan putih tu macam satu nikmat! Hilang semua lenguh-lenguh kaki. Sampai je, terus saya ke restoran. Masuk restoran, hanya seorang daripada group kami yang baru sampai. Dia lagi hebat, pukul 11.00 dah sampai. Rest dulu, tak lama lepas tu seorang lagi sampai. Dah hilang penat, barulah makan tengahari. Sementara tunggu kawan-kawan yang lain sampai, lama jugak saya habiskan masa di restoran. Sempat membuta. Haha. Penat!

Laban Rata

Tak pasti berapa lama menunggu, rasanya lebih kurang pukul 5.00 petang barulah semua ahli kumpulan kami sampai sepenuhnya. Melepak dan makan malam lepas itu barulah ambil kunci di kaunter dan naik ke bilik di Gunting Lagadan.

Bilik di Gunting Lagadan, kecil saja, sebilik ada 4 katil - double bed. Alhamdulillah selesa untuk kami bermalam untuk malam itu. Bilik sangat basic - towel dan slipper disediakan. Jadi nanti tak payah susah-susah nak angkut towel lagi. Masuk bilik, ambil barang saya terus mandi. Bare in mind, shower takde hot shower. Walaupun sejuk tetap mandi sebab dah seharian berpeluh. Tak sampai hati tengok diri sendiri tak mandi. Hahaha. Air sejuk sampai ke tulang. Tapi sangat refeshing. Mula-mula kena air memang sejuk, tapi lama-lama sejuk hilang. (ikut cara mandi RasulAllah, lalukan air dari bawah ke atas, dimulakan kaki kanan dulu. Kemudian sedikit demi sedikit barulah basuh hingga ke atas bahagian atas badan, dan terakhir di bahagian kepala - InsyaAllah, dengan sendirinya sejuk itu hilang).


Gambar 3 dari atas : Gunting Lagadan dan pemandangan di sekitar Laban Rata.

Dah mandi, solat, pakai baju tebal-tebal, kemas beg untuk esok, makan vitamin, borak kejap, terus saya tido. Walaupun tak mengantuk paksakan jugak mata supaya tido. Sebab pukul 1.00am dah kena bangun bersiap untuk mendaki ke puncak. Jadi kena recharge tenaga untuk bekalan ke puncak esok paginya.

~ bersambung


Wednesday, October 01, 2014

Mt. Kinaballu 2014 - day 1

2 Sept 2014

Flight dari KLIA2 berlepas lebih kurang pukul 7.30am. Selepas 45 minit berlepas, tiba-tiba pilot membuat pengumuman, katanya ada masalah teknikal pada kapal terbang dan bagi mengelakkan sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku, flight terpaksa berpatah balik. Bayangkan kalau korang disituasi saya, apa yang terbayang dalam kepala masa tu? Sudahlah, pagi itu beberapa jenazah mangsa MH17 baru saja sampai di KLIA, MH370 pun masih hilang lagi, tiba-tiba korang berdepan dengan situasi kapal terbang yang korang naiki menghadapi masalah teknikal! Aduh.... kecut perut jugak dibuatnya!

Selepas 45 minit flight berpatah balik, Alhamdulillah flight selamat landing - itupun selepas mengalami gegaran dan bunyi enjin yang kuat amat! Semua penumpang diminta menunggu di waiting room. Lepas 30 minit menunggu barulah staf AA membuat pengumuman pertukaran flight dan kami akan berlepas di pintu lain dan masa 10 minit lagi. Kali ini semuanya selamat sehinggalah flight landing di lapangan terbang KK. 'belum apa-apa dah diuji, harap-harap esok selamatlah sampai ke Kinaballu' 

Dari airport, kawan-kawan dah sedia menunggu di luar. Kami langsung ke bandar KK, singgah di Central Point membeli barang-barang di saat akhir sebelum ke Kinaballu Park. Sebelum itu sempat dulu singgah di Jeti Jesselton Point, isi perut dan solat dulu. Lepas tu barulah kami langsung ke Kinaballu Park. Btw, semua kos pengangkutan dah termasuk dalam pakej RM750 yang dibayar.

Disebabkan kami bertolak lewat ke Kinaballu Park, jadi berkematulah montot dalam van sementara meredah jalan yang agak jammed. Tapi fun je duk dalam van sebab ramai penglipurlara. Elok-elok sampai Kinaballu Park dah hampir pukul 7.00 malam. Sampai je, terus kami makan malam Balsam Restaurant. Seperti review daripada mereka yang pernah mendaki dan makan di sini, menunya memang sedap! Sesiapa yang suka kambing memang heavenlah. Walaupun saya bukan penggemar kambing, rugilah kalau tak rasakan? Memang sedap! 

Lunch @ Balsam Restaurant. Mewah dengan makanan!

Dah kenyang, kami dihantar ke Grace Hostel. Untuk mereka yang akan mendaki pada esok hari biasanya akan bermalam di sini dulu satu malam sebelum mendaki pada esok harinya. Bilik sangat selesa. Bilik air lengkap dengan shower. Lepas mandi dan solat, kami seramai 11 orang berkumpul di lobi hostel. Ada sessi ta'aruf, taklimat untuk perjalanan esok hari dan pembahagian baju. Beria saya bawak t-shirt merah sekali esok kena pakai t-shirt oren! Nampaknya selagi terikat dengan kementerian ni, tak boleh lari dari warna oren. huhu. 

Hari yang panjang, masa untuk rest sebab esok kami ada misi yang harus ditunaikan!


Friday, September 19, 2014

Mt. Kinaballu 2014 - Intro

Rancangan untuk turut serta dalam misi menawan Kinaballu ini sebenarnya berlaku tanpa dirancang. Saya kira ini trip mengubat hati. Hahaha. Kali ni saya pergi sorang-sorang tanpa GBS mahupun geng berjimba. Walhal merekalah yang selalu duk ajak mendaki ke puncak Kinaballu, alih-alih saya sampai puncak sorang-sorang tanpa mereka. Perancangan Allah siapa yang tahu kan?

Kali ini saya joint geng-geng sepejabat yang selalu anjurkan aktiviti hiking. Boleh dikatakan 2x setahun memang akan ada trip menawan puncak Kinaballu. Itupun tak sampai sebulan saya ambil keputusan untuk turut serta. Bayaran untuk mengikuti xpdc ini RM750 termasuk pakej mendaki 3D2N (makan dan penginapan), transport dari airport ke Kinaballu Park & return ke bandar KK dan penginapan malam terakhir di bandar KK. Semuanya sudah disiapkan. Tinggal pergi dan daki saja.

Dari segi persiapan untuk barang-barang kelengkapan pulak, tidak banyak yang dipersiapkan. Pakai saja apa yang ada. Kasut hiking yang selalu melindungi kaki ke mana-mana saya hiking - janji tapaknya masih kukuh. Ada juga kawan-kawan yang cadangkan pakai kasut 'adidas kampung' tapi disebabkan kaki saya bersaiz 3 @ 4 kasut 'adidas kampung' bersaiz paling kecilpun dikira masih besar dengan kaki saya. Sebenarnya tak kisahlah kita pakai kasut mahal atau murah, yang penting ialah kita pakai kasut yang sesuai. Tak guna kalau pakai kasut yang mahal jika kasut yang dipakai merupakan kasit jogging. Memang tak membantu! Sebabnya tapak kasut untuk jogging memang tak sama dengan tapak kasut untuk hiking/outdoors. Penting memakai kasut yang sesuai terutamanya ketika mendaki dari trek Sayat-sayat hingga ke puncak kerana mostly trek berbatu dan kadang-kadang licin. Jadi bantuan kasut yang sesuai sangat membantu melancarkan pendakian. Kalau tak, ada yang terpaksa merangkak sedangkan orang lain berjalan saja atas batu sebab licin.

Kelengkapan lain yang saya bawa adalah seperti :
  • Sweater - 1 helai
  • Windbreaker - 1 helai
  • Baju hujan - 1 helai
  • Trek suit - 2 helai (sehelai trekking pergi, sehelai untuk tidur)
  • Seluar - 1 helai (khas untuk trekking ke puncak, tebal, ringan dan tahan sejuk)
  • T-shirt - 3 helai
  • Stokin - 3 pasang
  • Sarung tangan - kalis air dan tahan sejuk
  • Trekking pole
  • Sandal
  • Toiletries & lain-lain kelengkapan
  • Ubat mabuk - walaupun saya tak mabuk, tapi disebabkan ini pengalaman pertama, jadi saya buat persiapan awal-awal. Makan 2 biji sebelum hiking, dan 2 biji sebelum naik ke puncak.
  • Vitamin dan lain-lain ubatan
  • Kurma & coklat - kurma memang pemberi tenaga terbaik. Sesiapa kalau nak mendaki memang saya sarankan bawak kurma. Simple, ringan, sedap dan mengenyangkan! Sesungguhnya makanan sunnah memang yang terbaik!
  • 100 plus & air mineral
* Untuk pakaian persalinan, setiap pakaian yang hendak dipakai, saya dah asing siap-siap letak dalam beg plastik berbeza. Jadi bila nak pakai tak payah tercari-cari. Senang nak manage semua barang-barang ni. Setiap kelengkapan semua dimasukkan dalam plastik walaupun beg sandang saya kalis air, tapi sebagai persiapan awal, kita simpan siap-siap semua barang dalam plastik.

* Tips lain supaya potong kuku kaki pendek sangat berguna walaupun ia hanya tips yang simple. Tips ini berguna terutamanya semasa semasa turun dari gunung. Sebabnya, semasa turun kaki kita akan digunakan sebagai 'brek' semulajadi. Jadi kalau kuku pendek, kuranglah sikit tekanan dan 'cekam ' pada jari kaki. Bayangkan kalau kuku panjang, mesti sakit jari kaki. 

* Lain-lain tips oleh sesetengah kawan yang pernah menawan punck Kinaballu ialah, bawa mental dan semangat yang kuat juga memang ada kebenarannya! Rasanya tanpa mental yang kuat, sayapun mungkin tak mampu sampai ke puncak. Sepanjang perjalanan, kadang-kadang rasa putus asa tu datang, tapi dek kerana semangat masih bersisa, otak terus berkata teruskan perjalanan walaupun kaki sebenarnya dah tak mampu nak melangkah. Haha.

Bagi amatur seperti saya pastinya semua pesanan dan tips tidak boleh dipandang enteng. Dah namapun amaturkan? Sudahlah tak exercise langsung. Kawan-kawan lain duk training panjat Gunung Datuk, hiking Bukit Saga, saya yang jauh nun di Terengganu ni hanya hiking Bukit Besar yang tak berapa nak tinggi tu saja. Itupun kurang 2 minggu sebelumnya barulah gigih memanjat Bukit Besar. Hampir setiap petang jugaklah pergi memanjat Bukit Besar tu. Permulaan panjat sekali. Lepas tu baru tambah jadi 2 kali panjat dan turun, tapi nak masuk kali ketiga saya dah surrender. Penat oii!

Low peak of Mt. Kinaballu

Ok, kita sambung part hari kejadian pulak next entry ^_^


Monday, September 08, 2014

Mt. Kinaballu 2014


Alhamdulillah, tanggal 4 September 2014 jam 5.30am akhirnya saya dah selamat sampai ke puncak gunung tertinggi di Malaysia. Bagi pendaki amatur macam saya, saya kira ia satu pencapaian terbaik buat diri sendiri kerana dapat melawan diri sendiri untuk sampai ke puncak. Benar kata kawan-kawan yang pernah mendaki gunung ini, untuk sampai ke puncak bukan mudah, tapi kekuatan fizikal bukan menjadi masalah utama sebaliknya diri sendiri! Sebab dalam tempoh pendakian hanya mental yang mampu mengawal segalanya. Kerana kalau mental kata TAK MAMPU maka tak sampailah jawabnya walaupun fizikal kata MAMPU. 

Friday, March 07, 2014

XPDC Irau, Cameron Highland

Sebenarnya ini entry basi, sebab dah lama benor duk peram entry ni dalam draf. Kiranya ini trip terkejut jugak sebab idea nak ke CH datang macam tu saja dan mendapat sambutan dari kami semua lepas tu terus proceed. Kebetulan bulan 1 banyak cuti umum, jadi cuti Thaipusam menjadi pilihan kami - 3H2M di CH dan highlight untuk trip ni adalah menawan Irau. Campur tolak semua, end up kami ber'5 saja yang available. As usual trip without GBS sebab masa tu diaorg dalam misi 'menabung' untuk mega trip Februari nanti dan ada lagi yang masih bergelut dengan paper final exam.

Untuk trip 3H2M ni diuruskan Anne. Budget RM200/person termasuk transportation, penginapan, makan, BBQ dan guide + permit untuk ke Irau. Saya kira sudah berbaloi-baloi untuk kami ber'5. Saya yakin dah ramai orang ke CH, jadi tak perlulah saya bercerita tentang apa yang ada di sana dan apa yang boleh kita buat kalau ke sana. Tapi mungkin tak ramai yang pernah sampai ke Gunung Irau di Cameron Highland, jadi entry ni saya tulis tentang Irau saja. Cerita lain, kita simpan saja jadi kenangan untuk diri sendiri. hehe.

Disebabkan kami ber'5 semuanya perempuan dan semuanya 1'st time nak panjat Irau, jadi konsep aci redah tak boleh diguna pakai. Cari punya cari, akhirnya dapat juga syarikat yang tawarkan harga berpatutan. Kami ambil seorang guide - day trip dengan harga RM180 + permit RM10/person. Bayaran tak termasuk kenderaan (jip / 4wd) untuk ke area Gunung Brinchang yang terletak berhampiran BOH Sungai Palas dan makanan. 

Kalau ada yang berminat boleh hubungi mereka : 

ORL Green Nature,
No. 2A, Jalan H3, Fasa 5,
Taman Melawati, KL

Phone : +60-012 435 0530
Fax     : +60-03 4106 0566
Email  : info.orlgn@gmail.com
Web   : www.orlgn.webs.com
FB      : ORL Green Nature

Asalnya, guide kami perempuan, tapi sehari sebelum pergi Anne diberitahu guide kami ditukar. Kami sampai sehari awal, dan malam tu, guide kami - Firdaus menghubungi Anne untuk bincang tentang aktiviti ke Irau esoknya. Alang-alang malam itu kami ber'BBQ, jadi kami ajak Firdaus joint sekali. Rezeki kami, Firdaus ada 4wd, dan dia kata esok dia akan angkut kami semua ke Gunung Brinchang - selesai masalah kenderaan.

Kami bergerak lebih kurang pukul 8.30am dari De Native Guesthouse. Nasi dan BBQ malam tadi kami panaskan dan tapau buat bekal nanti. Firdaus datang angkut kami semua dan singgah dulu di Kampung Setia untuk selesaikan urusan dia dulu. Lepas tu baru bergerak dan singgah dulu makan pagi di gerai makan berhampiran Kea Farm. Pagi tu luar biasa sejuk! Mujurlah pagi tadi kami semua dah mandi air sejuk, jadi sejuk kuranglah sikit kalau nak dibandingkan dengan orang yang tak mandi lagi. Err.. relevan ke alasan tu eh?

Elok saja nak bergerak ke Brinchang, hujan turun - renyai. Kata Firdaus, kalau hujan lebat dan suhu terlampau sejuk, terpaksalah lupakan niat nak mendaki. Tapi apapun kita pergi dan tengok dulu keadaan di sana. Sampai saja kat kawasan Mossy Forest, kereta dah penuh di parking. Orang dah berpusu-pusu mendaki. Kami pulak elok saja masih lenggang lengkok kat bawah. Sempat lagi Firdaus bawa kami ke puncak lagi berhampiran Menara Telekom. Ada menara tinjau di situ. Angin sangat kuat dan suhu sejuk sampai menggigil masing-masing. Tapi sempat juga kami panjat menara tinjau walaupun separuh jalan sebab tak tahan sejuk dan berkabus.

Dah sedia untuk ke bawah, 4wd pulak buat hal, bateri kong. Apa lagi, kami ber'5 jadi tukang tolak. Mujur turun jalan turun bukit, 4wd akhirnya hidup dan selamat bergerak ke kawasan parking. Fuhh...

Apa lagi, tangga Mossy Forest dah memanggil-manggil tu, panaskan badan kejap bergamabr dulu dan kamipun mulakan pendakian. Layan sajalah gambar-gamabr sepanjang pendakian kami. Trek kali ni sangat berselut dan lembik. Ditambah pulak dengan suhu yang sejuk, saya kira agak mencabar bagi orang biasa dan amatur seperti saya. Nasib baik pakai windbreaker - walaupun nipis, ia sangat membantu untuk elekkan badan dari kesejukan dan angin.

US - muka happy lagi masa ni. Tak tahu lagi cabaran kat depan mata menunggu tu!
SEBELUM - masa ni kasut masing-masing cantik lagi.

Permulaan trek adalah bertangga. Laluan bertangga ini adalah untuk ke Mossy Forest. Habis saja laluan berkayu, itu barulah trek sebenar untuk ke Gunung Irau.

Tangga dan trek berkayu untuk ke Mossy Forest. Cer tengok kiri kanan pokok tu, lawa kan? Semuanya berlumut tebal. Sebab itulah hutan di sini dipanggil Mossy Forest.

Papan tanda 'Perak - Pahang' itu bukanlah menunjukkan sempadan antara 2 buah negeri. Tapi ia hanyalah menunjuk arah letaknya kedua-dua negeri. Dan ketika itu kami berada di ketinggian 2000m. 

Di penghujung laluan berkayu, barulah cabaran mendaki bermula! Kena hati-hati. Pijak akar dan kayu yang sesuai, jangan tersalah pijak takut terpijak lumpur jerlus. Seperti biasa, guide kami berjalan di hadapan, kami semua mengikut dari belakang. Kami berjalan dan mendaki secara santai. Agak-agak ada yang tertinggal di belakang, kami yang di depan berhenti menunggu. Cara kami, kita daki selagi terdaya, kalau dah tak mampu jangan dipaksa-paksa.

Trek permulaan dan mereka ketika di awal pendakian. Muka happy lagi masa ni sebab tenaga masih kuat. 

Itu dia trek depan mata. Agak mencabar sebab trek licin dan basah. Dengan pokok sekali basah dan lembap. Mencabar sebenarnya nak ambil gambar dalam keadaan macam ni. \
Seram - sebenarnya keadaan di sini agak seram. Sepanjang jalan saya lebih banyak mendiamkan diri.  Layan saja, bacaan Al-quran dari MP4. Menyampuk jika perlu saja. Kali ni, perasaan mendaki lain macam sikit, terasa macam diperhatikan pun ada jugak. Err... mungkin perasaan saya saja kot. 
Lagi trek yang perlu kami tempuh!

Tapi dalam 'seram-seram' pun beria-ia saya amik gambar. Sebab pemandangan di sini memang Subhanallah!! Tak lepas kata-kata tu dari mulut masing-masing bila tengok pemandangan cantik dan unik sepanjang perjalanan mendaki.

Sepanjang trek inilah pemandangan yang terhidang di kiri dan kanan kami. Lawa... Tapi jalan kat depanpun lawa juga, penuh lumpur! Silap langkah separuh kaki jerlus dalam lumpur. 
Saya kagum dengan mereka, walaupun kepenatan tapi bila ditala kamera mesti semuanya tersenyum. 
Take 5 - mereka bersama guide kami yang camera shy! Lama kami berehat di sini. Sempat minum dan makan coklat lagi. Haha. 

Ini adalah antara sebab utama kenapa kami lama berhenti rehat di sini. Kawasan sekitarnya penuh dengan lumut dan pokok-pokok periuk kera. Periuk kera di sini pulak bermacam rupa dan warna, ada yang kecik comey je dan ada juga yang besar dan sederhana.

Dah, jom kita teruskan pendakian. Jauh lagi perjalanan ni! Kali ni trek menurun pulak!
Tengok tu, lagi 1.55km nak sampai Gunung Irau - jauh lagi tu!
Akhirnya sampai di kawasan 'permatang' - laluan, kiri kanan dan bawahnya adalah gaung. Hati-hati di sini, kalau silap langkah tergelincir ke bawah. Angin di sinipun luar biasa kuat.
Nah inilah yang menanti kami di bawah! Kena turun bawah melalui akar-kar pokok yang licin dan tanah yang lembut dan berselut. Kasi can kawan-kawan turun dulu.
Pemandangan di tengah hutan - nyaman dan sejuk!
Dah turun, lepas tu kena panjat pulak! 
Muka happy je walaupun kepenatan! 
Ada lagi trek yang perlu di panjat! peww...
Gigih masing-masing mendaki. 
Lagi trek yang perlu kami daki!

Laluan terakhir sebelum sampai ke puncak. Kami baru terhegeh-hegeh nak panjat, mereka dah nak turun! Agak-agak pukul berapa eh diorang daki ni. Hebat ok!

Akhirnya selepas hampir 3 jam berhempas pulas daki bukit, turun bukit, masuk lumpur keluar selut akhirnya kami selamat sampai ke puncak mini Irau! Baru sampai mini Irau tapi gembira bukan kepalang! Hehehe. Kami berhenti rehat, makan dan solat di sini. Melihat keadaan kawan-kawan yang kepenatan, kami putuskan untuk teruskan pendakian hingga ke puncak Irau. Cukuplah sampai di sini saja. Lagipun hari dah main gelap dan sejuk, kalau kami paksa diri sampai ke puncak Irau, agaknya pukul berapa pulak kami nak turun kan?

Bukti dah sampai Irau walaupun hanya sampai di mini Irau saja. Tengok, kotor sampai ke kepala! Over kan? Haha. [ Pic : kredit to Izza ]

Kawasan di sekitar puncak mini Irau tak besar manapun. Ada kawasan dataran kecil tak berpokok. Tapi yang menyedihkan sekitar tepi tebing penuh dengan sampah! Orang kita.... bab kebersihan memang failed. Sayang tempat secantik ini tercemar dengan sampah. 

Sekitar mini Irau juga banyak pokok periuk kera. Ada juga bunga hutan yang cantik dan berbau wangi.


Lupa berapa lama kami habiskan masa di puncak mini Irau, mungkin hampir sejam. Bila semua dah sedia barulah kami bergerak turun.

Jalan turun untuk kembali ke 'pangkal jalan'. hehe

Kalau semasa naik, kami bergerak secara berkumpulan, tapi balik kami jalan secara berpasangan. Bila turun, Laila dan saya di hadapan. Manakala Fathi bersama Anne dan Izza dengan guide. Kalau semasa naik, kami berhati-hati kalau melangkah, tapi bila nak turun ni semua tu dah tolak tepi - err... saya la tu! Langkah laju-laju yang penting nak cepat sampai. Tapi kalau berjalanpun, seeloknya berdua, sekurang-kurangnya kalau ada masalah, masih ada kawan yang bersama kita.

Selepas 1 jam setengah trekking akhirnya kami berdua selamat sampai! Alhamdullillah. Lama kami menunggu kawan-kawan yang lain sambil berehat di pondok berhampiran laluan berkayu. Tapi tak tahan berlama di sini sebab angin kuat dan sejuk jadi kami ambil keputusan untuk turun di bawah dan tunggu saja mereka di bawah.

Bila nampak saja trek berkayu ni menjerit kami berdua sebab gembira dah selamat sampai!

Ingatkan turun bawah tak sejuk. Rupanya sama jugak! Lewat petang, angin semakin kuat dan suhu makin sejuk betul-betul buat kami menggigil. Sejam selepas tu barulah Anne dan Fathi muncul dan lebih sejam selepas itu pula akhirnya Izza dan Firdaus sampai ke bawah dengan jayanya! Alhamdulillah semuanya selamat sampai.

SELEPAS - dah tak nampak rupa kasut dah kasut masing-masing.

Irau, kalau diukur jarak ketinggian - dari laluan berkayu 6561 ft ke mini Irau 6666 ft tak jauh mana bezanya. Tapi trek untuk sampai ke situ sangat, sangat dan sangat menduga! Sejuk, berlumpur, licin dan berakar kadang-kadang boleh buat kita hampir-hampir putus asa. Dan ia memerlukan kekuatan tangan dan kaki sekaligus untuk berpaut pada dahan-dahan kayu - kaki dan belakang sakit sekaligus!!

Apapun ia memang satu pengalaman yang menarik. Dapat melihat keindahan alam dari sisi berbeza. Tapi kalau ada yang ajak saya untuk ke sini lagi, err... mungkin tidak kot. Cukuplah sekali saja.


p/s : Terima kasih pada Anne, Izza, Fathi dan Laila - korang semua memang BEST walaupun ada yang hampir-hampir give up di tengah hutan. Hehe. Dan tak lupa buat guide kami Firdaus walaupun dia tak baca blog ini. ^_^