Followers

Showing posts with label My beautiful Malaysia. Show all posts
Showing posts with label My beautiful Malaysia. Show all posts

Tuesday, January 28, 2014

This is Terengganu Darul Iman

Ikang celop tepung di warung Pok Nong, Wakaf Tengah - orang kata kalau datang ke Terengganu, antara acara wajib ialah kena singgah makan ikan celop tepung. Antara gerai ICT yang menjadi tumpuan penduduk tempatan ialah di sekitar pantai Teluk Ketapang atau pantai airport. Kali ini warung Pok Nong menjadi pilihan. Lokasinya di kampung Wakaf Tengah (berhampiran UMT) yang sentiasa full house!
Jagung parut - selain daripada ABC dan air nyior, satu lagi tarikan di warung ini ialah jagung parut. Sangat sedap! Pekena semangkuk confirm tak cukup. Kombinasi jagung dan aiskrim sangat sesuai. Tambahan pulak, jagung parut yang dibuat tidak terlalu manis dan tak juga terlalu tawar. 

p/s : proud to be a part Terengganu territories! ^_^


Friday, February 22, 2013

Sunset moment @ Bukit Besar, Kuala Terengganu

Atas permintaan seorang sahabat mintak gambar sunset ditayang nah inilah hasil 'tembakan' compact camera saya yang tak berapa nak canggih tu. Petang itu selepas berpeluh ketiak mendaki Bukit Besar kami singgah sekejap di pinggir bukit. Menikmati pemandangan bandar Kuala Terengganu (dari sini kami boleh nampak dengan jelas Jambatan Sultan Mahmud, Masjid Kristal, Sungai Terengganu hingga ke muara dan juga kawasan sekitarnya. 

Tentu ramai yang tak tahu di mana letaknya Bukit Besar yang tak berapa nak besar ni kan? Kalau mahu ke Kuala Terengganu dari Batu Enam melintasi Jambatan Sultan Mahmud saya yakin korang semua akan terpandang satu perkataan besar "ALLAH, PELIHARAKANLAH TERENGGANU" itulah Bukit Besar.

Tuesday, February 19, 2013

Ekspedisi Gunung Bujang Melaka part 2 (full story)

3 Feb 2013 / Ahad

Pagi yang sangat dingin. Dalam pukul 6.00 pagi lebih saya dah terjaga. Azan subuh dari bawah bukit sayup-sayup terdengar sampai ke puncak gunung. Malam tadi beberapa kali tidur terganggu kerana kesejukan melampau. Rasanya sweater dan stokin yang dipakai dan sleeping bag tak mampu mengurangkan kesejukan yang saya tanggung. Maklumlah lemak tak berapa banyak, itu yang sejuk sampai ke tulang. Siyes sejuk!!! Saya kejutkan su dan ain, ajak mereka ke air terjun. Kami gosok gigi, basuh muka dan berwuduk je. Nak mandi? Memang tak la... haha.

Layan gambar....

Berpagi-pagi di Kem Lebah. Saya terbaca info pasal Kem Lebah, katanya kalau boleh elakkan sidai kain/baju pada waktu malam sebab lebah banyak kat sini. Nanti habis pakaian kena hurung lebah. Bahaya kan? Tapi nasib baik masa kami berkhemah hari tu tak ada lebah.

Bersiap-siap untuk balik : lepas kemas beg, kena kemas khemah

Sudah clear

My small group.

Our big team!

Sesi memanaskan badan sebelum turun ke kaki gunung.

Bekal : in case lapar di tengah jalan. Sebelum turun kami breakfast dulu. Pekena nasi goreng dan telur dadar. Sedap, tapi pedas!

Selepas semua siap, lebih kurang jam 10.00am, kami bergerak turun. Kata guide, masa yang diambil untuk sampai ke bawah, paling cepat 2 jam, 3 jam untuk orang biasa-biasa dan lebih dari 3 jam tu kira slow la tu. Haha. Tapi papepun kami dinasihatkan jalan ikut kemampuan diri. Yang penting berhati-hati dan berjalan dalam kumpulan. Untuk amatur seperti saya dan kawan-kawan, kami ber'3 ambil masa 3 jam untuk sampai ke bawah. Itupun disebabkan terlalu penat berjalan, kami decide untuk skip singgah mandi manda kat air terjun. Kami terus jalan turun sampai ke kawasan perkelahan Air Terjun Berangkai dan tunggu yang lain-lain sampai. Kira kami jadi 'orang pertama' yang sampai di bawah. hiks

Kulat/cendawan yang ditemui di sepanjang perjalanan turun

Tak tahu daun apa, tapi sangat unik pada pandangan mata saya

Di bawah, sementara tunggu semuanya sampai, sekali lagi kami sambung mandi manda di Air Terjun Berangkai. Macam-macam aksi, siap terjun tiruk bagai. Air terjun lawa, tapi sayang kurang kemudahan disediakan. Sebelum ini saya pernah sampai di sini, 2008 kot, masa fieldwork untuk kajian SIA orang asli di Kampar. Selepas keluar dari perkampungan orang asli, kami singgah berkelah di sini. Punyalah seronok masing-masing mandi, alih-alih nak salin baju tak ada tandas. Camne tu? Haha. 

Air Terjun Berangkai : tali dalam gambar tu bukan sekadar hiasan tau, diorg mandi sambil buat aksi 'tarzan' terjun dalam air. Gila la berani! 


Dah puas mandi, kami bergerak balik. Singgah di masjid An-Nur tempat kami parking kereta dan bersihkan diri dan solat. Sempat lagi tertido kat masjid lepas solat. Haha. Hampir jam 4.00 petang, kami ber'3 mintak diri dulu untuk bertolak balik walaupun masih ada yang belum sampai sebab salah seorang kawan kami nak kejar bas untuk balik ke Melaka. Overall, memang best dan mencabar trip ni. 1'st time saya 'terjebak' dengan xtvt macam ni. Biasanya panjat bukit balik hari je, kali ni bermalam pulak.. kiranya pengalaman barulah kan? Thanks to DATS sebab mengajurkan trip yang best dan happening!

Wednesday, February 13, 2013

Ekspedisi Gunung Bujang Melaka part 1 (full story)

Cuti umum sempena Hari Wilayah 2013 baru-baru ni, saya ikut kawan-kawan pejabat xpdc ke Gunung Bujang Melaka, Perak. Ada 39 orang yang sertai xpdc ni. Tapi 10 orang je pun dari kementerian. Yang lain-lain campur-campur dari Kementerian/jabatan dan persendirian. Kiranya inilah kali pertama saya 'hiking' dan bermalam dalam hutan. Hoho! Entah mimpi apa saya ni 'terjebak' pulak dengan xtvt 'menyakitkan badan' ni. Itu yang sampai dapat gelaran hiking why? tu. Saje je kami ber'3 khususnya menyakitkan diri pegi panjat gunung ni. adeh...

Sedikit informasi tentang GBM ialah gunung yang terletak di Tapak, Perak ini mempunyai ketinggian 1233 meter (4,048 kaki). Ia mempunyai hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas dan hutan Montane. Ia terletak di Hutan Simpan Sahum Kampar di mana track pendakiannya bermula dari kawasan perkhelahan Air Terjun Baru Berangkai, Kampar.

1 Feb 2013 / Jumaat.

Bangun seawal pagi untuk hiking Bukit Puchong - last traininglah kononnya sebelum hiking GBM esoknya. Kali ni saya pilih pergi - jalan jauh, balik - jalan dekat, masa kami ambil untuk sampai ke bawah lebih kurang 50 minit! Kira ada ada kemajuan berbanding sebelum ini :)

Balik, kemas rumah/bilik, basuh baju dan rest. Malam lepas solat isyak bersiap dan tunggu kawan datang ambil. Kami terus ke RnR Serdang untuk ambil seorang kawan lagi dari Melaka dan terus ke Putrajaya. Selesai semua urusan kami terus gerak ke Perak. Mulanya ingat nak konvoi, tapi disebabkan kami terlambat, kereta kami follow dari jauh aje. Tapi, alih-alih kami yang sampai dulu. Camne tu? Hampir jam 1am kami sampai di tol Tapah. Selepas 30 minit barulah rakan-rakan yang lain sampai dan kami terus bergerak ke Kampar menuju ke Masjid An-Nur, Kampar, Perak. Sampai sana, dah ramai rakan-rakan yang dah lama sampai. Ditemani sleeping bag dan beg kami melelapkan mata di beranda masjid. Lena sampai ke pagi. 

2 Feb 2013 / Sabtu.

Saya terjaga bila terdengar tok bilal membuka gate masjid. Cepat-cepat saya bangun, segan wei tido kat luar masjid. Perempuan pulak tu. Bangun, mandi dan bersiap. Sempat joint solat dan dengar kuliah subuh (punyalah panjang kuliah subuh tok imam pagi tu). Pukul 8.00am semua berkumpul dan masing-masing breakfast dulu sebelum bertolak ke Air Terjun Berangkai. Hampir jam 9.30am jugak barulah semuanya sampai ke Air Terjun Berangkai dan kami mula trekking lebih kurang pukul 10.00am. Kata guide, pendakian kami  mengambil masa hampir 5-6 jam untuk sampai ke Kem Lebah aka site camp.

Kita layan gambar la pulak.

Tempat berkumpul : untuk masuk ke Air Terjun Berangkat dari Masjid An-Nur, mengambil masa hampir 20 minit (menaiki kereta), melalui perkampungan Cina, Melayu dan orang asli. Penduduk kat sini berbilang bangsa.

Selepas semuanya sampai, guide memberikan taklimat dari aspek keselamatan dan lain-lain. Kami exercise dulu dan doa dibaca s
ebelum memulakan perjalanan.
 Permulaan track : melalui kebun buah-buahan dan kemudian kebun getah. 

 Track yang dilalui : kadang-kadang agak menguji mental dan fizikal. Kami ber'3 tak habis-habis mengomel why? why?? why?? dengan tindakan kami menyertai xpdc ni. Haha. Orang bila dah penat macam tu gayanya kan?

Rakan-rakan tracking, mula-mula camnilah... dah makin jauh, makin selow. Yang laju boleh teruskan perjalanan, yang selow melow tu tunggu ajelah sweaper 'sapu' korang semua nanti.
Kem Balak : 1'st check point. Berhenti lelah seketika setelah hampir 3 jam berjalan tanpa henti. Ini aje group yang baru sampai. Lagi 20 orang masih tertinggal di belakang. 
Teruskan perjalanan : lepas melalui Kem Balak, track menuju ke Kem Lelah lagi mencabar. Semua panjat bukit je. Dengan akar-akar pokok yang berselirat, memang menguju mental kami yang amatur ni. 

 Kalau jalan aje, stress jugak mental kan? So, sambil jalan kita ketik camera menikmati keindahan alam. Sengaja saya bawak compact camera yang tahan gegar, kalis air, tahan lasak dan yang penting ringan untuk kurangkan beban saya. Beg galas saya walaupun hanya 32L, tapi dalam keadaan sebegini bebannya terasa seperti mengalas beg seberat 50kg? 

Air terjun seperti ni banyak ditemui sepanjang perjalanan kami. 

Akhirnya hampir 5 jam mendaki akhirnya kami sampai ke Kem Lebah! Hilang semua penat bila dah sampai! yeay!!

Kem Lebah : Inilah tapak perkhemahan kami untuk malam ini. Tempat tidur, tempat masak, tempat berkumpul, air terjun pun ada dekat aje dengan tapak perkhemahan.
Sepakat menyediakan masakan tengahari. Saya tukang tengok aje. huhu
Makanan tengahari : Nasi putih berlauk sayur campur, sardin dan telur dadar memang sangat sedap. Walaupun dalam hutan, makanan kami mewah. Malam tu kami makan nasi lemak dan sambal bilis. 

Lepas makan, bersihkan diri dan solat dan sementara itu sempat juga merehatkan diri. Hampir jam 5.00pm barulah semua peserta sampai. Ingatkan dah boleh rest sampai ke malam, tapi kata guide kita akan naik ke peak untuk layan sunset. Tadi katanya serik kan? Bila guide ajak naik ke puncak, laju aje kami ber'3 bersiap. Tak serik tu. Haha... alang-alang dah sampai kan? Rugilah kalau tak merasa sampai ke puncak. 

Laluan ke puncak : mulanya landai dan kemudian berbukit. Adeh!!! Hampir 2 jam mendaki akhirnya sampai jugak ke puncak. Alhamdulillah....

View from the peak : boleh nampak pemandangan seluruh Kampar. Tapi sayang tak dapat layan sunrise sebab cuaca mendung. Jangan malam ni hujan sudah. 
Been here!
Kami turun balik dalam pukul 7.00 lebih. Waktu tu hari dah hampir gelap. Kecut perut jugak berjalan dalam hutan waktu-waktu maghrib macam ni. Tapi tawakal aje. Berbekalkan lampu picit dan MP3 surah-surah al-quran kami teruskan perjalanan turun ke Kem Lebah. Dalam 1 jam lebih Alhamdulillah sampai jugak ke camp site.

Malam tu lepas mandi, solat dan makan malam, (mandi air terjun di waktu malam dengan air yang sejuk macam ais memang satu pengalaman baru buat saya. Best!), kononnya pihak pengajur nak adakan sesi beramah mesra. Memang tak lah jawabnya sebab lepas makan terus masing-masing masuk tidur. Haha.

* bersambung

Saturday, February 09, 2013

Ekspedisi Gunung Bujang Melaka

Ray of Light at camping site, Gunung Bujang Melaka - pic by NazriXPDC 'why?' yang membuat kaki saya sakit beberapa hari. Balik dari Perak, esoknya terus pergi couse. Aduhai... merasalah redah jammed pagi-pagi buta ke KL. Tapi course yang saya pergi tu sangat best tau! Cerita penuh? Saya balik KL nanti cerita eh.


Thursday, February 07, 2013

Antara 5 tempat JJCM di Terengganu

* Entry sempena 2013, Tahun Melawat Terengganu.

1. Restoran Mat Binjai (RMB)
Terletak di tengah bandar Kuala Terengganu iaitu di Jalan Sultan Sulaiman, RMB menyediakan masakan tradisi Terengganu untuk makan tengahari. Tak silap saya dulu,  asalnya restoran ni terletak di depan Hotel Sri  Malaysia, Terengganu (lintas jalan je). 

Apa yang istimewa tentang restoran ini ialah ia menyediakan masakan berhidang, ala-ala masakan minang gitu. Masuk kedai, tak payah order, order air aje. Nanti pelayan akan bawak hidangan lauk-pauk yang ada kat situ. Kita pilih saja apa yang kita berkenan untuk dimakan. Bayaran dikenakan untuk makanan yang dimakan sahaja. Haa... siapa sangka kan? Di Terengganupun ada masakan minang tau!

Di sini kita akan temui pelbagai makanan yang 'rare' dimasak seperti telur penyu. Agak-agak teringin nak rasa makan telur penyu bolehlah singgah sini. Kelas restoran ni, siap ada FB


2. Warong Pok Nong - Ikan Celop Tepung (ICT)
Antara warung ikan celop tepung yang menjadi kegemaran ramai. Lokasinya betul-betul di tepi pantai Mengabang Telipot (sebelah pantai Teluk Ketapang). 

Apa yang ada di sini? Sudah tentulah ikan celop tepung dan rakan-rakan seafood yang sewaktu dengannya. Di sini konsepnya layan diri. (saya rasa lebih kepada berebut - siapa cepat dia yang dapat). Kita pilih sendiri samada nak makan ikan, udang, sotong, atau keropok celop tepung dan harga berdasarkan kuantiti makanan yang kita ambil. 

Untuk menu air pulak, ada ais kacang, ais jagung, ABC, air kepala muda dan lain-lain. 



Ada sesiapa berminat nak terjah ke sini? ni alamatnya :

Warong Pok Nong
Jalan Pantai A1693,
Kampung Mengabang Telipot
09-6127655 / 013-3517262


3. Air buah gelas besar
source

Satu lagi tempat makan 'wajib singgah' kalau datang ke Terengganu ialah air buah gelas besar yang terletak di Kampung Seberang Takir. Orang ganu gelarkan air buoh pior. (pior = pure bermaksud asli).

Menu utama tentulah air buah. Harga setiap air berdasarkan saiz gelas samada gelas kecil, sederhana atau besar. Hargapun sangat murah!

Sebenarnya di Kg. Seberang Takir ini terdapat 2 buah kedai air buah gelas besar. Satu kedai tu, betul-betul di tepi jalan utama dan sebuah kedai lagi agak ke dalam (berhadapan pusat latihan KEMAS). Kalau ditanya pendapat saya, saya lebih suka air buah di kedai yang agak ke dalam tu sebab airnya lebih pekat dan pure! Tambahan pulak, kedai ini menyediakan meehun sup yang sangat sedap! Terbaiklah. Sebab kena dengan tekak saya. Selain meehun sup, lain-lain makanan seperti sate, nasi dagang/nasi minyak, keropok goreng, roti canai dan banyak lagi hidangan masakan panas.


4. Restoran Lempeng
Terletak di Marang (jalan utama Kuala Terengganu - Kuantan melalui jalan pesisir pantai) kita mesti akan lalu di restoran ini.

Apa yang istimewa di sini tentulah lempeng. Namapun restoran lempeng kan? Lempeng atau pancake, bukan yang biasa kita buat atau makan kat mcD tu. Bahan asas iaitu tepung dicampung dengan isi kelapa (separa muda), santan, berserta sedikit gula dan garam, cicah sambal bilis. Pergh!!! Meleleh air liur weh!

Mak saya kata, kalau nak lagi sedap masa bancuh air bahan-bahan tadi gantikan air biasa dengan air kelapa. Rasa dan aroma lempeng lagi sedap!

Selain lempeng, boleh cuba ketupat sotong, nasi dagang, nasi minyak dan kalau order air jangan lupa cuba air tuak tau!  


5. Nasi Dagang Mak Ngah, Chendering
source
Restoran ini terletak di Simpang Empat Chendering, Kuala Terengganu. Pernah tak korang baca isu RM4 Kepala Ikan Tongkol Lauk Nasi Dagang? Inilah kedai yang kontroversi tu. hehe.

Saya tak pasti sejauh mana kesedapan nasi dagang Mak Ngah ni sebab saya tak pernah cuba. (nasi dagang air tangan Pn. Fatimah adalah yang terbaik pada saya. hehe). Tapi bila ditanya pada kawan-kawan mana kedai nasi dangang best kat K.T,  majoriti menyatakan kedai ini yang best. So kena cubalah kan?







* Rasanya cukup sampai kat sini info-info pasal Terengganu. Kang bosan plak dok? :)



TAMBAHAN DARI KOMEN ANONY.. p/s : TQ for sharing the info

Breakfast:
Nasi Dagang - Kak Poh di medan selera Batu Buruk, KT. (ikan byk dan rasanya sedap, jgn lupa makan dngn keropok leko gerai sebelah.)
Mee Jawa, Mee Sup, Mee Soto yang terbaik pernah sy makan : Di gong Kapas berdekatan dengan kedai pakaian Saleem Aziz. hanya gerai biasa tapi sangat sedap terutamanya Meehoon Sup & Mee Jawa. 9.00 am - 11.00 a.m.

Nasi Minyak ayam rempah, laksa kuah putih, dll. - Kedai McBiah di medan selera Marang berdekatan Pasar Marang. Kedai dia barisan belakang berstentang dgn air muara/sungai/laut.
Warung/ Kedai Kopi - Kedai Kopi Sheikh di Pasir Panjang. Depan sekolah.

Nasi Ayam:
Nasi ayam lembah - setentang secret recipe dan hotel ming star - tghari sahaja
Nasi ayam yunnan - di medan selera batu buruk - thgari - malam
Nasi ayam nurul iman - jalan menghala ke Park Inn sebelum petronas. tghari - petang
Nasi Ayam A1 - di daerah marang.

Makanan Tghari: 
1. Erwina Nasi Padang - di dalam bandar kuala terengganu
2. Sofinaz Nasi Padang - berdekatan masjid putih
3. Nasi Kukus - Di tepi traffic light sebelum Kuala Terengganu Specialist
Banyak sgt..boleh la pilih di mana2 saja.

Makan Malam (masakan panas):
1. De'Tunggal - Jalan Semarak menghala ke Giant Gong Badak Paling sedap adalah Ketam/Udang Masak Kari Pong (Wajib Cuba!!!)
2. NR Cafe - Boleh Cuba Udang besar masak lada dan Tomyam kelapa muda. unik dan best rasanya. Ikan bakar pun sedap!!
3.Steamboat - Di medan selera pulau Duyung jalan nak masuk ke Riyaz Resort ataupun set steamboat di Permai Inn Hotel sgt lazat!!
4. Ikan Bakar Best - Di restoran B'Beteng , Taman Tamadun Islam Losong

Tuesday, February 05, 2013

Antara 5 pulau di Perairan Terengganu

* Entry sempena 2013, Tahun Melawat Terengganu.

1. Pulau Perhentian
source
Pulau ini terletak di luar pantai Besut mempunyai 2 pulau utama iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil. Saya kira pulau Perhentian adalah antara destinasi popular untuk pelancong tempatan atau asing terutamanya divers

Pada tahun 2003 pulau-pulau ini telah diwartakan sebagai Taman Laut Negara. Jadi kawasan yang kurang daripada 20 batu nortika dari pantai adalah merupakan kawasan larangan untuk apa-apa aktiviti perikanan termasuk mengambil atau memusnahkan batu karang di sekitarnya kecuali untuk aktiviti yang melibatkan penyelidikan. 

Pada saya, salah satu keistimewaan pulau ini adalah airnya. Hijau kebiruan! Sangat cantik! Saya pernah berkampung di pulau ini hampir 2 minggu. Ambil sampel air, ikan dan hidupan laut. Sempat jugak ambil lesen diving pun di sini. Menyelam di kawasan tiga segi antara pengalaman yang tak dapat saya lupakan. Masa tu, pulau Perhentian belum lagi diwartakan sebagai taman laut. Jadi tidak ada peraturan yang dikeluarkan. Masa tu kami berkampung di Pulau Perhentian Kecil. Di balik bukit, banyak didirikan resort/chalet persendirian. Selamba je tengok mat dan minah salleh bervogel atas batu. Sekali tengok dah macam rupa dugong pun ada. Sekarang ni tak tahulah macamana rupanya. Haa... kalau nak tahu, kenalah datang ke sini. Ye dok? 

Terdapat 2 laluan bagi sesiapa yang ingin datang ke sini iaitu laluan utama di jeti Kuala Besut - kira-kira 2 jam perjalanan menaiki bot atau dari jeti Pulau Kambing, Kuala Terengganu - kira-kira 3 jam perjalanan menaiki bot. 


2. Pulau Kapas
source
Pulau Kapas terletak kira-kira 6km atau 20 minit menaiki bot dari jeti Marang. Pulau ini antara pulau yang terhampir dengan daratan, dengan kemudahan bot yang disediakan di jeti Marang menyebabkan ia menjadi pulau yang selalu dikunjungi pelancong. Nak buat day trip pun boleh. 

Tapi yang menyedihkan ialah disebabkan pengunjung yang terlalu ramai dan tiada penguatkuasaan undang-undang yang khusus (tak ada taman laut di sini), banyak batu karang dan hidupan laut yang telah mati. Sayang... 

Kalau 10 tahun lepas saya ke sini, kalau snokelling tu boleh jumpa macam-macam hidupan laut, tapi rasanya sekarang kalau snorkelling tu apapun tak nampak. Airpun keruh, tak sejernih dulu. Tapi, kalau kita tracking, jalan ke belakang pulau yang mengadap laut lepas, dan cuba snorkelling di sini hidupan laut di sini sangat cantik! Tapi awas! Hati-hati bila snorkelling/diving di laut lepas sebab arus sangat kuat. Kami pernah tracking di sini. Siap angkut semua alat-alat untuk snorkelling. Memang berbaloi dapat snorkelling di sini. Paling tak boleh lupa, bila terpijak landak laut. Sakit yang amat! 

* Berhampiran Pulau Kapas ada Pulau Gemia - port menarik untuk candat sotong!


3. Pulau Redang
source
Terletak kira-kira 45km di luar pantai Kuala Terengganu, Pulau Redang merupakan pulau terbesar dari semua pulau-pulau yang terdapat di perairan Terengganu. Selain Pulau Redang, terdapat pulau-pulau lain di sekitarnya seperti Pulau Lima, Pulau Lang Tengah, Pulau Pinang etc. 

Memandangkan Pulau Redang diwartakan sebagai taman laut, kawasan sekitar taman laut memang selalu dipenuhi pengunjung terutamanya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah. Ia mempunyai pantai landai dan berpasir putih serta perairan yang membiru dipenuhi hidupan laut. 

Walaupun hanya snokelling di kawasan jeti, kita sudah dapat melihat pelbagai spesis batu karang dan ikan-ikan karang di sekitar itu. Di sini juga terdapat bangkai kapal yang karam, dan kalau sesiapa yang berpeluang diving di sini, pemandangan di dasar memang superb! Kawasan sekitar taman laut disediakan beberapa kemudahan seperti tandas, surau serta tapak untuk perkhemahan. 

Walaupun sudah beberapa kali datang ke sini, saya tak pernah rasa jemu untuk ke sini lagi. Paling saya tak boleh lupa masa berkhemah di sini bila malamnya khemah kami dilanda ribut. Habis terbang semua khemah. Tapi tetap boleh tidur lena walaupun basah. Memang kenanganlah!

* Waktu terbaik untuk ke Pulau Redang ialah bulan April - Oktober. Kebanyakan resort akan ditutup semasa musim tengkujuh iaitu dari bulan November-Mac.


4. Pulau Tenggol
source
Pulau syurga kepada divers! Pulau ini terletak di daerah Dungun kira-kira 50km dari bandar Kuala Terengganu. Pulau ini sangat popular di kalangan penyelam kerana kebanyak pelancong yang datang ke sini adalah untuk membuat selaman di dasar laut. 

Pulau ini menyediakan hampir 20 tempat menyelam yang cantik antaranya Teluk Air Tawar - melihat penyu dan Batu Tokong Laut - tempat  menarik melihat kumpulan ikan selar dan beberapa jenis batu karang. 

Untuk ke sini, kita perlu menyewa bot laju dengan kos RM600-650/hari di jeti Kuala Dungun. Rasanya pulau berbanding Pulau Kapas, Redang dan Perhentian, pulau ini masih terpelihara kerana pengunjung yang datang ke sini kebanyakannya terdiri daripada penyelam. Tapi jangan bimbang... beberapa chalet ada di sini yang menyediakan kemudahan dengan pakej pada harga tertentu. Eh, kalau rasa nak buat day trip pun boleh tau! 


5. Pulau Bidong
source
Pulau ini terletak 45km di luar pantai Terengganu. Dulu pulau ini merupakan tempat kem pelarian Vietnam. Macam-macam peristiwa berlaku ketika itu, kerana banyak nyawa yang terkorban untuk sampai ke pulau itu. Misteri ok pulau ni. 

Itu kisah dulu... Sekarang pulau ini telah dibangunkan dan merupakan salah satu warisan negeri dan telah diwartakan di bawah UMT untuk dijadikan pusat penyelidikan. 

Salah satu tarikan pulau ini ialah Galeri Dasar Laut yang telah dibina dengan kerjasama oleh Kerajaan Terengganu dan Yayasan Coral Malaysia. Replika tempat-tempat menarik/bersejarah di Malaysia dijadikan tukun tiruan untuk menarik hidupan laut hidup di sini. Saya kira ini salah satu usaha yang patut dipuji untuk mengekalkan keaslian pulau ini!

Sunday, February 03, 2013

Antara 5 tempat bersejarah di Terengganu

* Entry sempena 2013, Tahun Melawat Terengganu.


1. Kota Lama Duyung
source
Lokasinya di Pulau Duyung Kecil, lebih kurang 7km dari bandar Kuala Terengganu. Ia merupakan rumah yang dibina menggunakan binaan batu bata.

Kalau melawat tempat membuat bot di Pulau Duyung, bolehlah singgah di sini.

Info ketik sini dan sini.









2. Bukit Puteri
source
Kalau ke Pasar Besar Kedai Payang, jangan lupa singgah di Bukit Puteri. Di atasnya terdapat rumah api, loceng gergasi (genta), meriam, kubu, bilik bermesyuarat dan beberapa kubur lama. 

Dari atas puncak kita boleh lihat pemandangan persisiran Terengganu di sepanjang muara hingga ke lauk dan pemandangan sekitar bandar Kuala Terengganu.

Bayaran masuk : RM1.00





3. Muzium Losong
source
Ini adalah muzium yang terbesar di Asia Tenggara. Terletak di Kg. Losong iaitu kira-kira 2km dari pusat bandar. (kalau hendak ke Taman Tamadun Islam, TTI mesti akan lalu depan muzium ni - untuk jalan darat)

Ia terdiri dari 4 blok bangunan muzium utama (Galeri Islam, Galeri Tekstil, Galeri Diraja, Galeri Sejarah, Galeri Kraf, Galeri Petroleum dan Galeri Ilmu Kejadian), muzium maritim (Galeri Perikanan &Taman Laut dan Galeri Pelayaran & Perdagangan), 5 buah rumah tradisional.






4. Pura Tanjung Sabtu
source
Ia adalah sebuah kompleks yang menempatkan beberapa buah rumah dan istana tradisional Melayu Terengganu. Rumah dan istana yang didirikan hampie berusia 100 - 200 tahun. 

Ok, saya sendiri tak tau kewujudan tempat ini.  Walhal kalau ikut alamatnya tu, sebelah kampung saya je??? Macamana boleh tak tahu ni? Dengarnya ia adalah homestay. Kalau nak tau kenalah pergi sendiri ye.

Pura Tanjung Sabtu
5728, Kampung Tanjung Sabtu, Manir, 21200 Kuala Terengganu
Tel : 09-6153 655
h/p : 019-9833 365
(Tengku Ismail bin Tengku Su)



5. Bukit Keledang
source
Ia terletak di sekitar bandar Kuala Terengganu. Tepatnya terletak di pinggir Sungai Terengganu yang merupakan tapak awal sejarah kesultanan Terengganu. 

Dulu tempat ini menjadi pusat pentadbiran Sultan  Terengganu pertama iaitu Sultan Zainal Abidin I dan tempat ini juga dulunya merupakan pusat perdagangan. Tapi kini yang ada hanya tinggalan sejarah dan beberapa makam yang 'sepi'. Tak ramai orang Terengganu yang sedar akan kewujudan tempat ini. 

Kalau ada yang datang ke Terengganu, jangan lupa singgah ye. Bukit ini dekat sangat dengan Hotel Sri Malaysia, Kuala Terengganu. Lintas jalan aje dah sampai. Nak tahu lagi, baca sini