Followers

Wednesday, December 05, 2012

CATATAN HAJI (3) : Kursus-kursus Haji oleh Tabung Haji - Part 2

* Sambungan

Bukanlah dikatakan kaya itu sebagai banyak hrta, akan tetapi kekayaan sebenar itu adalah kekayaan jiwa (Riwayat Bukhari, 6446)

3. Kursus Haji Perdana 

Pada 1 & 2 Sept 2012, Kursus Haji Perdana telah diadakan di Masjid Putra bagi jemaah Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur. Seramai hampir 5000 orang bakal jemaah haji hadir. Pendaftaran bermula pukul 2.00 petang diikuti oleh sessi taklimat oleh pihak Tabung Haji. Kandungan kursus masih sama seperti kursus yang diadakan sebelum ini tetapi kali ini sesi praktikal bagi tawaf, saie, melontar jamrah) lebih ditekankan. Ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada semua bakal jemaah haji. 

Maktab 73

Seperti biasa saya datang ke kursus ini bersendirian. Maklumlah mahram saya nun jauh di selatan tanahair. Mulanya agak kekok sebenarnya bila melihat kebanyakan jemaah yang datang berkeluarga @ berpasangan, tapi saya abaikan saja rasa kekok tu. Selepas mendaftar, saya ditempatkan di Maktab 73. Maktab 73... ia simbolik kepada 'penginapan' kami pada kursus itu. Ada 3 maktab iaitu, 71, 72 dan 73. 

Ketika sampai di Maktab 73, saya disapa seseorang. Mungkin kesian tengok saya terpinga-pinga seorang diri, makcik Shamsiah mempelawa saya duduk bersamanya. Ramah makcik Shamsiah bercerita itu dan ini. Katanya, dia sekeluarga akan menunaikan haji pada tahun ini, tinggal anak sulungnya je yang tak ikut. Wah... untungnya anak-anak makcik Shamsiah, keluarga sponsor untuk buat haji. Bukan cemburu, tapi ubertuahnya mereka kan? Tapi bagi saya yang pendapatan tak seberapa ni, saya lebih rasa beruntung kerana, rukun ke-5 yang akan saya lakukan nanti adalah dari titik peluh saya sendiri. Kiranya ini antara 'hasil' yang saya tuai selepas 8 tahun bekerja. Chewah!

Maktab 73
Inilah Maktab 73, dataran luar masjid yang berbumbungkan atap dan berlantaikan marmar. Mujur saya bawa sleeping bed, kuranglah sikit sejuk pada malam hari.
Taklimat aturcara kursus oleh urussetia Tabung Haji

Praktikal

Sesi pendaftaran dan taklimat dah lepas, selepas solat Asar, bermula praktikal untuk tawaf dan sai'e. Sepanjang tempoh kursus, 3 kali sesi praktikal dijalankan iaitu, selepas asar (tawaf dan sai'e), selepas isyak (melontar jamrah) dan selepas subuh keesokan harinya (tawaf dan sai'e). Praktikal yang dibuat ini sangat membantu bakal jemaah haji untuk persedian ketika melakukan ibadat haji nanti. Semua jemaah dikehendaki berpakaian lengkap dengan ihram masing-masing iaitu lelaki dengan kain ihram dan perempuan memakai baju sembahyang dan menutup aurat.


Praktikal 1 : Tawaf dan Sai'e. 
Tawaf : 7 pusingan mengelilingi kaabah
Diikuti dengan Saie antara Bukit Safa dan Bukit Marwah
Selepas praktikal 1, makan malam disediakan dan bila selesai semuanya, semua jemaah bersiap untuk solat maghrib dan isyak. Selepas isyak sekali praktikal ke-2 untuk melontar jamrah diadakan. Kali ini giliran maktab 73 pula yang menjadi kumpulan pertama memulakan praktikal. Untung juga jadi kumpulan pertama, sebabnya ketika kumpulan lain masih belum selesai kami ambil peluang untuk membersihka diri dan mandi dan ketika itu bilik air masih kosong. Jadi tak perlu berebut-rebut untuk gunakan bilik air. Selesai semua, saya bersiap untuk tidur, pagi nanti kena bangun awal untuk qiammullai. 

Praktikal 2 : Selepas isyak, praktikal untuk melontar jamrah (dilakukan pada 10 Zulhijah (jamrah kubra sahaja) dan 11-13 Zulhijah bagi ketiga-tiga jamrah)
Di Mina : berjalan menuju ke jamrah untuk melontar jamrah
Comelnya replika jamrah. Tapi realitinya jamrah sebenar tersangat besar! 

Selepas subuh sekali lagi praktikal ke-3 untuk tawaf dan sai'e dibuat. Masa ni semua jemaah berjumlah hampir 5000 orang melakukan praktikal serentak. Penuh perkarangan masjid dipenuhi jemaah yang semuanya kebanyakannya berpakaian serba putih. Suasana dah macam nak kerjakan tawaf dan sai'e. 

Lepas selesai semuanya, makan pagi disediakan dan bersiap untuk sesi penutup. Kursus 2D1N berakhir kira-kira 11.00 am. 

Friday, November 30, 2012

CATATAN HAJI (2) : Kursus-kursus Haji oleh Tabung Haji - Part 1

Secara umumnya bagi sesiapa yang menerima surat panggilan untuk mengerjakan haji, terdapat beberapa kursus yang telah disediakan oleh TH iaitu
  1. Kursus Asas Haji - 19 siri
  2. Kursus Intensif - 2 hari
  3. Kursus Haji Perdana - 2 hari 1 malam
1. Kursus Asas Haji

Selepas dapat surat panggilan haji dari TH, barulah saya kelam kabut cari masjid-masjid yang mengadakan Kursus Asas Haji. Kebetulan di Putrajaya terdapat 2 tempat yang mengadakan kursus tersebut iaitu Masjid Putra dan Surau al-furqan, Presint 11. Saya memilih Masjid Putra sebab kelas diadakan pada waktu malam iaitu setiap hari Ahad, 8.00 - 10.00 malam. Rasanya waktu ini lebih fleksibel kerana waktu pengajian di Surau al-furqan ialah pada setiap hari Sabtu, 9.00 - 11.00 pagi. Jadi saya boleh simpan masa hujung minggu untuk perkara lain. Nak buat camne, 2 hari dalam seminggu tu amat bermakna buat saya, masa tulah nak balik kampung jumpa keluarga, nak basuh baju dan kemas rumah (hakikatnya bilik saya tak pernah kemas), dan masa tulah jugak nak berjalan-jalan... Ada hati lagi nak buat keja lagho tu! huhu.

Berdebar-debar

Mengikuti Kursus Asas Haji adalah inisiatif kita sendiri. Pihak TH hanya menyediakan kemudahan, tapi kalau kita berminat nak mengikuti mana-mana kursus ini, kita sendiri kena cari tempat/ masa yang sesuai dengan kita. Kursus yang saya ikuti di Masjid Putra bermula pada pertengahan Januari lagi dan saya pulak bulan 2 baru terhegeh-hegeh menelefon pihak masjid untuk masuk kelas. Kata ustaz yang menjawab panggilan, saya boleh datang pada hari Ahad berikutnya dan terus mengikuti kelas tersebut. Bayaran yang dikenakan pula ialah sebanyak RM70.00. Buku rujukan dari TH juga disediakan, tapi kena belilah... RM25.00 senaskah. 

Pertama kali masuk ke kelas haji, hati saya sedikit berdebar-debar. Rupa-rupanya pengajian sudah masuk ke minggu ke-3 dan bermakna saya tertinggal 2 kelas. Mujur 2 kelas sebelum ini hanya pengenalan, kalau tidak rugilah jawabnya. Bilangan peserta yang tak sampai 30 orang membolehkan kelas berjalan dengan suasana santai dan bersahaja. Saya suka! Dan bila berbual-bual dengan peserta yang lain, saya dapati ada yang sudah beberapa kali menghadiri kursus ini walaupun belum mendapat surat panggilan menunaikan haji. Malu dengan kekhilafan diri melihat kesungguhan mereka. Kalau dibandingkan dengan diri saya... iskhh... macam langit dengan bumi...

Terdapat 5 bab utama yang akan ditekankan sepanjang kursus dijalankan iaitu : 
  • Ibadat Haji
  • Pengurusan Haji
  • Masalah wanita
  • Kesihatan
  • Fardhu ain
Pada saya, kursus asas haji ni sangat penting kerana ia merupakan pendedahkan awal kepada kita tentang ibadah haji. Setiap bab akan dikelola oleh penceramah yang berbeza mengikut kepakaran masing-masing dan setiap topik yang dibincangkan akan dikupas dengan terperinci. Semuanya mesti difahami dan tidak boleh diambil ringan. Jadi tidak hairan kalau kita jumpa sesetengah peserta kursus yang sudah beberapa kali mengikuti kursus ini.

2. Kursus Intensif Haji.

Kursus Intensif Haji akan diadakan selepas Kursus Asas Haji tamat selama 2 hari berturut-turut. Bagi kursus ini, ia akan dikelola oleh Tabung Haji mengikut tarikh yang telah ditetapkan. Memandangkan saya bermastautin di Putrajaya, selepas menghantar surat terima jemputan di TH Kuala Terengganu, saya dinasihatkan menukar pusat pengurusan yang berhampiran dengan tempat bermastautin bagi memudahkan urusan saya. Oleh itu, semua urusan seperti Kursus Intensif Haji, pemeriksaan kesihatan, penyerahan passport akan diuruskan oleh TH yang berhampiran dengan saya.

Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk mengikuti 2 kursus yang sama di 2 lokasi berbeza iaitu di Sek. Men. Alam Shah, Putrajaya dan di Masjid Negara, KL. Peluang ini memang tidak saya lepaskan bila menerima 2 surat jemputan menghadiri kursus ini dari TH Putrajaya dan TH Kuala Lumpur. Rezeki mana boleh ditolakkan?

Topik yang dibincangkan hampir sama seperti dalam Kursus Asas Haji iaitu Ibadat Haji, Permasalahan Haji, Kesihatan dan Pengurusan Haji. Biasanya hari pertama menekankan isu Ibadat Haji iaitu tentang Rukun dan Wajib Haji dan ia akan diikuti dengan sesi praktikal. Walaupun praktikal, tapi kena buat betul-betul. Yang perempuan lengkap berpakaian ihram, yang lelaki pulak kena bawa kain ihram, kalau tak pandai diajarkan terus.

Perjalanan haji akan bermula sesampai sahaja kita di Makkah. Tidak kira kita memilih untuk lakukan haji mana, antara Tamattu' / Ifrad / Qiran, perkara Wajib dan Rukun Haji tetap sama.

Ini baru gambaran, yang cerita real saya akan ceritakan dalam entry pengalaman berwukuf di Arafah, Mabit di Muzdalifah, perjalanan ke Mina dan melontar jamrah seterusnya melakukan tawaf ifadah dan sai'e serta bertahallul nanti.Gambar-gambar di bawah adalah turutan Wajib dan Rukun Haji pada 8 Zulhijjah.
Simbolik : berkumpul sebelum perjalanan ke Arafah
Wuquf di Afarah
Mabit di Muzdalifah dan kemudian meneruskan perjalanan ke Mina
Melontar jamrah Kubra (pada 10 Zulhijah) dan diikuti dengan melontar 3 jamrah (Sughra, Wusta dan Kubra pada 11,12 dan 13 Zulhijah)
mengerjakan tawaf ifadah
sai'e dari Safa ke Marwah
berjalan menuju ke Marwah
Berakhir di Marwah selepas 7 pusingan
Diakhiri denga bergunting dan tahallul (tapi xdelah praktikal bergunting)

~ bersambung lagi untuk Kursus Haji Perdana

Thursday, November 29, 2012

CATATAN HAJI (1) : Persediaan Diri Sebelum Berangkat

Saya akui ilmu agama dan ilmu tentang haji baik tentang rukun dan wajib haji saya sangat cetek. Seingat saya kali terakhir saya belajar tentang ilmu haji semasa di tingkatan 4 dulu. Itupun sekadar belajar untuk melengkapkan silibus matapelajaran Agama Islam tingkatan 4. Dan terkini setahun lepas semasa ziarah umrah. Tapi semuanya secara ekspress! Mak tiba-tiba buat kejutan ajak kami sekeluarga mengerjakan umrah dan ajakan itu saya sahut dengan dengan ilmu yang kosong di dada.

Tapi kali ini, saya bersyukur kerana Allah memberi saya masa untuk melengkapkan diri dengan ilmu haji ini. Dia tahu, hambanya yang seorang ini selalu berangan-angan nak kerjakan haji, tapi niatnya selalu tak seiring dengan tindakannya. Mungkin sebab itu Dia telah memberi saya 'ingatan awal' dengan menjemput saya seawal tahun walaupun musim hajinya masih beberapa bulan lagi. Terima kasih Allah...

Banyak urusan yang perlu dilakukan selain daripada melengkapkan diri kita dengan ilmu sebelum haji. Alhamdulillah, semua urusan dipermudahkan oleh-Nya. 
  1. Surat panggilan haji - selepas menerima surat panggilan, kita akan diberi tempoh sehingga tarikh yang ditetapkan untuk memberi maklumbalas samada menerima atau menolak panggilan tersebut. Sekiranya kita menerima, kita diberi pilihan samada memilih Makkah @ Madinah dahulu sebagai destinasi yang hendak kita tujui. Pada saya, memilih untuk pergi ke Makkah @ Madinah  sangat PENTING kerana ia akan menentukan penerbangan mana yang akan kita naiki dan jenis haji apa yang akan kita lakukan. Jika kita memilih ke Madinah dulu, kita mungkin akan mendapat penerbangan awal dan akan mengerjakan Haji Tamattu'. Manakala jika kita memilih untuk terus ke Makkah, kita mungkin akan mendapat penerbangan akhir dan mengerjakan Haji Tamattu'/Ifrad. Oleh itu, bagi bakal jemaah haji, secara tidak langsung kita boleh merangcang tempoh untuk kita berada di sana nanti. Manakala, kalau kita menolak @ tak berniat untuk menunaikan haji pada tahun tersebut, jangan pulak diabaikan surat tu... Kena jawab dan hantar pada TH dan bagitahu bila tahun yang dipilih. Sebab kalau abaikan surat ini, kesannya ialah nama kita terus ditendang ke senarai memohon sama macam orang baru apply nak pergi haji? Sanggup ke nak tunggu lagi???
  2. Kos penerbangan -  Selepas menjawab surat tawaran haji, pihak TH akan memberi tempoh (hampir 2 bulan) untuk kita memenuhkan akaun TH sekiranya akaun TH kita masih belum mencukupi untuk menampung kos tambang dan lain-lain kos yang berkaitan. Bagi jemaah haji yang pertama kali menerima jemputan, insentif sebanyak RM4,900 akan diberikan yang saya kira 'hadiah' untuk setiap tetamu Allah yang menjadi rakyat Malaysia! ^_^
  3. Mengikuti kursus-kursus haji yang disediakan oleh TH - terdapat 3 jenis kursus yang perlu diikuti bermula dari Kursus Asas Haji (19 siri, hampir 6 bulan), diikuti Kursus Intensif Haji (2 hari) dan terakhir ialah Kursus Perdana Haji (2 hari 1 malam).
  4. Menjalani pemeriksaan kesihatan
  5. Menyerahkan passport antarabangsa 
  6. Menerima 'gelang' pengenalan diri semasa di tanah haram.
  7. Menerima beg dan barang keperluan haji dari TH
  8. Menyediakan barang-barang keperluan semasa di sana.
  9. Menerima surat tarikh penerbangan haji dari TH
Saya masih ingat kata-kata ustaz semasa kursus haji, kita ke sana bukan saja sediakan pesiapan untuk diri kita semasa di sana, tapi kita kena fikirkan jugak keperluan tanggungan kita bila kita tinggalkan mereka dan yang penting hati kita mesti sentiasa bersih dan redha untuk ke sana.

Petikan daripada buku Manasik Haji dan Umrah Mengikut Ahlus Sunnah Wal Jama'ah oleh Ustaz Tengku Mohd Fouzy Jumat tentang persediaan diri sebelum ke tanah suci adalah seperti : 
  1. Melakukan solat taubat nasuha iaitu dengan bertaubat dengan memenuhi 3 syarat iaitu menyesal atas perbuatan-perbuatannya, segera meninggalkan perbuatan dosa itu dan berazam tidak akan kembali lagi pada dosa tersebut.
  2. Perlu menunaikan amanah dengan mengembalikan hutang yang sudah sampai waktunya. Jika belum dapat berbuat demikian, perlu wakilkan kepada seseorang untuk menjelaskan hutang dan memohon dihalalkan hutang sekiranya ada sepanjang tempoh berurusan.
  3. Nafkah yang ditinggalkan perlu mencukupi untuk keluarga dan tanggungannya.
  4. Memohon keredhaan ibu bapa sekiranya mereka masih hidup dan minta dihalalkan air susu ibu dan redha dari suami.
  5. Memastikan bekalan untuk ke tanah suci adalah daripada sumber yang halal.
  6. Mempelajari ilmu ibadat haji supaya ibadat haji tidak rosak dan cacat.
  7. Berdoa semoga Allah memberi teman perjalanan yang soleh dan dapat membantu ketika susah serta menasihati sekiranya berbuat salah.
  8. Amalkan sikap bermurah hati dengan memperbanyakan sedekah dan membantu orang susah yang ditemui dalam perjalanan ke tanah suci Makkah.
  9. Mempunyai bekalan taqwa dan niat yang ikhlas.
Antara kesemua panduan persediaan yang disarankan, panduan yang terakhir paling merisaukan saya sebab taqwa dan ikhlas itu tidak dapat diukur dan ia adalah rahsia Allah. Saya hanya mampu berdoa semoga termasuk di dalam golongan tersebut... Amin...

Tidak ada kesusahan yang menimpa melainkan dengan izin Allah. Sesiapa yang beriman 
kepada Allah, akan dipimpin hatinya bagi menerima apa yang berlaku dengan tenang 
dan sabar - surah at-Taghabun ayat 11.

~ bersambung : kursus-kursus yang disediakan oleh TH

Wednesday, November 28, 2012

Selamat kembali ke Tanahair

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, saya selamat sampai di bumi bertuah, Terengganu pada Jumaat lepas, 23 November 2012 menaiki penerbangan MAS dari Jeddah terus ke Terengganu. Satu perjalanan yang panjang dan memenatkan, 8 jam menaiki bas dari Madinah - Jeddah, bermalam satu malam di Madinatul Hujjah, Jeddah dan kemudian menaiki bas ke selama 45 minit ke airport dan seterusnya menempuh penerbangan dari Jeddah ke KT selama 8 jam bukan satu perjalanan yang pendek. Walaupun begitu ia satu perjalanan yang meninggalkan 1001 kenangan dalam hidup saya dan jika diberi peluang oleh-Nya saya mahu lagi mengulanginya!

Pengalaman di bumi suci, Makkah, operasi Mas'syeir (wukuf di Arafah, Mabit di Muzdalifah, bermalam di Mina), melakukan kerja-kerja haji dan umrah bukan perkara mudah, saya kira memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang kuat. Alhamdullillah saya berjaya tempuhi seadanya walaupun hanya sendirian di sana (tanpa keluarga dan sahabat) tetapi Allah telah meminjamkan insan-insan yang istimewa menjadi teman saya ketika di sana. InsyaAllah, akan saya kongsikan semua pengalaman itu nanti.

Cerita dan pengalaman yang akan saya kongsikan mungkin tidak sama dengan pengalaman yang dialami oleh  jemaah haji yang lain. Bak kata pepatah 'lain padang, lain belalangnya'. Jika diberi izin oleh-Nya akan saya ceritakan satu persatu perjalanan 'kerja haji' ini bermula dari menerima surat panggilan haji oleh TH, menghadiri kursus-kursus haji, persiapan sebelum haji dan seterusnya pengalaman mengerjakan haji/ umrah di Makkah dan akhirnya melawat ke bumi bertuah, Madinah al-Mukarramah tempat bersemadinya jasad kekasih Allah Muhammad SAW. Catatan perjalanan Haji yang akan saya kongsikan ini sekadar untuk berkongsi pengalaman, perasaan dan rasa saya tentang tempat suci ini. Tidak ada sedikitpun niat di hati saya untuk menunjuk-nunjuk atau riak. Jika baik jadikanlah ia sebagai panduan/pedoman, dan jika tidak ia adalah dari kekhilafan saya sendiri. 


"Sesiapa yang hendak mengerjakan haji, dia perlu menyegerakannya 
kerana dia mungkin akan ditimpa sakit, kehilangan harta benda ataupun
dirintangi sesuatu keperluan yang lainnya" - riwayat Ibnu Majah

Tuesday, October 09, 2012

Lambaian Kaabah

Inilah surat yang ditunggu-tunggu, akhirnya sampai juga... Takde surat ni, tak boleh apply cuti tau!

Alamdulillah... Masa saya dipanggil sebagai tetamu Allah telah tiba. Melengkapkan rukun islam ke-5. InsyaAllah jika diizinkan saya akan berangkat menunaikan haji pada 9 Oct 2012 (Selasa) dan akan berada di bumi suci itu selama 45 hari. Saya memilih penerbangan terus ke Makkah dan akan berada di sana dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Madinah. Jadi dapat flight last-last, KT80.

Oleh itu pada semua sahabat/kawan-kawan/sesiapa sahaja yang membaca blog ini samada yang saya kenal atau x kenal, saya mohon maaf atas semua kesalahan saya jika ada tersalah dan silap selama ini. Mohon dihalalkan semuanya. Doakan semua urusan ibadat saya berjalan lancar dan mendapat keredhaan dari-Nya...

PM : Ya Allah... Kau tunjukkanlah jalanku dengan iman dan peliharalah keimanan itu semasa hidupku, semasa matiku dan selepas matiku...