Followers

Friday, January 03, 2014

Land of Smiles Trip (1) : A Journey to Bangkok City

* Bertabahlah ye, entry ni memang banyak ayat dari gambar!

Sebelum ni saya ada pasang niat kekononnya nak overland dari Tanah Malaya ke Siam lepas tu masuk Myanmar atau Vietnam dan patah balik naik flight. Tapi lepas dicongak-congak cuti yang akan digunakan sangat panjang, maka hasrat tu terkubur begitu saja. Maklumlah, kerja makan gaji... mana nak mampu cuti panjang-panjang kan? 

Sehinggalah saya dapat email dari Zilla ajak turut serta trip ini. Kebetulan dalam email tu, geng Jomblang ada sama. Apa lagi, lepas berbalas-balas email, kata hati saya "ON! redah saja! Yang lain kita fikir kemudian". Maklumlah, kata Zilla ada beberapa kawan-kawannya yang akan turut sama which is saya tak kenal langsung dan saya hanya kenal geng Jomblang saja. Tak apa, kita berkenalan bila sampai masa nanti. Dan saya heret sekali salah seorang kawan lama saya untuk ikut serta trip ini.

Pendapat saya, kadang-kadang seronok juga bila berjalan dengan kawan-kawan baru, yang penting kena ada persefahaman. Lagi ramai lagi bagus! Ada sesetengah orang hanya akan berjalan dengan orang/kumpulan tertentu sahaja dan mungkin juga selesa jalan berseorangan. Tapi rasanya itu bukan saya kot. Dahlah muka saya ni spesis 'ketat' jadi saya perlukan 'kawan-kawan' untuk bercakap dan ketawa sepanjang perjalanan nanti. Lagi seronok bila ada teman untuk bertukar pendapat dan berkongsi susah dan senang kan? Apa yang lebih penting diri kita sendiri & pandai sesuaikan diri ikut keadaan dan sentiasa terbuka untuk terima pendapat orang lain. Kalau jenis ikut kepala sendiri susahlah nak travel secara berjemaah ni. Huh! panjang pulak mukadimah..

Jumlah ahli jemaah 8 orang - gabungan antara Malaysia, Indonesia. Tapi beberapa minggu sebelum trip, Zilla maklumkan dia tak dapat cuti panjang dan terpaksa memendekkan tempoh trip. Jadinya selepas 4 hari, kami berpecah > seorang ke Cambodia, 3 balik Malaya, dan kami berempat teruskan perjalanan hingga ke satu tempat bersebelahan sempadan Myanmar sebelum berpatah balik ke Bangkok.

Tak banyak persiapan yang saya mampu buat. Selepas dapat rough itinerary dari Zilla, saya cuba sambung itinerary untuk hari seterusnya dan lepas itu Anne pulak mencantikkan iti dengan bantuan kawan-kawan yang lain. Saya memang tak mampu nak menyumbang banyak idea sebab masa tu tengah serabut untuk ambil exam dan kerja yang agak banyak. Tapi syukur sebab ada kawan-kawan yang membantu kan?

Hari kejadian : Rabu, masih bekerja seperti biasa. Tengahari balik rumah untuk ambil kawan saya dan hantar di Putrajaya Sentral untuk ke KLIA sebab flight dia dan Anne pukul 6.++ pm. Lepas tu balik ke opis semula. Petang balik baru bersiap itu ini walaupun malam sebelumnya dah kemas beg. Bersiap ke Putrajaya Sentral untuk KLIA. Dah web check in awal-awal, jadi sampai di KLIA just drop luggage saja. Elok sampai nak tunggu ERL, ternampak kelibat yang dikenali. Rupanya Zillapun tunggu ERL yang sama. Kami berpisah di tengah jalan. Tujuan sama, cuma 'belon' saja berbeza. hehe.

Flight saya 9.20pm, tapi delay hampir 1 jam. Masuk dalam flight, on MP3 terus saya lelap mata. Penat! Terjaga bila stewardess tanya nak makan atau tak. Makan ala kadar je, untuk alas perut dan sambung tidur balik. 2 jam setengahpun sempat tidur kan? Sampai di Suvarnabhumi dah hampir jam 12.00 tengah malam. Urusan imigresen dan ambil luggage lancar dan saya terus mencari teman-teman yang sedia menunggu di luar. Kejap saja dah jumpa diaorang dan kami terus cari jalan untuk ke Hua Lomphong Railway Station. Sempat beli simkad Thai dengan harga THB150. 

Apa lagi pengangkutan yang kami ada bila jam sudah melewati pukul 12.00 am selain taxi kan? Perkhidmatan BTS tamat jam 11.30 pm. Lainlah kalau di Dong Mueng Airport ada bus beroperasi 24 jam dari airport ke Hua Lamphong. Kami ke aras bawah mencari kaunter taxi. Tambang taxi ke Hua Lomphong THB500 + tol + airport charge THB50, total THB625/ taxi. Nasib baik kongsi 3 orang. Jauh benor beza tambang bas dengan kawan-kawan dari Dong Mueng yang hanya dikenakan tambang sebanyak THB8! Untung la....

Perjalanan dar airport ke Hua Lomphong mengambil masa hampir 1 jam. Jalan clear, maklumlah dah lewat tengah malam. Sampai di st Hua Lomphong, pemandu taxi turunkan kami di tepi bangunan stesen. Lengang ketika itu, tapi di hadapan stesen ada sekumpulan polis sedang berkawal. Kami menjenguk ke dalam stesen, tapi semua pintu berkunci. Dah tak tahu nak pergi ke mana, kami melepak di depan polis-polis yang sedang bertugas tu. 

Kami ditegur oleh plis yang bertugas. Di sini walaupun bahasa menjadi masalah utama untuk berkomunikasi, tapi mereka ni memang peramah. Sebolehnya nak juga mereka tanya kami dari mana, tapi bila dijawab mereka tak faham pulak. Haha. Mujur ada seorang polis yang faham berbahasa Inggeris. Itupun sikit-sikit je. Kalau kami tanya lebih-lebih, contohnya apa tujuan mereka berkawal di sini? Bagaimana situasi Bangkok sekarang? Adakah demo sudah berakhir? - kebanyakannya tidak mampu dijawab olehnya. Tak apalah, janji kami selamat duduk sini sementara tunggu stesen buka. Kan?

Polis yang sedang berkawal di luar stesen Hua Lamphong

Mulanya kami ingatkan mereka akan berkawal di sini sampai cerah. Haha. Rupanya kejap saja. Kami disuruh masuk ke dalam stesen sebab tempat yang kami duduk tu agak sunyi. (walaupun sebenarnya ia adalah bahagian hadapan stesen keretapi). Buntu jugak dok fikir macamana nak masuk, tapi tiba-tiba muncul seorang makcik menunjuk arah ke bahagian sebelah stesen. Suka je masing-masing. Berjalan ke bahagian sebelah stesen, terkejut kejap sebab tengok penuh orang tidur di situ. Bergelimbangan! Tapi tengok masing-masing tidur memang lena siap berselimut! 

Kami cari tempat kosong untuk duduk dan meletak beg. Sambil-sambil itu mata saya leka memerhati mereka yang sedang tidur. Lenanya. Dalam kepala terfikir, orang kaya (yang hati tak senang) belum tentu boleh tidur selena mereka walaupun bertilamkan tilam sedepa. Dan dalam masa yang sama terfikir lagi, ramai lagi orang yang susah dari kita, tapi mampu tidur lena walaupun hidup mereka biasa-biasa sahaja. Tapi saya tahu mereka ini bukannya gelendangan yang tak mempunyai tempat tinggal. Rasanya mereka ini juga punya tujuan macam kami - berhenti rehat seketika sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya. 

Boleh dikatakan semua tempat penuh dengan orang yang tidur di kaki lima stesen

Macam-macam peristiwa terjadi sepanjang kami 'berehat' di sini. Mula-mula makcik di hadapan kami bercakap tanpa henti! Siap dengan tangan sekali. Kalau ada orang yang tumpang duduk di sebelah, semua kena halau. Puas bercakap dia berjalan keliling kawasan dan lepas tu barulah dia duduk, tarik selimut dan tidur. Fuh! Aman sekejap. Dalam mata masing-masing mamai, tiba-tiba ada pulak tikus datang menyerang beg kami. Tikus sebesar anak kucing memang sangat agresif dan berani. Siap lalu depan kami tanpa takut! Tengah kami berura-ura hendak berpindah ke tempat lain, elok saja kawan-kawan yang lain selamat sampai dari Dong Mueng Airport. 

Sekarang ahli rombongan dah cukup! Kami pindah tempat, duduk di tangga. Penat dan mengantuk. Ingatkan dah aman, tapi elok pula seorang pakcik menegur kami. Mulanya kami jawab sapaannya dengan baik, tapi bila dia bercakap tanpa henti, masing-masing baru sedar mungkin pakcik tu ada masalah. Terus kami buat-buat tidur dan biarkan pakcik tu bercakap sorang-sorang. Haha. 

Pukul 4.00am, kedengaran pengawal stesen meniup wisel dan mengejutkan semua orang-orang yang sedang tidur. Orang berpusu-pusu bangun dan masuk ke dalam stesen. Itu menandakan stesen sudah dibuka dan beroperasi seperti biasa.

Stesen Hua Lamphong dan landasan keretapi yang besar

Kami masuk ke dalam mencari kaunter tiket untuk ke destinasi seterusnya - Lop Buri dan keretapi akan bertolak pada pukul 4.20 am.

Apa yang kami cari di Lop Buri, kena tunggu next entry ye ^_^

Thursday, January 02, 2014

Artsphere 20/80ty : Art Mural in Seri Kembangan

Selamat tahun baru semua!

Semalam, pada hari pertama tahun baru, lepas jumpa kawan-kawan di Tasik Perdana (kami buat potluck makan-makan sambil bercerita itu dan ini dan bergelak tawa). Lepas itu, kami langsung ke sini. Hanya di Seri Kembangan! Tak sangka dekat area rumah saya ada art mural! 

Lokasinya di Atmosphere - bangunan baru betul-betul di belakang giant Seri Kembangan.

Di sini terdapat lebih kurang 80 mural yang cantik-cantik belaka. Barulah katakan.

Disebabkan tempat ini masih baru, kedaipun banyak yang belum buka lagi, jadinya tak ramai orang yang berkunjung ke sini. Penganjur siap sediakan pamplate peta di mana terletaknya 80 mural-mural ini. Ada yang 3D dan ada juga yang 2D. Jadi kena jalan-jalan keliling bangunan dan naik ke tingkat 2 untuk tengok semua mural yang ada di sini.

Disebabkan kami datang agak lewat, masapun suntuk jadi tak banyak mural yang sempat kami tengok. Tak apa, nanti kita pergi lagi. Hari-hari lalu kan? hiks

Apapun layan ajelah gambar yang tak seberapa.

Promosi 
Salah satu mural di sini
Yang kedua
 model-model saya. Masing-masing excited mengalahkan kanak-kanak. :D

 Lagi mural yang ada di sini

Ada pertandingan uols. Boleh cuba. Mana tau dapatkan? 

p/s : lepas ni tak payah bersusah-susah nak ke Penang untuk ambil gambar mural, kat SK pun ada. ^_^

Wednesday, January 01, 2014

Hi hi 2014, bye bye 2013

Pic credit to Cik Dara

2013 baru saja berlabuh, 2014 pula yang muncul. 2013 yang penuh dengan kenangan. Banyak yang manis. Cubaan untuk keluar dari 'zon selesa' dengan mencabar keupayaan diri sendiri boleh katakan hampir 95% berjaya. Moga ada jalan yang 'lapang' menanti di tahun 2014 nanti. Apapun kita berusaha, selebihnya biarlah diletakkan semua urusan pada Dia yang menentukannya. 

2013, berpeluang juga ke beberapa tempat. Alhamdulillah, masih ada rezeki untuk kenal tempat orang. Yang pasti balik kampung halaman macam dah jadi acara wajib tiap-tiap bulan. Haha. 2014? Mungkin tak mampu untuk ke mana-mana. Meleleh liur tengok AA, MAS, Malindo etc bergilir-gilir buat promosi jualan tiket. Silap haribulan kalau iman tak kuat mahunya terbeli. Itupun 'terbeli' juga satu tiket. Tapi untuk ke sana masih 50 - 50. Ada rezeki sampailah. Kalau tak kira rezeki Pak Tony la tu. 

Apapun moga tahun 2014 akan menjanjikan 'sesuatu' yang lebih baik untuk kita semua. Moga hasrat hati untuk 'jihad' menuntut ilmu dimudahkan oleh-Nya. Moga diberi kesihatan dan diberi lebihan rezeki untuk terus berkelana di bumi yang indah ini. Apapun saya doakan semoga semuanya dipermudahkan...

note : Gambar di Sunflower Farm @ Lop Buri, Thailand. Last trip untuk 2013. Trip penutup dengan kawan-kawan lama dan baru. 


Saturday, December 28, 2013

From The Land of Smiles

Alhamdulillah, selamat sampai di Tanah Malaya. Trip penutup 2013, mungkin juga trip terakhir. Berjalan dengan kawan-kawan lama dan baru, yang pasti bukan bersama GBS. Di saat bumi Siam bergolak kami jejak kaki ke sini. Mujur semuanya selamat. Dengan masa terhad sempat juga singgah di beberapa tempat sekitar Thailand - Lop Buri, Kanchana Buri, Sangkhla Buri dan Bangkok. Semua tempat-tempat ini istimewa dan menarik mengikut indentiti masing-masing.

Sunflower farm @ Lop Buri - salah satu tarikan yang ada di Lopburi. Perjalanan menaiki keretapi mengambil masa lebih kurang 3 jam. Walaupun jauh, tapi berbaloi-baloi. 
Masa terbaik untuk menikmati pemandangan dari ladang bunga matahari ialah antara Dec-Jan. Jadi kalau sesiapa yang datang ke Thailand pada bulan-bulan ini, jangan lupa singgah ke Lop Buri
Erawan Waterfall @ Erawan National Park, kanchana Buri - ada 7 tingkat air terjun di sini. semuanya lawa. 
Death Railway train - sempat menaiki keretapi dan menikmati pemandangan yang lawa sepanjang perjalanan. Walaupun hanya 30 minit perjalanan, tapi sangat best! Yang pasti ada peristiwa sedih disebalik pembinaan landasan keretapi ini..
River Kwai Bridge - landasan keretapi ini juga melalui sungai ini. 
Hellfire Pass - menjejak kesan peninggalan tentera Jepun terhadap mangsa perang (termasuk tahanan tentera Australia dan British serta buruh binaan) yang dikerah membina landasan keretapi dari Burma, Thailand dan melintasi Tanah Melayu hingga ke Singapura. 
Mon Bridge @ Sangkhla Buri - walaupun jambatan untuk ke perkampungan Mon runtuh, tapi jambatan buluh dibina untuk ke seberang sana. Suhu di sini jatuh sehingga 13 darjah. Sejuk sampai ke tulang!
Elephant ride - pertama kali mencuba, memang berbaloi-baloi! Kami ambil pakej dengan P Guesthouse, naik bot, naik gajah dan berakit buluh termasuk penginapan. Highly recommended!
Bamboo raft - ini rakit buluh yang kami naik. Berakit sejauh hampir 2 km, memang satu pengalaman yang menarik
Maeklong Railway Market @ Sumut - jauh sungguh perjalanan dari Bangkok untuk sampai ke sini. Tapi sangat berbaloi bila dapat tengok sendiri dengan mata kasar bagaimana suasana pasar di sini beroperasi di saat keretapi melalui landasan.
Sekitar pasar di Maeklong - beberapa minit sebelum keretapi melalui landasan ini.
Chao Praya ferry @ Bangkok - Selain bus, tut-tut, MRT dan keretapi, feri juga adalah antara pengangkutan utama di bandaraya Bangkok
Kota Bangkok - kota yang sibuk! Traffic jammed di sana sini, tapi teratur dan tersusun.

Beberapa hari di sini memang satu pengalaman yang menarik. Jatuh hati dengan keramahan dan kebaikan penduduknya. Walaupun bahasa adalah masalah utama untuk berkomunikasi tapi penduduk di sini sangat murah dengan senyuman. Sekitar bandarnya sangat bersih! Kalau dibandingkan dengan Malaya, memang kalah! Apapun jika diberi peluang, dipanjangkan umur, InsyaAllah akan ke sini lagi.

Saturday, December 07, 2013

Pray for Pantai Timur


Hari ini banjir di sekitar Pantai Timur - Pahang, Terengganu, Kelantan terutamanya di sekitar Kuantan, Pahang menunjukkan tiada tanda air bah mahu surut. Tapi pihak keselamatan memberi amaran kepada semua penduduk supaya berjaga-jaga kerana paras air sungai akan meningkat bila-bila masa saja lagi. Namun begitu, syukur Alhamdulillah... beberapa kawasan di sekitar Terengganu terutamanya Dungun dan Kemaman kelihatan airnya sudah semakin surut walaupun tidak sepenuhnya. 

Berita terkini tentang keadaan banjir dan keadaan kawan-kawan saya yang ditimpa bencana ini sentiasa di update di muka buku. Sedih melihat mereka yang diuji. Tak kurang juga ramai sahabat-sahabat yang menghulurkan bantuan. Sungguh, bangga saya punya sahabat dan kawan berhati mulia seperti mereka -menghulurkan bantuan semampu mungkin.

Apapun semoga semuanya kembali pulih seperti sediakala dan semoga mereka yang diuji sentiasa tabah dengan ujian-Nya - dari-Nya ia datang, dan kepada-Nya juga ia kembali.

Kepada kawan-kawan dan sesiapa yang ingin hulurkan bantuan di sini saya kongsikan beberapa NGO yang giat menghulurkan bantuan untuk membantu mangsa-mangsa banjir bolehlah menyalur menerusi mereka. 


atau boleh juga salurkan kepada badan-badan sukarela berhampiran tempat masing-masing.

Kalau tak mampu hulurkan bantuan dari segi kewangan atau material, cukuplah mendoakan untuk mereka - doa itukan senjata umat Islam..