1. Pulau Perhentian
![]() |
| source |
Pulau ini terletak di luar pantai Besut mempunyai 2 pulau utama iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil. Saya kira pulau Perhentian adalah antara destinasi popular untuk pelancong tempatan atau asing terutamanya divers.
Pada tahun 2003 pulau-pulau ini telah diwartakan sebagai Taman Laut Negara. Jadi kawasan yang kurang daripada 20 batu nortika dari pantai adalah merupakan kawasan larangan untuk apa-apa aktiviti perikanan termasuk mengambil atau memusnahkan batu karang di sekitarnya kecuali untuk aktiviti yang melibatkan penyelidikan.
Pada saya, salah satu keistimewaan pulau ini adalah airnya. Hijau kebiruan! Sangat cantik! Saya pernah berkampung di pulau ini hampir 2 minggu. Ambil sampel air, ikan dan hidupan laut. Sempat jugak ambil lesen diving pun di sini. Menyelam di kawasan tiga segi antara pengalaman yang tak dapat saya lupakan. Masa tu, pulau Perhentian belum lagi diwartakan sebagai taman laut. Jadi tidak ada peraturan yang dikeluarkan. Masa tu kami berkampung di Pulau Perhentian Kecil. Di balik bukit, banyak didirikan resort/chalet persendirian. Selamba je tengok mat dan minah salleh bervogel atas batu. Sekali tengok dah macam rupa dugong pun ada. Sekarang ni tak tahulah macamana rupanya. Haa... kalau nak tahu, kenalah datang ke sini. Ye dok?
Terdapat 2 laluan bagi sesiapa yang ingin datang ke sini iaitu laluan utama di jeti Kuala Besut - kira-kira 2 jam perjalanan menaiki bot atau dari jeti Pulau Kambing, Kuala Terengganu - kira-kira 3 jam perjalanan menaiki bot.
2. Pulau Kapas
![]() |
| source |
Pulau Kapas terletak kira-kira 6km atau 20 minit menaiki bot dari jeti Marang. Pulau ini antara pulau yang terhampir dengan daratan, dengan kemudahan bot yang disediakan di jeti Marang menyebabkan ia menjadi pulau yang selalu dikunjungi pelancong. Nak buat day trip pun boleh.
Tapi yang menyedihkan ialah disebabkan pengunjung yang terlalu ramai dan tiada penguatkuasaan undang-undang yang khusus (tak ada taman laut di sini), banyak batu karang dan hidupan laut yang telah mati. Sayang...
Kalau 10 tahun lepas saya ke sini, kalau snokelling tu boleh jumpa macam-macam hidupan laut, tapi rasanya sekarang kalau snorkelling tu apapun tak nampak. Airpun keruh, tak sejernih dulu. Tapi, kalau kita tracking, jalan ke belakang pulau yang mengadap laut lepas, dan cuba snorkelling di sini hidupan laut di sini sangat cantik! Tapi awas! Hati-hati bila snorkelling/diving di laut lepas sebab arus sangat kuat. Kami pernah tracking di sini. Siap angkut semua alat-alat untuk snorkelling. Memang berbaloi dapat snorkelling di sini. Paling tak boleh lupa, bila terpijak landak laut. Sakit yang amat!
* Berhampiran Pulau Kapas ada Pulau Gemia - port menarik untuk candat sotong!
3. Pulau Redang
![]() |
| source |
Terletak kira-kira 45km di luar pantai Kuala Terengganu, Pulau Redang merupakan pulau terbesar dari semua pulau-pulau yang terdapat di perairan Terengganu. Selain Pulau Redang, terdapat pulau-pulau lain di sekitarnya seperti Pulau Lima, Pulau Lang Tengah, Pulau Pinang etc.
Memandangkan Pulau Redang diwartakan sebagai taman laut, kawasan sekitar taman laut memang selalu dipenuhi pengunjung terutamanya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah. Ia mempunyai pantai landai dan berpasir putih serta perairan yang membiru dipenuhi hidupan laut.
Walaupun hanya snokelling di kawasan jeti, kita sudah dapat melihat pelbagai spesis batu karang dan ikan-ikan karang di sekitar itu. Di sini juga terdapat bangkai kapal yang karam, dan kalau sesiapa yang berpeluang diving di sini, pemandangan di dasar memang superb! Kawasan sekitar taman laut disediakan beberapa kemudahan seperti tandas, surau serta tapak untuk perkhemahan.
Walaupun sudah beberapa kali datang ke sini, saya tak pernah rasa jemu untuk ke sini lagi. Paling saya tak boleh lupa masa berkhemah di sini bila malamnya khemah kami dilanda ribut. Habis terbang semua khemah. Tapi tetap boleh tidur lena walaupun basah. Memang kenanganlah!
* Waktu terbaik untuk ke Pulau Redang ialah bulan April - Oktober. Kebanyakan resort akan ditutup semasa musim tengkujuh iaitu dari bulan November-Mac.
4. Pulau Tenggol
![]() |
| source |
Pulau syurga kepada divers! Pulau ini terletak di daerah Dungun kira-kira 50km dari bandar Kuala Terengganu. Pulau ini sangat popular di kalangan penyelam kerana kebanyak pelancong yang datang ke sini adalah untuk membuat selaman di dasar laut.
Pulau ini menyediakan hampir 20 tempat menyelam yang cantik antaranya Teluk Air Tawar - melihat penyu dan Batu Tokong Laut - tempat menarik melihat kumpulan ikan selar dan beberapa jenis batu karang.
Untuk ke sini, kita perlu menyewa bot laju dengan kos RM600-650/hari di jeti Kuala Dungun. Rasanya pulau berbanding Pulau Kapas, Redang dan Perhentian, pulau ini masih terpelihara kerana pengunjung yang datang ke sini kebanyakannya terdiri daripada penyelam. Tapi jangan bimbang... beberapa chalet ada di sini yang menyediakan kemudahan dengan pakej pada harga tertentu. Eh, kalau rasa nak buat day trip pun boleh tau!
5. Pulau Bidong
![]() |
| source |
Pulau ini terletak 45km di luar pantai Terengganu. Dulu pulau ini merupakan tempat kem pelarian Vietnam. Macam-macam peristiwa berlaku ketika itu, kerana banyak nyawa yang terkorban untuk sampai ke pulau itu. Misteri ok pulau ni.
Itu kisah dulu... Sekarang pulau ini telah dibangunkan dan merupakan salah satu warisan negeri dan telah diwartakan di bawah UMT untuk dijadikan pusat penyelidikan.
Salah satu tarikan pulau ini ialah Galeri Dasar Laut yang telah dibina dengan kerjasama oleh Kerajaan Terengganu dan Yayasan Coral Malaysia. Replika tempat-tempat menarik/bersejarah di Malaysia dijadikan tukun tiruan untuk menarik hidupan laut hidup di sini. Saya kira ini salah satu usaha yang patut dipuji untuk mengekalkan keaslian pulau ini!
















