Followers

Wednesday, July 10, 2013

CATATAN HAJI (12) : Hari ke-5 di Tanah Haram

Salam 1 Ramadhan semua! Seronok diberi peluang oleh-Nya bertemu lagi dengan Ramadhan. Sempena hari pertama Ramadhan ni, kekononnya dah pasang niat nak siapkan entry catatan haji yang lama terperap - harapnya konsisten sampai entry ni habis. InsyaAllah.. Apapun semoga Ramadhan ini akan lebih baik daripada Ramadhan yang sebelumnya dan doa-doakan moga kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan, akan dan akan datang.... Amin...

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

* bersambung dari CATATAN HAJI (11)

"Tidak ada balasan kecuali syurga bagi hambaKu yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya (Aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik- beradik dan sesiapa sahaja yang disayangi oleh seseorang) dari kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripadaKu (dengan bersabar)." - H.R Iman Bukhari.

Di Tanah Haram rutin harian macam dah auto set. Pagi pukul 3.00 pagi mesti dah terbangun dengan sendiri. Seperti biasa bersiap untuk ke Masjidil Haram. Masa masih awal, jadi sempatlah kami solat sunat dulu. Semakin menghampiri waktu wukuf hati saya makin berdebar-debar. Teruja dan dalam masa yang sama bimbang dan takut kalau amalan yang dilakukan tak sempurna. Dalam keadaan begini, doa, solat hajat dan taubat adalah perkara terbaik yang perlu dilakukan. Mohon semoga dimudahkan semua urusan kita nanti.

Selesai solat subuh, saya hanya duduk termenung di tangga. Pandang Kaabah dari kejauhan saja. Pagi itu, badan terasa kurang sihat. Tekak sudah terasa perit. Pinggang juga lenguh. Jadi kena jaga kesihatan sebab perjalanan haji saya masih panjang. Tambahan pula jemaah haji semakin memenuhi Kota Makkah dan Masjidil Haram juga makin penuh dengan jemaah dari seluruh dunia.

Jom kita  termenung sama-sama depan Kaabah dulu sebelum balik hotel!

Matahari tengah naik - di tempat saya duduk masih redup, tapi nun di depan sana cahaya matahari dah mula masuk. 

Murtabak dan mempelam madu

Balik masjid seperti biasa kami singgah di kedai berhampiran hotel. Pagi ini menu pilihan saya ialah murtabak berinti daging dan telur yang penuh dengan sayur di dalamnya. Tak tahu sayur apa yang diaorg masukkan, tapi sedap. Makan murtabak bersulam mempelam madu memang sedap. Manis! Sebijik je boleh dapat sepinggan mempelam, kira puas hati makan. 

Murtabak dan mempelam madu yang sangat sedap!

Iktikaf di Masjidil Haram

Selepas makan dan berehat seketika - sempat jugak lelapkan mata sekejap, saya bersiap-siap untuk ke Masjidil Haram. Hari ni kami plan untuk menghabiskan waktu kami dengan beriktikaf di dalam Masjidil Haram hingga ke waktu Isya'. Kiranya marathon 4 waktu dari Zohor hingga ke Isya'. Jadi sebagai alas perut, saya bawa biskut, susu soya dan choki-choki. Kalau dahaga air zam-zam ada. Satu kelebihan datang awal ke masjid ialah kita bebas untuk memilih di mana-mana tempat yang kita sukai. Salah satu tempat kegemaran saya ialah saf yang betul-betul bertentangan dengan Hijir Ismail. Tapi... tempat ini kira 'hot seat' tau. Terutamanya pada orang turki. Kalau diaorang yang datang, confirm kita yang dah sedia duduk di situ 'tersepit' punya! Sebab mereka suka datang secara berkumpulan. Sabar aje la kan?

Dari jauh saya boleh lihat Kaabah yang tersergam di depan mata. Kelihatan jemaah sedang kusyuk melakukan tawaf, jika ada peluang mereka akan cuba mencelah di antara ratusan orang untuk masuk ke dalam Hijir Ismail yang menjadi salah satu tempat mustajab berdoa.

                    
Pancur emas 
Kenapa orang berebut-rebut 
untuk masuk ke dalam Hijir 
Ismail? Masuk ke dalamnya 
seolah-olah kita masuk ke 
dalam Kaabah kerana ia juga 
sebahagian daripada binaan 
Kaabah yang tidak disiapkan. 

Jika berada di dalam Hijir 
Ismail, jangan lupa 
dongakkan kepala ke
atas untuk melihat pancuran 
emas di atasnya. 



Antara perkara yang dilakukan sepanjang beriktikaf di masjid ialah tadarus al-quran. Niat hati mahu khatam al-quran di sini. Jadi kena konsisten bertadarus kalau nak active azam tu.

Satu pengalaman ketika sedang bertadarus di dalam Masjidil Haram yang masih segar dalam ingatan saya... Ketika itu saya sedang membaca al-quran. Tiba-tiba saya disapa seorang perempuan. Umurnya agak tua dan hampir bongkok. Saya tak pasti orang apa, macam orang turki tapi bukan - ada satu bangsa tu, macam ada tatu kat muka, pakaiannya simple dan berseluar ala-ala ali baba. Dia suakan pada saya senaskah Yassin. Mulutnya tak henti-henti menyebut "Yassin... yassin.." Hairan jugak saya. Maka terjadilah dialog antara 'ayam' dan 'itik'. Hiks. Rupa-rupanya dia mintak saya bacakan surah Yassin. Alamak! Segan sebenarnya nak membaca di depannya, tapi mana mungkin saya menolak permintaan perempuan tua itu kan? Di dalam Masjidil Haram pulak tu. Dengan perasaan malu dan segan saya cuba baca surah Yassin sebaik mungkin. Mulanya, saya baca dengan perlahan, tapi berkali-kali bahu saya ditepuk - perempuan itu minta saya kuatkan suara - dia mahu ikut sama membaca. Saya baca hingga habis dan tanpa sedar kedudukan saya seperti berada di dalam satu bulatan besar - di kelilingi entah sesiapa yang turut sama membaca dan mendengar bacaan Yassin. Selesai membaca sengaja saya mengaminkan doa - minta mereka menadah tangan (ikut cara orang kita la kononnya. hiks). Selesai berdoa mereka semua datang memeluk dan mencium saya. (faham-fahamlah kalau bangsa mereka peluk dan cium orang macam mana kan? Bersungguh-sungguh! Sampai tenggelam saya yang sebesar kelingking ni. haha). Ada yang menghulur kurma, ada yang menghulur kacang, ada yang menghulur air zam-zam dan tak kurang yang seperti berdoa - entah apa yang didoakan mereka hanya Allah saja yang tahu. Terharu saya dengan reaksi mereka, sampai saya sendiri tanpa sedar menitiskan air mata. Istimewa sungguh perasaan itu! Saya bukanlah sesiapa, tapi tiba-tiba berada di Masjidil Haram entah sesiapa yang datang minta membacakan Yassin untuknya.

Selain itu solat sunat Dhuha juga salah satu daripadanya ialah solat sunat yang boleh dilakukan ketika beriktikaf di dalam masjid. Ia merupakan antara amalan yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w dan mempunyai banyak kelebihan jika kita mengamalkannya. Waktu solat ini bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari dan berakhir sebelum menjelang waktu zohor. Melakukan solat dhuha sama seperti melakukan solat-solat sunat lain iaitu dilakukan sebanyak 2 rakaat dan boleh diteruskan hingga ke 12 rakaat.

Saya yakin ramai yang dah tahu dan arif tentang solat sunat ini kan? Boleh rujuk panduan dan kelebihan solat dhuha di link Panduan solat dhuha dan Kelebihan solat dhuha untuk panduan bersama :)

Lepas solat bolehlah baca doa seperti di bawah. Kata ustaz, ini adalah solat menjemput dan doa penarik rezeki, jadi sangat cantik kalau menjadi amalan harian kita....

“Ya Allah, sesungguhnya waktu dhuha adalah waktu dhuha-Mu, keagungan adalah keagungan-Mu, kebaikan adalah kebaikan-Mu, kekuatan adalah kekuatan-Mu, kekuasaan adalah kekuasaan-Mu, penjagaan adalah penjagaan-Mu. Ya Allah, sekiranya rezki kami di atas langit, turunkanlah, sekiranya dalam bumi, keluarkanlah, bila sukar, mudahkanlah, bila haram, sucikanlah, bila jauh, dekatkanlah, dengan hak waktu dhuha, keagungan, kebaikan, kekuatan dan kekuasaan-Mu. Berilah kepada kami apa-apa yang telah Engkau berikan kepada hamba-hamba-Mu yang shalih-shalih.”


Selain solat sunat dhuha, ada satu lagi solat sunat yang menjadi amalan sepanjang berada di sini iaitu solat sunat Awwabin - yang dilakukan di antara waktu maghrib dan isyak' selepas solat sunat ba'diah. Ia dilakukan samada 2, 4, 6 atau lebih hingga 20 rakaat.

Melakukan solat sunat ini sebenarnya terpulang atas pilihan masing-masing, tapi cara yang biasa saya buat ialah :

2 rakaat pertama - niat supaya memelihara iman kita
* Selepas membaca Al-Fatihah pada rakaat 1 & 2 diikuti bacaan surah Al-Ikhlas (6x), Al-Falaq (1x) dan An-Nas (1x)
* Diiringi doa - "Ya Allah, luruskanlah jalanku dengan iman dan peliharakah keimanan itu semasa hidupku, semasa matiku dan selepas matiku" 

2 rakaat kedua - solat sunat awwabin
* Selepas membaca Al-Fatihah pada rakaat 1 - baca surah Al-Kafirun, dan rakaat 2 selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas

2 rakaat ketiga - niat bersama istikarah
* Selepas membaca Al-Fatihah pada rakaat 1 - baca surah Al-Kafirun, dan rakaat 2 selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas
* Diiringi doa - "Ya Allah, pilihlah untuk sesuatu yang padanya kebaikan dan keelokan pada urusan agamaku dan duniaku, dengan rahmat Engkau wahai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang"

Banyak panduan yang kita boleh rujuk tentang solat ini, tanya saja pakcik google mesti dia akan bagitau! hehe. Papepun saya kasi link untuk panduan bersama ye... di sini - Solat sunat Awwabin dan fadhilat solat


Alhamdulilah, hari ni dapat menghabiskan masa sepanjang hari berada di masjid - dari sebelum Zohor hingga Isyak. Walaupun hanya berbekalkan biskut, susu soya, choki-choki dan air zam-zam tapi tak rasa laparpun - berada di sini terasa waktu berlalu begitu cepat! Kalau saya saja mungkin orang tak hairan kan? Tapi jangan terkejut sebab tok, makcik dan K.zah pun ikut kami bersama. Memang saya tabik spring kat diaorang terutamanya tok dan makcik. Sejak hari pertama sampai, mereka mengikut saya dan K.aya ke masjid. Saya ingat lagi masa mula-mula sampai, pertama kali ke masjid (masa tu tak berkenalan lagi dengan kawan-kawan sebilik) makcik dah sesat bila balik dari masjid. Sejak peristiwa itu, kami berdua berpakat jadi pengiring mereka ke masjid. Walaupun pergerakan kami agak terbatas - tak boleh jalan laju-laju sebab jalan dengan orang tua, tapi tak apalah! Nak berbakti pada mak, mak jauh di kampung (err... mak saya muda lagi. hiks) jadi kita berbaktilah pada orang-orang tua yang perlukan bantuan di sini. Kan?

Selepas Isyak, seperti biasa kami berjalan balik ke hotel. Biasanya sampai ke hotel walaupun keadaan agak sesak, tapi masih terkawal. Tapi kali ni sesak bukan main lagi - memang teruji iman kali ni. Pakcik dengan makcik sama naik berebut nak masuk lift sampai tolak-tolak orang sampai tahap kesabaran saya sampai tahap maksimum! Tanpa sedar ringan saja mulut saya 'sound' diaorang. Alamak!!! Nasib baik K.aya cepat ingatkan saya, terus saya mintak maaf. Mujur jugak pakcik dan makcik tu tak marah saya balik. Adehh... bila badan kurang sihat, perutpun lapar, cepat saja darah naik kan?

Lepas makan malam terus rest. Badan mula rasa tak sihat, tekak kering dan pinggang jugak sakit - janganlah itu balasan sebab bermulut celupar tadi. Nauzubillah....

~ bersambung

Monday, July 08, 2013

Ramadhan Relief with IRM

Sabtu lepas pada 6 Julai 2013 bersamaan 27 Syaaban 1434 berpeluang sertai Program Kembara Zakat Maybank Islamic 2013 dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia (IRM) membahagikan barangan keperluan harian kepada penerima yang layak.  Program ini berlangsung serentak pada hari dan waktu yang sama di seluruh Malaysia mengikut masjid-masjid yang terpilih. Untuk pertama kalinya saya sertai program anjuran IRM sebagai sukarelawan dan kalau diberi peluang lagi nak joint lagi program seperti ini. Seronok tengok muka-muka ceria penerima bila mendapat bekalan makanan untuk persediaan mereka menjelang Ramadhan nanti. Sekurang-kurangnya dengan bantuan yang tak seberapa ini mampu meringankan beban mereka kan? Gembira juga dapat kenal kawan-kawan baru! hihi. Cerita penuh di SINI.

* Tak mampu nak menderma ratusan/ribuan ringgit, jadi sumbangkan keringatpun jadilah....


Berminat nak jadi sukarelawan IRM atau ingin bersedekah/menderma? Boleh rujuk website IRM atau FB IRM.

Thursday, July 04, 2013

Al-Fatihah

Saya baru mendapat panggilan telefon dari anak makcik memberitahu makcik telah meninggal dunia pada pukul 11.00 pagi tadi. Makcik adalah salah seorang jemaah haji yang sama-sama menunaikan haji dengan saya. Sebenarnya sejak balik dari Makkah, kesihatan makcik makin teruk akibat penyakit kanser yang dihidapinya. Mujur sempat jugak saya melawat arwah makcik beberapa kali sebelum dia pergi.

Boleh dikira hampir 90% masa saya sepanjang di Makkah/Madinah terisi dengan kehadiran makcik. Banyak kenangan dengan makcik sebenarnya. (InsyaAllah kalau ada kekuatan dan kelapangan saya akan sambung balik entry Catatan Haji bulan puasa nanti, dan akan saya selitkan cerita-cerita tentang makcik yang sangat banyak menguji kesabaran saya sepanjang berada di sana).

Makcik - paling kiri. Tengoklah rupa makcik pakai tudung, ketika itu puas saya betulkan tudungnya, tapi end up gaya itu juga yang dipilihnya. huhu

Al-Fatihah buat arwah makcik Hindun, moga dia ditempatkan bersama-sama orang yang solehah.

* Malam tadi saya mimpi berada di depan Kaabah sekali lagi dan di sana saya jumpa semua jemaah haji dan salah seorangnya ialah makcik. Bila tersedar, basah bantal dengan air mata. Aduhai.. rindunya pada kota suci itu. Pagi ini baru saya tahu, mimpi malam tadi ingin memberitahu 'sesuatu' kepada saya.

Tuesday, July 02, 2013

Trip Sempoi Ganu Kite : Part 7 - Mari mencandat sotong!

* Mesti orang dah bosan baca trip ni kan? Cuti setakat 2,3 hari je, tapi entry drag sampai ke part 7! Over kan? Ok, ni kira penghabisanlah - rumusan dengan penutup sekaligus. haha.

Suasana di jeti Losong - walaupun dah lewat petang, urusan di sini seperti tak pernah selesai. Ada saja bot-bot nelayan yang baru sampai dan tak kurang juga bot-bot yang baru hendak bertolak ke laut.

Akhirnya sampailah agenda utama untuk trip ini iaitu mencadat sotong! Petang itu, lepas kami singgah di Pasar Besar Kedai Payang, kami balik ke rumah saya. Mandi, rest kejap dan kemudian bersiap-siap untuk ke Jeti Losong - tempat yang glamer jual keropok lekor tu!

Terakhir mencandat pada tahun 2008 - entry lama di SINI. Tak sangka selepas beberapa tahun ada pulak permintaan dari kawan-kawan nak cuba mencandat sotong. Jadi saya contact balik cousin saya mintak no. telefon bot yang kami pernah mencandat dulu. SETEL! Kalau ada sesiapa yang berminat nak mencandat (tahun depan ye, tahun ni musim sotong dah lepas), boleh call direct dengan mereka. Yang ini InsyaAllah tak akan tertipu sebab direct deal dengan tauke bot. 

Pak Kamal / Kak da - 019 9845 568. Selain menyediakan khidmat sewa bot untuk aktiviti mencandat atau memancing ikan, Pak Kamal juga ada chalet di Pulau Redang dan bot untuk ke Pulau Redang. Jadi kalau sesiapa yang berminat nak pergi Pulau Redangpun boleh bertanya kepada dia, dan harga yang dtawarkanpun  berpatutan.

Rate bot sewa untuk candat ialah RM700 - RM1000 bergantung pada saiz bot. Charge yang dikenakan kepada kami ialah sebanyak RM600 termasuk alat-alat untuk mencandat (lepas dapat diskaun RM100 sebab Kak Da ingat saya student! hoho), Total ahli rombongan mencandat sotong pada hari itu ialah seramai 13 + 4 orang anak kapal.

Masa yang sesuai untu bergerak ke laut ialah dalam pukul 4.00/ 5.00pm, tapi disebabkan masa yang kami ada agak suntuk, jadi kami terlewat sampai ke sini. Sampai kat jeti Losong, nak settlekan urusan dengan Pak Kamal lagi, tunggu kawan-kawan yang masih belum sampai lagi, staff Pak Kamal pulak terpaksa balik rumah sebab tertinggal alat mencandat lagi, jadi dekat 6.30pm barulah boleh bergerak - dah lewat sebenarnya.

Jom kita gerak!

Bot-bot nelayan di jeti Losong dan jeti Pulau Kambing
I-city di sepanjang muara sungai Terengganu

Sepanjang perjalanan keluar dari muara Sungai Terengganu ke laut, mata kami dijamukan dengan bermacam-macam pemandangan. Dari jauh boleh lihat tapak berlangsungnya sukan air Moonsun Cup di Pulau Wan Man, jeti perikanan Pulau Kambing yang hanya terletak di sebelah Kampung Losong, nampak Pasar Besar Kedai Payang yang tersohor dengan jualan batik dan produk tempatan dan boleh lihat Bandaraya Kuala Terengganu yang terbina di sepanjang persisiran pantai Kuala Terengganu - yang pada mata saya semua tu lawa dan unik!

Kata tekong bot, kami terlewat gerak dari jeti, nanti dah sampai tengah laut dah hampir gelap. Eloknya kami gerak awal, sampai tengah laut laut - keadaan masih cerah sebab masa itulah sotong tengah 'galak' - dan ia akan mempengaruhi tangkapan kami pada malam itu. Tapi nak buat macam mana, kita merangcang, semua ketentuan adalah urusan Allah kan? Jadi kita tengoklah banyak mana hasil yang kami dapat malam ni. hehe

Demo cara-cara memasang mata kail dan pemberat pada tali tangsi oleh 'Remi Ishak'. Alat untuk mencandat ni sangat simple - mata kail, pemberat dan tali tangsi je. Tak ada umpanpun tak apa. Tapi ada juga candat yang boleh letak umpan. Biasanya umpan yang digunakan ialah ikan parang sebab sisik ikan parang tu bila masuk dalam air akan kelihatan berkilat-kilat dan ia akan menjadi tarikan pada sotong. Kalau guna candat yang ada umpan, masa untuk dapat hasil mungkin agak lambat, tapi kalau dapat hasil mesti besor!!!
Dah sampai ke tengah laut - dari jauh kelihatan lampu dari persisiran pantai.
 Malam itu ialah malam 25 Mei bersamaan 15 Jamadilakhir - bulan penuh dan ia adalah waktu yang terbaik untuk aktiviti mencandat sotong!

Selepas hampir 45 minit perjalanan, akhirnya kami sampai di perairan Pulau Kapas. Haripun dah makin gelap. Dari jauh nampak banyak bot-bot mencandat dengan lampu sport-light masing-masing. Beberapa kali tekong berhentikan bot, nyalakan lampu di muka air dan campakkan candat - test dulu samada tempat itu ada sotong atau tidak dan akhirnya entah ke berapa kali berhenti dan campak candat akhirnya kami putuskan untuk berhenti di situ selepas salah seorang daripada kami berjaya mendapat hasil pertama! Apa lagi, masing-masing terujalah nak campak candat masing-masing. Alang-alang dah masuk waktu maghrib, dan sebelum pakaian kami kotor, kami semua solat dulu dan lepas itu baru kita mencandat sampai muntah hijo! haha.

Hasil pertama dapat tak berapa lama lepas bot berhenti. Mula-mula naik sekor sotong, semua excited! Seronok tengok sotong depan mata! Apa lagi bertambah semangat masing-masing nak dapat hasil. Tapi malam tu hasil kami tak seberapa. Tapi walaupun tak seberapa, masing-masing dapat merasa pengalaman dapat hasil tangkapan sendiri walaupun sekali. Saya sendiripun dapat tak sampai 10 ekor. Walaupun hasil tangkapan tak banyak, saiz sotong yang kami dapat sangat besar - hampir setengah kilo setiap ekor!


Hasil tangkapan kami - sotong jarum

Bila agak banyak hasil yang kami dapat, chef bot dengan baik hati terus goreng sotong celop tepung. Masak nasi sekali! Awok-awok yang di bahagian belakang bot la best, dapur depan mata, masak je sotong terus diaorang ngap! Siap makan nasi laut sotong goreng dengan kicap, selera betul! Haha. Kira malam tu kami dilayan macam minyak yang penuh! *over statement. Saya rasa lebih 10 ekor sotong yang gemok-gemok jadi hidangan kami malam tu. Sedap tak terkata. Terasa isi sotong yang manis - tak payah campur gula. * lupa nak amik gambo - sibuk candat sotong dan makan sotong!

Elok je dah kekenyangan, ada antara kami yang dah tertidur - walaupun tertidur, tangan mantain pegang tali candat! Haha. Tapi saya kagum dengan geng-geng candat kali ni, semuanya KEBAL! Tak mabuk! Steady sampai ke pagi. Hampir 5.00 pagi, saya ajak tekong bot balik. Kalau ikut hati tekong tu dia nak stay sampai cerah, tapi sebab sahabat saya tu kerja hari tu, saya mintak balik awal. Lagipun sotongpun dah malas nak timbulkan, solusi terbaik ialah balik saja.

Sampai di jeti Losong hari dah hampir cerah. Masing-masing dah kepenatan. Nak balik tekong bot kasi lagi sotong. Walaupun tak banyak, tak sampaipun 20 ekor, tapi disebabkan saiz sotong yang kami dapat agak besar, berat jugak nak bawak satu plastik sotong tu. Bolehlah bagi kat nik dan anne 4 ekor sorang - bawak balik rumah masing-masing sebagai bukti diorang mencandat sotong. hehe. Selebihnya saya bawak balik dan terus Pn. Fatimah buat sambal sotong masak merah untuk jamu kat diaorg. Macam tau-tau je mak saya tu, dia dah siap masak nasi lemak dan sambal bilis pagi tu, jadi sotong masak merah tu sesuailah dengan makan pagi hati tu.

Sotong masak merah ni sampai ke hari ni masih teringat-ingat! haha

Bila semua dah kenyang, barang-barangpun dah kemas, sampailah masa nak berangkat balik ke KL. Dan pagi tu jugak saya buat keputusan nak extand cuti satu hari lagi - bolehlah luangkan masa dengan mak pulak kan? Hehe.

Dah siap semua kami bertolak, bawak diorang singgah Desa Murni dulu sebab semalam tak puas hati tak sempat nak memborong kain di Pasar Kedai Payang. Mulanya kata nak singgah kejap, tapi biasalah jumpa kain/tudung yang murah-murah masing-masing rambang mata. Last skali kami singgah beli keropok lekor.

Merasa beratur lebih 1 jam semata-mata nak beli keropok lekor. Baru cuti 3 hari, penuh orang datang ke Ganu. Jalanpun jammed!

Akhirnya pukul 12.00 tengahari barulah mereka bergerak balik ke KL. Dan tamatlah trip sempoi kami selama 3 hari 2 malam yang sangat pack!

Saya pulak sambung cuti sehari lagi dengan budak kecik ni! woha!



~ THE END~

Monday, July 01, 2013

Perkara yang buat kita tersenyum

Red velvet, puding roti dan nasi goreng ikan bilish (ejaan ikut sebutan Raisa) yang disediakan oleh 'mama' dengan penuh kasih ketika 'ayoh' jauh di pelantar khas untuk GBS. Siapa tak terharu, walaupun datang dengan perut kenyang lepas makan nasi beriani kenduri, kami tetap disambut dengan hidangan yang penuh di atas meja. Dah la kami berkampung sampai ke malam, bila nak balik siap tapau tu! BTW, terima kasih daun keladi 'mama'!

Macam-macam perkara yang mampu buat kita tersenyum kan?

Salah satunya... bila tengok makanan yang buat liur kita meleleh macam ni. Tambah pulak bila ia disediakan oleh kawan-kawan yang kita sayang. Lagi meleret senyum tu - sampai ke telinga!

Dah menjadi 'tradisi' kot, bila dah lama tak dengar khabar dari GBS, mulalah 'mama' di Kota Kemuning bising, rindulah, lama tak gosip-gosip la dan semua ini akan 'mengheret' kami semua ke sana. Sekarang ni susah benor GBS nak berkumpul macam dulu. Tambah pulak bila ada 'budak-budak sekolah' yang sibuk memanjang dengan presentation, kuiz, test, kelas lagilah payah tak bertemu mata. Jadi sekali dapat jumpa, memang kecoh! Macam-macam cerita keluar. Suatu hari nanti kalau ditakdirkan terpisah jauh, saya pasti akan rindukan moment ini!

Saya yakin antara kita semua mesti ada perkara yang akan buat kita semua tesenyum kan?