Followers

Wednesday, July 10, 2013

CATATAN HAJI (12) : Hari ke-5 di Tanah Haram

Salam 1 Ramadhan semua! Seronok diberi peluang oleh-Nya bertemu lagi dengan Ramadhan. Sempena hari pertama Ramadhan ni, kekononnya dah pasang niat nak siapkan entry catatan haji yang lama terperap - harapnya konsisten sampai entry ni habis. InsyaAllah.. Apapun semoga Ramadhan ini akan lebih baik daripada Ramadhan yang sebelumnya dan doa-doakan moga kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan, akan dan akan datang.... Amin...

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

* bersambung dari CATATAN HAJI (11)

"Tidak ada balasan kecuali syurga bagi hambaKu yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya (Aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik- beradik dan sesiapa sahaja yang disayangi oleh seseorang) dari kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripadaKu (dengan bersabar)." - H.R Iman Bukhari.

Di Tanah Haram rutin harian macam dah auto set. Pagi pukul 3.00 pagi mesti dah terbangun dengan sendiri. Seperti biasa bersiap untuk ke Masjidil Haram. Masa masih awal, jadi sempatlah kami solat sunat dulu. Semakin menghampiri waktu wukuf hati saya makin berdebar-debar. Teruja dan dalam masa yang sama bimbang dan takut kalau amalan yang dilakukan tak sempurna. Dalam keadaan begini, doa, solat hajat dan taubat adalah perkara terbaik yang perlu dilakukan. Mohon semoga dimudahkan semua urusan kita nanti.

Selesai solat subuh, saya hanya duduk termenung di tangga. Pandang Kaabah dari kejauhan saja. Pagi itu, badan terasa kurang sihat. Tekak sudah terasa perit. Pinggang juga lenguh. Jadi kena jaga kesihatan sebab perjalanan haji saya masih panjang. Tambahan pula jemaah haji semakin memenuhi Kota Makkah dan Masjidil Haram juga makin penuh dengan jemaah dari seluruh dunia.

Jom kita  termenung sama-sama depan Kaabah dulu sebelum balik hotel!

Matahari tengah naik - di tempat saya duduk masih redup, tapi nun di depan sana cahaya matahari dah mula masuk. 

Murtabak dan mempelam madu

Balik masjid seperti biasa kami singgah di kedai berhampiran hotel. Pagi ini menu pilihan saya ialah murtabak berinti daging dan telur yang penuh dengan sayur di dalamnya. Tak tahu sayur apa yang diaorg masukkan, tapi sedap. Makan murtabak bersulam mempelam madu memang sedap. Manis! Sebijik je boleh dapat sepinggan mempelam, kira puas hati makan. 

Murtabak dan mempelam madu yang sangat sedap!

Iktikaf di Masjidil Haram

Selepas makan dan berehat seketika - sempat jugak lelapkan mata sekejap, saya bersiap-siap untuk ke Masjidil Haram. Hari ni kami plan untuk menghabiskan waktu kami dengan beriktikaf di dalam Masjidil Haram hingga ke waktu Isya'. Kiranya marathon 4 waktu dari Zohor hingga ke Isya'. Jadi sebagai alas perut, saya bawa biskut, susu soya dan choki-choki. Kalau dahaga air zam-zam ada. Satu kelebihan datang awal ke masjid ialah kita bebas untuk memilih di mana-mana tempat yang kita sukai. Salah satu tempat kegemaran saya ialah saf yang betul-betul bertentangan dengan Hijir Ismail. Tapi... tempat ini kira 'hot seat' tau. Terutamanya pada orang turki. Kalau diaorang yang datang, confirm kita yang dah sedia duduk di situ 'tersepit' punya! Sebab mereka suka datang secara berkumpulan. Sabar aje la kan?

Dari jauh saya boleh lihat Kaabah yang tersergam di depan mata. Kelihatan jemaah sedang kusyuk melakukan tawaf, jika ada peluang mereka akan cuba mencelah di antara ratusan orang untuk masuk ke dalam Hijir Ismail yang menjadi salah satu tempat mustajab berdoa.

                    
Pancur emas 
Kenapa orang berebut-rebut 
untuk masuk ke dalam Hijir 
Ismail? Masuk ke dalamnya 
seolah-olah kita masuk ke 
dalam Kaabah kerana ia juga 
sebahagian daripada binaan 
Kaabah yang tidak disiapkan. 

Jika berada di dalam Hijir 
Ismail, jangan lupa 
dongakkan kepala ke
atas untuk melihat pancuran 
emas di atasnya. 



Antara perkara yang dilakukan sepanjang beriktikaf di masjid ialah tadarus al-quran. Niat hati mahu khatam al-quran di sini. Jadi kena konsisten bertadarus kalau nak active azam tu.

Satu pengalaman ketika sedang bertadarus di dalam Masjidil Haram yang masih segar dalam ingatan saya... Ketika itu saya sedang membaca al-quran. Tiba-tiba saya disapa seorang perempuan. Umurnya agak tua dan hampir bongkok. Saya tak pasti orang apa, macam orang turki tapi bukan - ada satu bangsa tu, macam ada tatu kat muka, pakaiannya simple dan berseluar ala-ala ali baba. Dia suakan pada saya senaskah Yassin. Mulutnya tak henti-henti menyebut "Yassin... yassin.." Hairan jugak saya. Maka terjadilah dialog antara 'ayam' dan 'itik'. Hiks. Rupa-rupanya dia mintak saya bacakan surah Yassin. Alamak! Segan sebenarnya nak membaca di depannya, tapi mana mungkin saya menolak permintaan perempuan tua itu kan? Di dalam Masjidil Haram pulak tu. Dengan perasaan malu dan segan saya cuba baca surah Yassin sebaik mungkin. Mulanya, saya baca dengan perlahan, tapi berkali-kali bahu saya ditepuk - perempuan itu minta saya kuatkan suara - dia mahu ikut sama membaca. Saya baca hingga habis dan tanpa sedar kedudukan saya seperti berada di dalam satu bulatan besar - di kelilingi entah sesiapa yang turut sama membaca dan mendengar bacaan Yassin. Selesai membaca sengaja saya mengaminkan doa - minta mereka menadah tangan (ikut cara orang kita la kononnya. hiks). Selesai berdoa mereka semua datang memeluk dan mencium saya. (faham-fahamlah kalau bangsa mereka peluk dan cium orang macam mana kan? Bersungguh-sungguh! Sampai tenggelam saya yang sebesar kelingking ni. haha). Ada yang menghulur kurma, ada yang menghulur kacang, ada yang menghulur air zam-zam dan tak kurang yang seperti berdoa - entah apa yang didoakan mereka hanya Allah saja yang tahu. Terharu saya dengan reaksi mereka, sampai saya sendiri tanpa sedar menitiskan air mata. Istimewa sungguh perasaan itu! Saya bukanlah sesiapa, tapi tiba-tiba berada di Masjidil Haram entah sesiapa yang datang minta membacakan Yassin untuknya.

Selain itu solat sunat Dhuha juga salah satu daripadanya ialah solat sunat yang boleh dilakukan ketika beriktikaf di dalam masjid. Ia merupakan antara amalan yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w dan mempunyai banyak kelebihan jika kita mengamalkannya. Waktu solat ini bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari dan berakhir sebelum menjelang waktu zohor. Melakukan solat dhuha sama seperti melakukan solat-solat sunat lain iaitu dilakukan sebanyak 2 rakaat dan boleh diteruskan hingga ke 12 rakaat.

Saya yakin ramai yang dah tahu dan arif tentang solat sunat ini kan? Boleh rujuk panduan dan kelebihan solat dhuha di link Panduan solat dhuha dan Kelebihan solat dhuha untuk panduan bersama :)

Lepas solat bolehlah baca doa seperti di bawah. Kata ustaz, ini adalah solat menjemput dan doa penarik rezeki, jadi sangat cantik kalau menjadi amalan harian kita....

“Ya Allah, sesungguhnya waktu dhuha adalah waktu dhuha-Mu, keagungan adalah keagungan-Mu, kebaikan adalah kebaikan-Mu, kekuatan adalah kekuatan-Mu, kekuasaan adalah kekuasaan-Mu, penjagaan adalah penjagaan-Mu. Ya Allah, sekiranya rezki kami di atas langit, turunkanlah, sekiranya dalam bumi, keluarkanlah, bila sukar, mudahkanlah, bila haram, sucikanlah, bila jauh, dekatkanlah, dengan hak waktu dhuha, keagungan, kebaikan, kekuatan dan kekuasaan-Mu. Berilah kepada kami apa-apa yang telah Engkau berikan kepada hamba-hamba-Mu yang shalih-shalih.”


Selain solat sunat dhuha, ada satu lagi solat sunat yang menjadi amalan sepanjang berada di sini iaitu solat sunat Awwabin - yang dilakukan di antara waktu maghrib dan isyak' selepas solat sunat ba'diah. Ia dilakukan samada 2, 4, 6 atau lebih hingga 20 rakaat.

Melakukan solat sunat ini sebenarnya terpulang atas pilihan masing-masing, tapi cara yang biasa saya buat ialah :

2 rakaat pertama - niat supaya memelihara iman kita
* Selepas membaca Al-Fatihah pada rakaat 1 & 2 diikuti bacaan surah Al-Ikhlas (6x), Al-Falaq (1x) dan An-Nas (1x)
* Diiringi doa - "Ya Allah, luruskanlah jalanku dengan iman dan peliharakah keimanan itu semasa hidupku, semasa matiku dan selepas matiku" 

2 rakaat kedua - solat sunat awwabin
* Selepas membaca Al-Fatihah pada rakaat 1 - baca surah Al-Kafirun, dan rakaat 2 selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas

2 rakaat ketiga - niat bersama istikarah
* Selepas membaca Al-Fatihah pada rakaat 1 - baca surah Al-Kafirun, dan rakaat 2 selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas
* Diiringi doa - "Ya Allah, pilihlah untuk sesuatu yang padanya kebaikan dan keelokan pada urusan agamaku dan duniaku, dengan rahmat Engkau wahai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang"

Banyak panduan yang kita boleh rujuk tentang solat ini, tanya saja pakcik google mesti dia akan bagitau! hehe. Papepun saya kasi link untuk panduan bersama ye... di sini - Solat sunat Awwabin dan fadhilat solat


Alhamdulilah, hari ni dapat menghabiskan masa sepanjang hari berada di masjid - dari sebelum Zohor hingga Isyak. Walaupun hanya berbekalkan biskut, susu soya, choki-choki dan air zam-zam tapi tak rasa laparpun - berada di sini terasa waktu berlalu begitu cepat! Kalau saya saja mungkin orang tak hairan kan? Tapi jangan terkejut sebab tok, makcik dan K.zah pun ikut kami bersama. Memang saya tabik spring kat diaorang terutamanya tok dan makcik. Sejak hari pertama sampai, mereka mengikut saya dan K.aya ke masjid. Saya ingat lagi masa mula-mula sampai, pertama kali ke masjid (masa tu tak berkenalan lagi dengan kawan-kawan sebilik) makcik dah sesat bila balik dari masjid. Sejak peristiwa itu, kami berdua berpakat jadi pengiring mereka ke masjid. Walaupun pergerakan kami agak terbatas - tak boleh jalan laju-laju sebab jalan dengan orang tua, tapi tak apalah! Nak berbakti pada mak, mak jauh di kampung (err... mak saya muda lagi. hiks) jadi kita berbaktilah pada orang-orang tua yang perlukan bantuan di sini. Kan?

Selepas Isyak, seperti biasa kami berjalan balik ke hotel. Biasanya sampai ke hotel walaupun keadaan agak sesak, tapi masih terkawal. Tapi kali ni sesak bukan main lagi - memang teruji iman kali ni. Pakcik dengan makcik sama naik berebut nak masuk lift sampai tolak-tolak orang sampai tahap kesabaran saya sampai tahap maksimum! Tanpa sedar ringan saja mulut saya 'sound' diaorang. Alamak!!! Nasib baik K.aya cepat ingatkan saya, terus saya mintak maaf. Mujur jugak pakcik dan makcik tu tak marah saya balik. Adehh... bila badan kurang sihat, perutpun lapar, cepat saja darah naik kan?

Lepas makan malam terus rest. Badan mula rasa tak sihat, tekak kering dan pinggang jugak sakit - janganlah itu balasan sebab bermulut celupar tadi. Nauzubillah....

~ bersambung

10 comments:

  1. Rindunya...bestnya baca post ni...sayu plak bila ingt kenangan kat sana....rezeki dpt pi Haji masa muda2 ni... =D

    ReplyDelete
    Replies
    1. DJ, saya yg tulis entry ni pun terasa rindu sangat nak ke sana lagi. huhu. Alhamdulillah, rezeki lepas 8 tahun menunggu giliran. hehe

      Delete
    2. syahdu btol...rindu bila tgk gmbar2...huhuhu PM buat rayuan ke bila dah cukup duit?kira tak follow tahun yg diberi tu la ye...

      Delete
    3. DJ, saya tak buat rayuan. Saya daftar haji tahun 2005, masa daftar tu pegawai TH kata turn saya sampai lepas 8 tahun. jadi lepas 8 tahun tu ialah 2012 :) masa dapat surat panggilan tu tak sangka rupa2nya kejap je 8 tahun tu berlalu....

      Delete
  2. banyak keajaiban yg berlaku di sana.
    Terharu membaca cerita disuruh baca yassin.
    Wanita itu , akak pun musykil orang iran kah?

    ReplyDelete
    Replies
    1. macam2 keajaiban, ini baru sikit, akan saya kongsikan lagi keajaiban yang lain nanti :)

      wanita tu, saya x sure samada org turki atau orang iran. ada satu jenis org ni yang suka conteng2 'ala-ala tatu' kat muka dan tangan, muka nmpk garang dan kasar tapi tak sangka baik hati :)

      Delete
  3. MASYAALLAH, terharunya, mudah-mudahan dapat jugak saya ke sana sebelum dijemput ILLAHI.. AMIN

    ReplyDelete
  4. Subahanallah..Ya-Allah syahdunya MS setiap kali baca entry mengenai kota mekah nie macam-macam keajaiban boleh berlaku pada sesiapa sahaja insan yang terpilih, semoga MS pun dapat menjadi tetamu-NYA satu hari nanti.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mrs. Smile, kadang2 keajaiban tu berlaku tanpa kita sedar. Bila dah lepas atau dah balik Malaya baru kita perasan yang itu salah satu keajaiban yang Allah nak tunjuk pada kita.

      InsyaAllah MS, doa-doakan ye moga akan sampai masa menjadi tetamu-Nya juga nanti :)

      Delete