Followers

Thursday, January 15, 2015

Chasing flowers in Jim Thompson Farm, Korat

Perjalanan satu jam setengah tak terasa naik songtheaw beramai-ramai macamni. Macam biasa kami ber'5 lebih memilih untuk jadi pendengar. Kita bagi peluang orang lain bercerita. Kalau tak, kita layan view sepanjang perjalanan atau layan perasaan je. 

Sampai-sampai di JTF, lebih kurang pukul 10.00 am. Apa yang terhidang depan mata memang boleh buat mulut kami melopong! Ladang bunga luas terbentang! Mabuk kejap. 

Pemandangan dari luar pagar. Semua mulut melopong tengok bunga depan mata. Nasib baik tak masuk lalat.
Dah ramai pengunjung yang sampai dulu. Tengok pokok seperti rhu yang di tanam berselari tu teringat kat Nami Island. Sama tapi tak serupa, tapi mirip-mirip tu ada...

Dalam kami duk tengah mabuk bunga, Zilla awal-awal dah pergi belikan kami tiket. Hujung minggu, kaunter tiket sangat panjang. Bukan kami saja yang teringin nak masuk ke situ, boleh dikatakan pengunjung dari serata pelusuk Thailand datang ke ladang yang hanya dibuka sekali setahun sahaja ini. Semua tak nak lepaskan peluang.

Info JTF :

Alamat : Tambol Takob, Amphur Pak Thong Chai, Nakhon Ratchasima (Korat) Province.
Telefon : 08-5660 7336
Instagram : jimsthompsonfarm
Admission : 120baht (week days) / 140baht (weekend)
Open : 9.00am - 5.00pm. 

Ladang ini dibuka kepada pengunjung hanya sekali setahun lebih kurang sebulan sahaja. Untuk tahun 2014 tarikh pembukaan ialah pada 13/12/2014 - 11/1/2015. Jadi bagi yang berhasrat untuk ke sini nanti jangan lupa semak tarikh di website/ FB / IG JTF. 

Peta JTF. Tinggal mampu @ tak je nak jejak semua pelusuk tempat. Peta seperti ini juga dibekalkan bersama tiket yang dibeli

Sebelum masuk kami sepakat dulu untuk jumpa di depan pintu masuk pukul 2.00pm. Senang, takutada yang terpisah, kita boleh jumpa/tunggu saja di depan pintu masuk.  Jadi kami ada masa lebih kurang 3 jam untuk jelajah di sekitar ladang ini. 

Ladang yang mempunyai keluasan lebih kurang 97 hektar ini mula dibuka kepada pengungjung pada tahun 2001. Ianya hanya dibuka sekali setahun iaitu ketika waktu kemuncak musim sejuk di Thailand. Ladang sebesar ini dibahagikan kepada 5 bahagian utama iaitu :

1. Cosmos field & u-pick garden
2. Pumpkin patch & flower labyrinth
3. Isan village
4. Jim Thompson village
5. Jim Thompson market

JTF dibahagikan kepada 5 bahagian utama.

Bahagian-bahagian ini boleh diakses menggunakan perkhidmatan tramp yang disediakan secara percuma. Nak jalan kaki boleh. Tapi kami semua malas nak jalan kaki, terus naik tramp dan kami di bawa ke bahagian paling jauh - pumpkin patch & flower labyrinth. Sepanjang jalan tu lalu kebun-kebun bunga dan kebun buah-buahan. Luasnya memang sayup mata memandang. Tapi kebanyakan hanya ladang bunga saja yang meriah dengan bunga. Kebun buah-buahan semua tak ada hasil, mampu tengok pokok sajalah.

Layan gambar pulak ya...

Bahagian 2 : tempat ini dipenuhi dengan ladang bunga. Macam-macam bunga ada. Tapi sayang semua papan tanda dalam bahasa Thailand je. Satu patahpun kami tak faham. Apapun memang memukau pandangan layan semua bunga kat sini. 
Sekali pandang macam pokok ulam raja cuma bunganya saja yang berbeza. Mungkin spesis sama kot.
Antara bunga-bungaan/ tanaman yang ada di sini. Bunga orkidnya besar-besar belaka, sama jugak dengan labu semuanya sihat-sihat!
Majoriti yang datang ke JTF adalah penduduk tempatan. Seronok tengok macam-macam ragam. Kalau kami yang tak pernah tengok ladang bunga terbentang depan mata, merakapun tak jauh beza macam kami. Dua kali jakun jugak. Haha.
Pumpkins patch - macam-macam jenis labu disusun di sini. Besar kecik, panjang, bulat semua bentuk ada. Ada yang kami tak pernah tengok pun ada. Atas tu pulak takpasti apa, macam jerami padi yang anyam digantung untuk hiasan. Kalau di Korea gantung payung warna-warni, kat sini lain pulak hiasannya. Apapun sangat kreatif!
Ladang bunga matahari - terdapat di sepanjang jalan. Tapi bunganya tak sebesar bunga matahari di Lopburi. Masa kami sampai di sini dah tengahari, matahari dah beralih ke barat. Jadi bunga matahari pun ikut sama teleng ke barat.
Lagi bunga matahari di sini. Saya layan bunga matahari sorang-sorang. Yang lain dah kepenatan sebab panasnya sangat terik!

Lama kami habiskan masa di sini. Panas makin terik. Nak membeli tak boleh sebab kami tak ada kad khas untuk membeli. 

* Kad boleh dibeli di kaunter sebelum masuk, duit ditukar dengan kad untuk sebarang pembelian di dalam JTF. Kalau ada balance, boleh ke kaunter untuk pulangkan kad dan ambil balik baki wang dalam kad.

Jadi kami tunggu tramp, untuk ke next stop - Isan Village. Mula-mula kami tak nak turun, tapi bila tramp berhenti dan tengok semua orang turun, kamipun ikut sekali. Di sini agak berbeza dari hentian 2. Ia lebih menonjolkan keadaan rumah tradisi masyarakat Isan dan aktiviti pertanian mereka. 

Sawah padi di Jim Thompson Village
Besar tempat ni sampai tak mampu nak jejak semua tempat.

Saya sempat tengok kerbau dan jalan-jalan sekitar sawah padi saja. Snap-snap gambar lebih kurang 10 minit saya ke tempat menunggu tramp. Hanya JM yang ada. Ah sudah! Mana pulak 3 orang lagi hilang? Kami agak tak mungkin mereka ber'3 masuk ke dalam Isan Village. Beberapa kali tramp lalu, mereka tak muncul-muncul, JM ajak naik tramp. Saya ikutkan saja. Ini penangan perut lapar, nak fikir dengan waraspun dah tak mampu. hehe.

Kami turun di stop ke 4 - Jim Thompson Village. Sampai sini ingatkan kawan-kawan dah ada di sini, tapi rupa-rupanya kami yang tinggalkan mereka. Jadi saya terus SMS Zilla bagitau kami dah naik tramp dan siggah di sini. Kat sini kami mabuk bunga. Ladang bunga terbentang depan mata seluas-luasnya! Tapi tak best sebab tak cukup ahli. Saya je yang layan 'mabuk' bunga sorang-sorang. JM pulak setia menunggu kat bawah pokok.

Hasilnya penuh gambar bunga!!!



Lama kami kat sini, dah tak tahan panas kami sepakat jalan kaki saja sampai ke pintu depan. Sekali saya SMS Zilla bagitahu kami tunggu saja di pintu keluar JTF. Sambil-sambil tunggu kawan-kawan yang lain kami jalan-jalan sekitar luar JTF. 

Well preparation - antara decoration di luar JTF. 

Poskad pulak free bila kami tukar map yang diberi bersama tiket masuk ke JTF. Sebenarnya seorang dapat satu, tapi rezeki kami dapat lebih, siap boleh pilih semua poskad yang ada kat situ.

Tak lama lepas tu barulah kawan-kawan yang lain muncul. Kami hanya melepak di luar sambil menunggu kumpulan satu lagi balik. Janji jumpa di luar pukul 2.00pm, tapi mereka mintak lagi 3 jam sebab nak patah balik masuk JTF disebabkan mereka termiss untuk pergi ke bahagian 2 -  pumpkin patch & flower labyrinth. Masa diberitahu macam tu, nak marahpun ada jugak sebenarnya. Dahlah orang tengah lapar ni, disuruh pulak tunggu sampai 3 jam. Adeh.... memang sangat menguji imam kami semua.

Tengok jam, rasanya dah terlalu lewat kalau kami tunggu untuk balik ke Korat, jadi kami wudhu' dan solat saja di tempat parking Songtheaw. Saya suka konsep tandas di JTF. Sangat bersih dan wangi! Mereka gunakan buah limau purut untuk menyahbau dan mewangikan tandas.

3 jam menunggu akhirnya kumpulan mereka muncul. Masa untuk kembali ke Korat. Selepas menurunkan mereka ber5 di stesen bas sebab mereka akan teruskan perjalanan ke Udon Thani dan Kanchanaburi, kami mintak pakcik songtheaw hantar kami ke Ponlaan Apartment dengan tambahan tambang 200baht. Lokasi apartment agak jauh ke dalam, sehingga pakcik beberapa tersesat jalan dan terpaksa berhenti tanya orang beberapa kali.

Ponlaan Apartment

Lewat petang barulah kami sampai ke Ponlaan Apartment. Kami akan bermalam di sini satu malam. Check in dan kami minta izin daripada pemilik apartment untuk menggunakan rice cooker. Komunikasi memang menjadi masalah utama, terima kasih pada google translate memudahkan komunikasi kami. Jadi malam itu kami semua makan nasi panas dengan sambal tempe dan daging dendeng untuk alas perut sambil tengok bola Malaysia lawan Thailand. Hiks

Berakhir hari pertama musafir kami. Panjang dan memenatkan. Tapi sangat berbaloi dengan pengalaman yang kami perolehi!

~ bersambung hari kedua di Korat

Wednesday, January 14, 2015

Journey to Nakhon Ratchasima / Korat

Sabtu, 20 Dec 2014.

Seawal pukul 2.00 am saya dah terjaga. Tidur tak berapa nak lena sebab teringat kawan-kawan yang sampai malam tadi. Apalah keadaan mereka sebab tak dengar khabar dari diorang kecuali JM. Nik pun hairan kenapa saya bangun awal sangat padahal kalau ikut plan awal kami akan bergerak ke Mo Chit Bus Station paling lewatpun jam 4.00 - 5.00 am. Tapi dah alang-alang mata tak boleh lelap, saya terus bangun, mandi dan bersiap. 

Pukul 2.30 am dikala orang lain tengah sedap bermimpi kami dah menapak di lobi hotel. Nasib baik Nice Palace Hotel menyediakan perkhidmatan taxi hotel 24jam. Jadi masalah untuk ke stesen bus selesai. Tapi caj pun boleh tahan jugak 200 baht untuk ke bus station. Ok lah, kongsi berdua kurang sikit bebannya. 

Pakcik taxi hotel hantar kami terus ke tingkat 3 sebab awal-awal dah bagitau kami nak ke Korat. Nasib baik, sebab bus station ni tersangat besar. Bila masuk, letak beg, saya cari dulu kawan-kawan yang lain. Mana tahu mereka dah sampai. Apapun saya SMS Zilla terus bagitau kami dah sampai di stesen bus. Lebih kurang 4.30am barulah kawan-kawan yang lain sampai. Bila tengok diorang barulah boleh bernafas macam biasa. Kalau tak, dalam hati berdoa macam-macam. Haha.

Bila semua orang dah ada barulah kami ke kaunter untuk membeli tiket bus ke Korat atau Nakhon Ratchasima. Disebabkan kami berdua dah survey kaunter, harga dan masa bas bergerak semalam, tak adalah kalut nak beli tiket bas. Kalau ditanya pada kaunter katanya bas beroperasi 24 jam dan setiap jam ada bas ke Korat. 

Tiket boleh dibeli di kaunter 40, 49, 50, 52 atau 53 (sederet saja kaunternya) di tingkat paling atas (tingkat 3) dengan harga 220 baht.

Bas paling awal hari itu bergerak pada jam 5.15am, naik bus di platform 97. Gambar di atas, untuk tiket, kaunter tiket, platform dan bus yang kami naiki untuk ke Korat.

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3 jam untuk sampai ke Korat. Keadaan bas sangat selesa. Seat boleh pilih masa nak beli tiket tadi bersama air mineral dan roti untuk bekalan dalam perjalanan. Naik atas bas, lepas je solat subuh masing-masing membuta. Sedar-sedar tengok matahari dah naik. Lawa... tapi malas nak keluarkan kamera. Layan dengan mata hati je buat kenangan. hiks.

Lebih kurang jam 8.00am bas sampai di stesen bas Korat. Letak beg, Zilla dan saya cari public phone. Ikut perancangan kami selama 2 hari di sini kami akan sewa kereta dengan bayaran 1500baht/day - toyota altis. Bila call, dia jawab kereta tak ada. Kalau setakat bagitau kereta tak apa, ini siap salahkan kita pulak sebab tak call dia untuk reconfirm.

"Sorry, we don't have a car today, since you didn't call me when you arrive in Bangkok"
"But one day before we come, we already sent you an email. Did you receive our email?"
"Yes"
"Then, why don't you reply our email?"
"This is not the time to argue!" - masa ni nada suara Jimmy dah tinggi.

Hampeh punya Jimmy, berderau darah saya cakap dengan dia! Nak tutup kesalahan dia, kita pulak yang disalahkan. Itupun sabar lagi, sempat lagi saya tanya dia kalau dia ada suggestion untuk kereta sewa yang lain. Tapi jawapan yang Jimmy bagi tak membantu langsung. Tambah sakit hati adalah. 

Jadi kepada sesiapa yang berniat nak sewa kereta di Korat, harap-harap janganlah korang terdeal dengan Jimmy. Cukuplah kami saja yang terkena. Apa nama sewa kereta Jimmy tu korang tanya saja pakcik google. Taip saja budget car rental in Korat - Jimmy, i'm sure you will find him because he's one of familiar person with car rental services!

Bila dah jadi macam tu termenung panjang jugak saya dengan Zilla kat public phone. Clueless tak tahu nak buat apa bila plan utama tak menjadi. Dahlah bukan senang nak cari public phone yang elok. Itupun lepas dapat pertolongan dari pekerja di stesen bus untuk dail no. telefon Jimmy. Kalau tak duk terkial-kial la kami kat depan public phone tu. 

Bila dah jadi macam tu kami berdua jumpa kawan-kawan yang lain. Bagitau kereta sewa tak ada. Dalam keadaan begini apa lagi yang mampu dibuat selain daripada mencari solusi lain. Bas memang banyak, tapi daripada info yang saya baca di internet tak ada pengangkutan awam untuk ke Jim Thompson Farm kecuali kenderaan persendirian, kereta sewa atau songthaew. Kebetulan memang ada deretan songthaew di situ. Jadi kami cuba tanya pakcik songthaew. Tapi masalahnya pakcik ni tak faham apa yang kami cakap dan kamipun tak faham apa yang dia cakap. Main duk angguk geleng je. Tapi bagusnya pakciknya baik hati, walaupun dia tak faham, dia layan kami dengan baik. Dia tunjuk peta korat, dan kami pulak tunjuk buku kami yang ada tulisan Thai. Lepas pong pang pong pang akhirnya pakcik songthaew faham. Mula-mula dia minta 1,800 baht semua untuk sehari. Lepas kami minta diskaun dapatlah 1,500 baht. Oklah bahagi 5 orang masih mampu bayar untuk kami semua.

Tengah duk bincang dengan pakcik songthaew, tiba-tiba dengar suara orang cakap melayu. Mereka berlima datang ke arah kami. Rupanya inilah kawan forum Zilla yang pernah Zilla cakap nak ke Korat jugak. Rupa-rupanya merekapun senasib dengan kami terkena dengan Jimmy. Janji nak sewa kereta, alih-alih Jimmy kata tak ada kereta. Kira 2x5 nasib kami. Kebetulan destinasi yang kami hedak tuju sama. Jadi kamipun naik songthaew untuk ke JTF. Hikmah di sebalik kena 'kencing' dengan Jimmy, jumpa orang Malaya, dapat songthaew dan kami kongsi bayar sama-sama. Sekejap je Allah ganti balik.... Berkat doa orang bermusafir kan? hiks

Bila semua dah sepakat, naik songthaew kami terus ke JTF yang mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah dari bandat Korat.

Since, entry di JTF panjang sebab banyak gambar kita sambung ke next entry. 

Apapun belanja dulu satu gambar di JTF.

Bunga yang meliuk lintuk yang menyambut kedatangan kami ke Jim Thomphon Farm

~ bersambung

Monday, January 12, 2015

To Land of Smiles again!

Assalamualaikum WBT.

SELAMAT TAHUN BARU 2015! 

Harap masih tak terlambat untuk ucapan tu. Nak buat macamana blog ni dah terbengkalai beberapa bulan. Mood menulis ke laut. Sekarang baru perlahan-lahan balik ke gigi air. haha. Apapun semoga tahun 2015 memberi lebih sinar buat kita semua. 2014, kita biarkan berlalu.

Ke Thailand lagi! Mungkin ramai yang dah tahu tentang trip ni dan dengan siapa saya pergi. Rasanya Thailand dah jadi salah satu negara kegemaran untuk dikunjungi. Tak tahu kenapa, masa kat sana meroyan teringat nak balik, tapi bila dah balik, bukak LP, baca map, baca info, haish... banyak lagi tempat menarik yang belum diterjah ni! Sebab itu bila Zilla open trip ni kat blog dia saya tak teragak-agak untuk ikut serta. Mungkin kesan pengalaman trip pertama kot yang memanggil-manggil untuk terjah ke Thailand lagi. TAPI, dengan syarat ke Bangkok untuk transit saja. Kota besar ini bukan jiwa saya. Jammed di sana sini, panas, penuh dengan umat manusia, boleh buat jiwa kacau!

Trip kali ni, bahagian Timur Laut Thailand menjadi pilihan. Bermula dari BANGKOK kami ke NAKHON RATCHASIMA (KORAT) kemudian ke UDON THANI dan terakhir ke daerah paling sejuk di Thailand iaitu LOEI. Itu bukan destinasi akhir sebab kami turun ke Bangkok untuk ke PETCHABURI yang terletak di bahagian selatan Thailand yang terkenal dengan pantai yang memutih. Tujuan kami bukan untuk ke pantai, tapi ke taman negara terbesar di Thailand! 

Untuk itinerary, idea asal mestilah dari Zilla. Saya tukang cadang dan tokok tambah dan kawan-kawan yang lain tukang setuju. hiks. Entah berapa kali kami tukar iti saya pun lupa. Itulah bila terlebih baca info, jumpa macam-macam info best, mulalah pening sebab tamak nak terjah semua tempat. Haha. Yang highlight tempat yang mesti pergi tak tertinggal sudah. Contohnya seperti Loei dan Petchaburi, itu antara tempat yang tak tersenarai dalam iti asal. Tapi bila baca map dan info, kami sepakat untuk ke situ. 

Mode pengangkutan pula boleh dikatakan hampir 90% menggunakan bas. Bukan tak nak naik train, tapi mungkin disebabkan distance yang jauh, bas lebih sesuai terutamanya untuk perjalanan malam. Walaupun tambang bas sedikit mahal berbanding train, tapi lebih selesa dan jimat masa. Ada juga sesetengah tempat yang kami pergi tidak ada access keretapi seperti Loei yang dikelilingi bukit dan gunung. Selebihnya kami gunakan tuk tuk, songthaew dan minibus.

Seperti trip lepas, kali inipun flight masing-masing tak sama. Saya dan nik ke Bangkok sehari awal dari yang lain-lain. Plan asal masa sehari yang ada, kami nak ke Ayuthaya atau Hua Hin, tapi alih-alih kami jalan sekitar Bangkok je. Bermalam di sekitar Saphan Kwai, memudahkan kami untuk bergerak ke tempat berhampiran seperti Mo Chit, Chatuchak Market dan paling penting senang nak ke Mo Chit Northern Bus Station untuk jumpa kawan-kawan yang lain. Harap-harap cepatlah siap laluan BTS/MRT untuk access ke stesen bus ini sebab tak ada bus awam/ BTS/ MRT untuk ke sini kecuali bus ekspress. Yang ada hanya taxi dan motor taxi saja. Itupun kena bagitahu betul-betul pada mereka sebab takut tertukar stesen bus pulak.

Antara restoran halal di Pasar Chatuchak - kami singgah sini lepas ukur tanah sekitar Mo Chit. Habis supermaket kami redah semata-mata nak cari gas butane. Alih-alih tak gunapun.... Haish...
View of sunrise from hour hotel at Saphan Kwai

Intro yang panjang, nanti sambung lagi.


Friday, October 10, 2014

Mt. Kinaballu 2014 - day 3 & 4

* Entry yang lama terperap dalam draf baru nak post.

4 Sept 2014

Hari baru kami bermula seawal jam 1.00 pagi. Bangun, bersiap sedia dengan pakaian selengkapnya untuk menempuhi perjalanan mendaki ke puncak Kinaballu. Untuk pakaian, saya pakai 2 helai baju, dan paling luar sweater kalis sejuk dan angin. Seluar pulak yang tahan sejuk - beli kat Korea khas untuk winter. Sangat membantu! Oh ya, jangan lupa bawa sarung tangan sebab pagi ini kami dikhabarkan suhu sangat sejuk. Selepas bersiap, kami sarapan ala kadar. Roti, kaya dan air disediakan oleh pihak penganjur. Air panaspun ada. Saya bancuh oat dan susu yang dibawa, makan roti dan kurma untuk alas perut. Nak makan beria tengah pagi buta memang tekak tak mampu nak telah. 

Pukul 2.00 pagi kami semua dah siap menunggu di ruang menunggu. Guide kami pun dah siap sedia. Dah siap semua kamipun bergerak. Kiranya kumpulan kami antara kumpulan terawal yang bergerak naik. Pintu pagar pun tak buka lagi. Tapi guide kata tak apa, jalan saja sebab dia ada kunci. Tujuan kami bergerak awal sebab tak nak tersesak-sesak dalam perjalanan naik nanti. 

Keadaan sangat gelap dan sejuk. Jalan kami hanya berberkalkan headlamp sahaja. Mula-mula mendaki dah jumpa tangga. Hampir 1 jam mendaki tangga akhirnya kami sampai di Sayat-sayat (KM 7). Alhamdulillah! Orangpun tak ramai lagi jadi kami ambil masa agak lama untuk berehat di situ sebelum teruskan pendakian naik. Kat sini kena daftar kat pondok pengawal. Lebih kurang 1/2 jam rest, barulah kami teruskan pendakian. Kali ini jalan lebih mencabar. Trek yang dilalui berbukit dan licin. Ada sesetengah trek mendaki kena guna tali untuk memanjat. Memang kena berhati-hati. Terlepas tali, gaung yang menanti. Penglihatan memang sangat terbatas. Masa ni tak boleh memandai-mandai, ikut saja apa yang guide suruh buat.

Di pendakian KM 7.5 - 8 trek berbukit tapi mendatar. Saya rasakan ini antara trek yang paling mencabar. Oksigen kurang, suhu sejuk dan kadang-kadang berangin. Jalanpun sekadar ikut rentak kaki melangkah. Semua bergantung pada kekuatan mental. Serius masa ni, nak give up pun ada. Jalan punya jalan, akhirnya pada jam 5.30 pagi kami sampai di puncak Kinaballu! Alhamdulillah. yeah! Masa sampai tu beria nak panjat sampat ke low peak! Kekonon nak abadikan potret kat situ. Tapi masa tu gelap bebenor. Huahua. Ambil gambarpun tak lawo. Hahaha.

Ok, layan ajelah gambar di puncak Kinaballu!

Sunrise - matahari malu-malu nak tunjukkan diri. Ini saja hasil matahari terbit yang dapat dinikmati.
Lagi matahari malu-malu nak tunjukkan diri

KM 8.0 - gambar yang ada kat note RM1 lama dan RM100
Selfoot - nak bergambar kat low peak ramai sangat orang, jadi cukuplah bergambar kat sini

Sama tak?
Dah makin cerah. Sayang tak dapat nikmati matahari terbit dari puncak. Kabus tebal dan sejuk
Kolam air di puncak Kinaballu - boleh berwudhuk di sini


Agak lama saya melepak di puncak, bila dah cerah barulah kami beransur-ansur turun. Tak tahan sejuk melampau. Makin cerah, anginpun makin kuat bertiup. Walaupun tak dapat layan sunrise dari puncak, sampai ke puncakpun dah kira satu pencapaian terbaik dah. Kan?

Pemandangan di puncak dan perjalanan turun ke Laban Rata
Tadi masa panjat gelap tak tahupun keadaan trek macam ni. Bila dah cerah baru tahu macamana keadaannya. Bagi yang gayat boleh kecut perut jugak. Tapi yang pasti pemandangan sekeliling sangat cantik!

Sayat-sayat dan trek yang terpaksa kami tempuhi untuk turun
Lagi trek turun, semua kena guna tali.

Lagi pemandangan sekitar perjalanan turun ke Laban Rata
Antara trek yang mencabar. Yang pakai baju merah itulah guide kami

Hampir 3 jam menuruni trek, akhirnya sampai ke Laban Rata. Kami terus kemas beg dan turun bersarapan. Sarapan dengan santai sebab masih awal. Dalam pukul 11.00 pagi barulah kami bergerak turun. Kali ni saya turun berdua. Jadi kami turun secara santai sambil bercerita. Bila penat, rehat kejap. Lagipun tak ada apa yang hendak dikejar di bawah sana. Tambah pulak, kaki dah penat sangat. Lenguh mendaki dan turun dari puncak pagi tadipun tak hilang lagi. 

Laban Rata - Alhamdulillah, berpeluang juga jejak kaki ke gunung tertinggi di Asia Tenggara
Selepas 5 jam akhirnya sampai ke Timpohon. Kali ini saya turun berdua, seorang dah selamat dan kawan-kawan yang lain masih dalam perjalanan.

Sampai Timpohon, kami berdua lapor diri kat pondok pengawal dan tunggu van untuk membawa kami ke Kinaballu Park. 

Malam itu kami diraikan. Maklumlah dapat menteri orang Sabah. hiks. Selepas diraikan barulah kami bertolak balik ke bandar Kinaballu. Kami bermalam di Marina Apartment sebelum bertolak balik ke Kuala Lumpur esok harinya.


5 Sept 2014

Hari ini bertolak balik ke KL dan kemudian petang terus ambil fight ke KT. Masih ada setengah hari untuk jalan-jalan di sekitar bandar KK. Selepas sarapan, kami terus berjalan kaki ke Philippine Market. Sempatlah membeli apa-apa yang patut untuk famili. 

Trip kali ni memang betul-betul untuk memanjat Kinaballu. Trip tersepak. Tapi best! Sebab dapat geng mendaki yang sporting. Walaupun ada yang baru kenal. Tapi semuanya baik-baik. Kalau ada peluang, diberi kesihatan tubuh badan, nak panjat lagi Kinaballu sebab frust tak ada gambar melompat di puncak Kinaballu. Woha!


Monday, October 06, 2014

Mt. Kinaballu 2014 - day 2

*momentum menulis sangat slow sebab penyakit M sangat tebal. huhu

3 Sept 2014

Hari yang ditunggu-tunggu dah tiba. Bangun pagi, mandi dan bersiap. Malam tadi briefing, kami dah diingatkan bangun awal dan berkumpul seawal jam 7.00pagi. Semua barang keperluan yang nak dibawa mendaki kalau boleh diasingkan dalam satu beg (letak dalam plastik), manakala beg dan barang-barang lain akan ditinggalkan di tempat menyimpan beg di pejabat - bayaran RM10 untuk simpanan beg. 

Barang-barang yang dibawa - sepersalinan baju & seluar untuk trekking balik esok hari, pakaian untuk mendaki naik ke puncak (sweater, glove, seluar etc) dan lain2 kelengkapan penting. Semua barang-barang ini saya letakkan dalam plastik untuk dibawa oleh porter. Bayaran RM10/kg. Dah namapun amatur, jadi biarlah porter yang tolong bawakan. Walaupun tak berapa berat, saya tak berani nak menghadapi risiko memikul beban di bahu dengan perjalanan trekking yang panjang dan saya sendiri tak tahu bagaimana rupa trek yang akan ditempuhi nanti. Jadi biarlah kita serahkan pada porter untuk mengangkat barang-barang. Sementara hanya air, makanan, mini towel, baju hujan, wind breaker dan camera sahaja yang dibawa bersama beg yang disandang.

Puncak Kinaballu dari kejauhan. Alhamdulillah pagi ni cuaca menyebelahi kami - siap boleh nampak puncak Kinaballu dari Kinaballu Park.

Seawal jam 7.00 pagi semua dah siap dan sedia dengan beg masing-masing. Ada van yang akan datang ambil penginap untuk ke Kinaballu Park. Tapi kalau nak jalan sendiripun boleh. Sarapan disediakan di Balsam Restaurant seawal jam 6.30 pagi. Sarapan memang banyak dan setiap pendaki akan dibekalkan pack lunch - sebiji epal & sandwich. Lain-lain makanan/minuman yang saya bawa ialah coklat, kurma, mineral water 500ml & 100 plus. Lepas sarapan sengaja saya ambil pil mabuk - persiapan awal takut apa-apa.Walaupun saya tak ada masalah mabuk, tapi lebih baik bersedia lebih awal.

Ambil feel bergambar beramai-ramai dulu. Tengok puncak Kinaballu dari bawah dalam hati berdebar, mampu @ tak ni nak sampai puncak agaknya.
Turutan gambar : Gambar tengah (besar), atas kiri ke kanan, bawah dan ke kiri bawah. Bersama 2 oarang guide yang akan bersama-sama kami sepanjang perjalanan ke puncak Kinaballu, timbang barang-barang untuk dibawa oleh porter, kemas semua beg yang akan ditinggalkan di pejabat urusan, taklimat oleh guide sebelum mulakan perjalanan, lapor diri dulu di kaunter, sessi panaskan badan dan bacaan doa sebelum mulakan perjalanan.

Ding dong sana sini, dalam pukul 9.30 pagi jugak barulah kami semua ready mulakan trekking.

Kali ni kita biarkan gambar saja bercerita!

Trek bermula - mula-mula landai, lepas tu terus jumpa tangga, tangga dan tangga!
Antara tangga yang tinggi, dan lagi trek di sepanjang jalan. Kalau penat setiap 1km ada pondok untuk berhenti rehat. Ada sumber air semulajadi dan ada sesetengah pondok disediakan tandas.
Semua laluan bertangga yang bisa buat lutut bergoyang. Dalam terhegeh-hegeh mendaki, tiba-tiba ada porter yang melintas. Laju je jalan dengan beban berkilo-kilo di belakang. Salute!
Tak pasti di kilometer berapa, terserempak dengan 'insan istimewa' ini. Dia baru turun dari puncak. Sempatlah kami bertegur sapa dan bertanya khabar. Hebat, dia sampai ke puncak Kinaballu uols!!

Menariknya mendaki Kinaballu, semakin tinggi trek mendaki, pemandangan makin lawa. Mula-mula jumpa pokok-pokok renek dan tak lama jumpa pulak pokok bongsai. Kalau nasib baik boleh nampak pemandangan Kundasang dari jauh. Besar semut aje rumah-rumah dari atas.


Sampai kat sini, pemandangan dah start lawa. Pokok-pokok semua nampak comel. Hilang penat. Tapi suhu dan cuacapun makin sejuk.
Disebabkan view lawa, lama kami berhenti kat sini. Sempat berkenalan dengan kawan baru yang sama mendaki hari tu.
Trekking bertangga yang tak menahan, tapi pemandangan yang lawa buat penat hilang sedikit demi sedikit.
Antara pokok-pokok renek/bunga di sepanjang trek
Bunga-bunga kuning dan pokok-pokok bongsai ni tandanya tak lama lagi sampailah kita ke Laban Rata.

Akhirnya hampir 5 jam trekking, lebih kurang pukul 2.00pm saya sampai di puncak. Yey! Alhamdulillah. Nampak bangunan putih tu macam satu nikmat! Hilang semua lenguh-lenguh kaki. Sampai je, terus saya ke restoran. Masuk restoran, hanya seorang daripada group kami yang baru sampai. Dia lagi hebat, pukul 11.00 dah sampai. Rest dulu, tak lama lepas tu seorang lagi sampai. Dah hilang penat, barulah makan tengahari. Sementara tunggu kawan-kawan yang lain sampai, lama jugak saya habiskan masa di restoran. Sempat membuta. Haha. Penat!

Laban Rata

Tak pasti berapa lama menunggu, rasanya lebih kurang pukul 5.00 petang barulah semua ahli kumpulan kami sampai sepenuhnya. Melepak dan makan malam lepas itu barulah ambil kunci di kaunter dan naik ke bilik di Gunting Lagadan.

Bilik di Gunting Lagadan, kecil saja, sebilik ada 4 katil - double bed. Alhamdulillah selesa untuk kami bermalam untuk malam itu. Bilik sangat basic - towel dan slipper disediakan. Jadi nanti tak payah susah-susah nak angkut towel lagi. Masuk bilik, ambil barang saya terus mandi. Bare in mind, shower takde hot shower. Walaupun sejuk tetap mandi sebab dah seharian berpeluh. Tak sampai hati tengok diri sendiri tak mandi. Hahaha. Air sejuk sampai ke tulang. Tapi sangat refeshing. Mula-mula kena air memang sejuk, tapi lama-lama sejuk hilang. (ikut cara mandi RasulAllah, lalukan air dari bawah ke atas, dimulakan kaki kanan dulu. Kemudian sedikit demi sedikit barulah basuh hingga ke atas bahagian atas badan, dan terakhir di bahagian kepala - InsyaAllah, dengan sendirinya sejuk itu hilang).


Gambar 3 dari atas : Gunting Lagadan dan pemandangan di sekitar Laban Rata.

Dah mandi, solat, pakai baju tebal-tebal, kemas beg untuk esok, makan vitamin, borak kejap, terus saya tido. Walaupun tak mengantuk paksakan jugak mata supaya tido. Sebab pukul 1.00am dah kena bangun bersiap untuk mendaki ke puncak. Jadi kena recharge tenaga untuk bekalan ke puncak esok paginya.

~ bersambung