Followers

Sunday, October 13, 2013

Setahun berlalu... hari ini, wukuf berbaki 1 hari lagi.

Pejam celik rupa-rupanya sudah setahun berlalu. Kalau ikut takwim Hijriah, setahun yang lepas, hari ini wakuf berbaki 1 hari lagi! Macam baru semalam berada di Makkah, bersiap-siap dengan jemaah lain untuk ke Arafah, rupa-rupanya dah hampir setahun berlalu.

Beberapa hari lepas, hujan lebat dan ribut melanda Arafah sehingga hampir 30% khemah jemaah Muassasah musnah. Sebenarnya hujan sebelum wukuf adalah fenomena biasa kerana hampir setiap orang dan masjid di sekitar Makkah akan berdoa dan melakukan solat hajat memohon hujan turun. Cuma tahun ini, hujan dan ribut terlebih sikit. Ada hikmahnya di sebalik semua itu kan? Walau apapun marilah sama-sama kita berdoa semoga semua urusan saudara-saudara kita yang melakukan kerja haji akan dipermudahkan oleh-Nya. Amin..

Masih segar dalam ingatan, tahun lepas, bumi Makkah dicurahi hujan beberapa hari sebelum wukuf. Hujannya sekejap saja, tapi cukup lebat dan membasahi seluruh bumi Makkah. Bayangkan ia adalah hujan selepas hampir setahun bumi suci itu tidak ditimpa hujan. Ketika itu selepas Asar, saya berada di dalam Masjidil Haram. Tiba-tiba keadaan yang tenang menjadi kecoh. Kelihatan di dataran Kaabah, jemaah berlari-lari, bersorakan! Masing-masing menadah tangan ke langit menerima hujan yang membasahi bumi Makkah seperti tadah emas yang baru jatuh dari langit. Hujan rahmat!! Berbeza benar dengan penerimaan kita di bumi Malaya yang menerima hujan. Kita kadang-kadang banyak mengeluh bila hujan turun, padahal di sebalik hujan yang turun tersembunyi rahmat di sebaliknya.

Malam itu selepas Isyak, suasananya nyaman sekali!! Udara di sekitar bersih dan mendamaikan. Suka benar saya merasa saat itu. Dalam diam saya berdoa, moga-moga hujan akan turun sekali lagi kerana petang tadi saya tak sempat merasa titisan hujan kerana ketika itu saya berada di dalam Masjidil Haram dan hanya melihat hujan yang turun dari jauh saja. Alhamdulillah doa itu didengari Allah. Seminggu selepas wukuf hujan turun sekali lagi. Sempat juga main hujan di Makkah. Hiks.

Saja nak mengimbau kenangan setahun yang lepas, meh saya kongsikan gambar-gambar di Arafah. Semoga Dia menjemput saya ke sana lagi....

Ini khemah kami ketika di Arafah : Sebenarnya kalau mengikut jadual bas, bas kami bernombor 30 ke atas, tetapi disebabkan saya ditugaskan berada awal di Arafah untuk menyambut jemaah-jemaah lain, saya dapat naik bas no.5. Kebetulan dapat peluang naik bas awal, saya minta izin pengurus TH untuk membawa sekali mak, makcik dan nenek di bilik saya. Rezeki kami ber'8 sampailah awal di Arafah.
Khemah jemaah wanita
Khemah jemaah lelaki
Lorong-lorong di antara khemah jemaah-jemaah haji di Arafah
HARI WUKUF : ketika ini para jemaah keluar dari khemah dan berdoa di kawasan lapang sekitar Arafah. Yang berpasangan berdoa dengan pasangan masing-masing. Yang bersendirian pula berdoa mengikut cara masing-masing. Ketika itu, cuaca cerah sekali, angin sepoi-sepoi bahasa cukup menenangkan.
Suasana sekitar Arafah
Matahari hampir terbenam menandakan masa untuk berada di Arafah hampir berakhir. Sedih sebenarnya kerana masa afdal untuk berdoa hampir berakhir... Sampailah masa kami semua bersiap-siap untuk bertolak ke Muzdalifah pula.
Jemaah bersiap-siap untuk ke Muzdalifah.
Bas untuk ke Muzdalifah : ini tempat menunggu bas, kena tunggu ikut no. giliran. Bas kami sampai selepas maghrib.
Di Muzdalifah : menaiki bas hampir 40 minit perjalanan dari Arafah dan kami sampai di Muzdalifah. Sebenarnya jarak antara Arafah dan Muzdalifah dekat sahaja, tetapi keadaan trafik menyebabkan perjalanan makan masa agak lama. Itupun kami semua sudah bersyukur sangat-sangat sebab semua urusan dipermudahkan olehNya. Jalan walaupun bas bertali arus, tetapi perjalanan masih lancar.
Jemaah sedang mengutip batu untuk melontar jamrah nanti.
Tempat kami mengutip batu ketika itu ialah di tapak bangunan yang belum siap. Jadi kena berhati-hati memilih batu kerana silap pilih terambil simen pula. 
Jemaah yang mabit seketika di Muzdalifah.

Hampir tengah malam, barulah kami bergerak ke Mina. Sempat juga saya lelap mata seketika di Muzdalifah. Malam itu bulan cantik sekali, angin pula nyaman. Alhamdulillah cuaca sangat baik. Begitu juga keaadan di Mina, semuanya diatur olehNya dengan sempurna sekali.

Semoga wukuf haji tahun ini juga keadaan setenang dan semudah seperti musim haji yang sebelumnya. Moga Allah memberi kesihatan, kesabaran dan kekuatan kepada semua jemaah, dan para petugas untuk membuat kerja-kerja haji dengan sesempurna mungkin. InsyaAllah.

p/s : Esok, 9 Zulhijah semua jemaah haji akan berwukuf di Arafah. Kita pula afdal berpuasa, jom kita sama-sama puasa esok!


6 comments:

  1. As-Salam;

    Saya rasa sangat terkesan malah turut menitis air mata membaca pengalaman haji PM terutama kisah PM membacakan surah Yasin untuk seorang perempuan dalam entri CATATAN HAJI (12) : Hari ke-5 di Tanah Haram.

    ReplyDelete
  2. W'salam,

    Terima kasih sudi baca catatan haji tu cik misstree :)

    ReplyDelete
  3. Assalam..kagum dgn coretan seorg shbt lme ku ini..mekasih ats perkongsian yg ckup bmkna ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. wsalam. sekadar berkongsi info yang berguna untuk semua :)

      Yana? err.. sahabat lama?

      Delete
  4. sebak sangat...memang benarlah kan sesiapa yang dah sampai ke sana sentiasa mengharap agar dijemput sekali lagi..bahkan berkali kali pun sanggup!

    Rasanya MS pernah terbaca entry sebelum nie pasal mekah....baru teringat :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. MS, perasaan berbeza bagi sesiapa yang belum sampai dan sudah sampai ke tanah suci ni...
      Bagi sesiapa yang belum sampai mereka rindu dan terbayang2 untuk sampai ke sini..
      Tapi bagi yang dah sampai rindu dia lain sikit, rindu bercampur takut... takut kalau2 mereka tak ada peluang sampai ke sana lagi... waaa...

      Delete